Monday, April 13, 2009

reka bentuk pengajaran

1.0 PENGENALAN
Berdasarkan matlamat pendidikan negara, antara misi utama para guru ialah membentuk pelajar kamil iaitu pelajar yang seimbang dari segi JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Dalam mencapai matlamat ini, para guru perlu memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan agar berkesan supaya pelajar dapat memahami dan mengingati setiap isi pelajaran yang diajar. Oleh yang demikian, persediaan yang sesuai perlulah dirancang bagi mencapai tahap keberkesanan yang dimaksudkan. Sehubungan dengan itu, semua guru bertanggungjawab untuk menyediakan satu perancangan yang dipanggil Persediaan Mengajar bagi menstruktur sesi pengajaran yang sesuai.
Berdasarkan modul OUM Prinsip Teknologi Pengajaran, persediaan mengajar ialah satu perancangan harian yang disediakan oleh guru untuk satu waktu pengajaran. Ia mengandungi maklumat tentang pelajar, matlamat yang ingin dicapai, isi kandungan yang akan disampaikan dan penentuan pencapaian matlamat.
Penyediaan persediaan mengajar adalah penting, ini kerana disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah untuk menentukan objektif pengajaran, merancang kaedah pengajaran yang sesuai mengikut kebolehan pelajar, menbantu dalam pemilihan alat dan bahan bantu mengajar, menentukan isi pelajaran yang sesuai dengan masa yang diperuntukkan. Selain dari itu persediaan mengajar juga dapat membantu guru merancang tugasan atau aktiviti serta membantu guru mengawal bilik darjah.
Persediaan mengajar biasanya disediakan mengikut format-format tertentu bergantung pada sistem sekolah berkenaan. Namun begitu, pada asasnya persediaan mengajar boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu persediaan, penyampaian dan penutup.
Pada peringkat awal iaitu peringkat persediaan, guru perlulah mengambil kira semua aspek yang berkaitan sebelum memulakan pembelajaran. Antara perkara-perkara tersebut ialah maklumat am yang merangkumi tarikh, masa, tingkatan atau tahun, bilangan pelajar, mata pelajaran dan tajuk yang akan diajar. Maklumat am tersebut kemudiannya diikuti oleh pengetahuan sedia ada pelajar, objektif pengajaran, isi pelajaran, nilai murni, sumber pembelajaran dan akhir sekali ialah langkah-langkah keselamatan.
Selain itu guru juga akan menyusun perkara yang akan diajar dalam satu-satu masa pengajaran dan perkara-perkara tersebut akan dimasukkan di bahagian penyampaian pengajaran. Penyampaian pengajaran dimulakan dengan induksi set, iaitu aktiviti yang berfungsi mengorientasikan fikiran dan perhatian pelajar. Selepas induksi set dijalankan, bermula pula proses perkembangan yang meliputi beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru. Kemahiran-kemahiran tersebut ialah kemahiran peneguhan, kemahiran menerangkan, kemahiran menggunakan papan hitam, kemahiran variasi ransangan dan kemahiran menyoal.
Proses yang terakhir ialah penutup. Antara perkara yang terdapat dalam penutup ialah kesimpulan, penilaian, tugasan serta ulasan diri. Sekiranya persediaan mengajar dapat dilaksanakan dengan sempurna, maka proses pengajaran dan pembelajaran juga mampu meninggalkan kesan yang positif kepada guru serta pelajar.

2.0 REKA BENTUK PENGAJARAN
Untuk memastikan pengajaran yang baik dapat dilaksanakan, reka bentuk pengajaran telah dipilih. Reka Bentuk pengajaran ialah suatu proses sistematik untuk mereka bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran, Dick dan Reiser (1989). Selain itu, reka bentuk pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai sains untuk mencipta spesifikasi pengajaran dengan terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan suatu keadaan yang boleh memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran tidak kira kecil atau besar dalam sesuatu pelajaran, Richey (1986).

2.1 Model Reka bentuk Pengajaran
Reka bentuk pengajaran dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu model berorientasikan bilik darjah, model berorientasikan produk dan model berorientasikan sistem, Gustafon (1991). Namun begitu, asas-asas yang digunakan untuk membina sesuatu reka bentuk pengajaran adalah sama iaitu menentukan keperluan pelajar, menentukan objektif dan matlamat, membina prosedur penilaian, mereka bentuk dan memilih strategi penyampaian, mencuba sistem pengajaran dan menilai keseluruhan sistem. Oleh kerana pengajaran yang dibuat adalah berasaskan bilik darjah, maka saya telah memilih model berorientasikan bilik darjah, antaranya ialah model ASSURE dan model Dick dan Reiser.

2.2 Model ASSURE
Untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan, maka saya telah memilih reka bentuk pengajaran ASSURE. Model reka bentuk pengajaran yang berorientasikan bilik darjah merupakan model reka bentuk pengajaran yang beskala kecil dan tertumpu kepada perancangan bagi satu masa pengajaran sahaja, Dr. Wan Abdul Kader Wan Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr. Rosini Abu (2005). Reka bentuk pengajaran yang sesuai adalah penting untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan. Selain itu, reka bentuk pengajaran juga dapat melahirkan guru yang berkeyakinan, berkompeten dan tepati masa. Model ASSURE digubal untuk menyediakan panduan merancang dan pengendalikan pengajaran yang memerlukan penggunaan media, Heinich (1982). Melalui model ASSURE terdapat enam perkara penting yang perlu dititikberatkan. Pertama ialah analyse learner atau analisis pelajar.
2.21 Analisis Pelajar
Analisis merangkumi tiga perkara iaitu ciri-ciri umum, kompetensi khusus peringkat masuk dan stail pembelajaran. Ciri-ciri umum meliputi umur, tahap, tingkatan dan latar sosioekonomi. Berdasarkan rancangan pengajaran ciri-ciri umum yang boleh diperolehi ialah melibatkan murid-murid tahun satu yang berumur tujuh tahun. Manakala kompetensi khusus peringkat masuk merupakan pengetahuan sedia ada pelajar tentang tajuk dan kandungan pelajaran. Stail pula merupakan trait psikologi seperti persepsi. Di sini adalah seperti tahap kecerdasan yang pelbagai iaitu lemah, sederhana dan pandai.
2.22 Nyatakan Objektif
Kedua ialah state objective atau nyatakan ojektif. Objektif pengajaran merupakan penyataan yang menentukan tingkah laku spesifik yang boleh diukur dan dilakukan pelajar setelah mengikuti sesuatu pengajaran. Menyatakan objektif dapat membantu guru dalam merancang pengajaran. Selain itu, ia juga dapat membantu guru mengenal pasti kaedah, bahan, tugasan, aktiviti serta ujian yang sesuai. Objektif yang dibuat dalam rancangan pengajaran ialah di akhir pengajaran, murid dapat mengenal pasti tiga dari lima nama anggota badan seekor haiwan dengan betul. Selain itu , dengan menggunakan kad gambar dan kad perkataan, murid dapat memadankan empat dari tujuh gambar anggota badan dan namanya denagn tepat dan objektif terakhir ialah dalam situasi kumpulan yang dibentuk, murid dapat melengkapkan gambar haiwan dengan betul.
2.23 Pilih Kaedah, Media Dan Bahan
Perkara yang ketiga ialah select method, materials and media atau pilih kaedah, media dan bahan. Pemilihan kaedah, media dan bahan adalah berdasarkan tingkat kebolehan pelajar dan objektif pengajaran. Oleh kerana kelas tersebut terdiri dari murid pelbagai kebolehan, maka kaedah yang dipilih ialah penyoalan, perbincangan, berkumpulan dan pengajaran secara kelas. Media yang dipilih pula ialah kad imbasan, boneka dan persembahan power point. Manakala bahan yang dirancang ialah lembaran kerja.
2.24 Guna Media Dan Bahan
Langkah seterusnya ialah utilise media and materials atau guna media dan bahan. Penggunaan media adalah penting supaya mesej yang hendak disampaikan dapat dipersepsikan dengan tepat oleh pelajar. Antara cara yang boleh dilaksanakan untuk menggunakan media dengan baik ialah, pertama beri gambaran awal tentang bahan yang akan digunakan, kemudian sediakan bahan, sediakan persekitaran yang sepadan untuk pengajaran yang menggunakan bahan yang dipilih, seterusnya sediakan pelajar menerusi set induksi atau penyataan objektif dan akhir sekali ialah sediakan pengalaman pembelajaran supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diingati oleh pelajar. Berdasarkan rancangan pengajaran harian yang dibuat, media pengajaran yang digunakan sewaktu set induksi ialah boneka. Manakala sewaktu proses pengajaran kad imbasan dan persembahan power point digunakan.
2.25 Libatkan Pelajar
Langkah yang kelima ialah require learner participation atau libatkan pelajar. Ia adalah penting untuk memastikan pembelajaran benar-benar berlaku. Aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan untuk libatkan pelajar ialah seperti latih tubi, latihan, kuiz dan sebagainya. Guru juga melibatkan murid dalam kaedah berkumpulan. Selain itu, penglibatan murid juga dibuat melalui kaedah perbincangan. Bukan itu sahaja, murid-murid juga dilibatkan melalui aktiviti penilaian yang dirancang seperti murid-murid diminta memadankan kad gambar dan kad perkataan.
2.26 Nilai Dan Semak
Yang terakhir dalam model ASSURE ialah evaluate and revise atau nilai dan semak. Nilai dan semak adalah penting untuk melihat keberkesanan sesuatu perkara serta untuk menyediakan langkah-langkah untuk meningkatkan keberkesanannya. Penilaian yang dibuat meliputi pencapaian pelajar berdasakan kemahiran, sikap dan objektif. Selain itu media, kualiti media, pembelajaran, penggunaan guru dan murid turut disemak. Untuk penilaian, guru mengedarkan kertas lembaran kerja yang meminta murid-murid menyuaikan gambar anggota haiwan dengan namanya.

3.0 PENDEKATAN PENGAJARAN
Untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan dengan mengambil kira kebolehan pelajar yang pelbagai, beberapa pendekatan yang sesuai telah dipilih.

3.1 Kaedah Penyoalan
Antaranya ialah kaedah penyoalan. Kaedah penyoalan adalah sesuai untuk menggalakkan pemikiran dan pembelajaran murid. Penyoalan boleh dibahagikan kepada enam tahap berdasarkan Taksonomi Bloom. Bagi peringkat awal, murid-murid akan diajukan dengan soalan dari kategori pengetahuan. Soalan sebegini berperanan untuk memastikan murid-murid boleh mengenal pasti dan mengingati kembali sesuatu maklumat. Contohnya, dalam rancangan pengajaran harian yang telah dibuat, pengajaran dimulakan dengan guru menyoal fungsi anggota badan seekor haiwan. Dengan ini murid-murid akan mengingati kembali fungsi anggota badan haiwan yang diketahui. Selain itu soalan ini juga dapat memberi gambaran awal tentang tahap kebolehan seseorang pelajar. Selain dari soalan mengenai pengetahuan, soalan aplikasi juga sesuai diberi kepada murid-murid. Soalan ini sesuai diajukan setelah berlaku proses pengajaran dimana pada peringkat ini murid akan diminta mengaplikasikan maklumat yang telah diperolehi. Murid-murid juga akan menggunakan peraturan atau proses untuk menyelesaikan masalah. Ia juga sesuai untuk meningkatkan tahap pemikiran murid. Berdasarkan rancangan pengajaran harian, guru meminta murid memadankan kad gambar dengan kad perkataan yang sesuai. Ini dapat membantu murid untuk menggunakan isi pelajaran yang telah dipelajari untuk memadankan kad imbasan tersebut.
3.2 Pengajaran Secara Kelas
Kaedah seterusnya ialah pengajaran secara kelas. Pengajaran secara kelas bermaksud penyampaian pengajaran guru kepada seluruh kelas, Mok Soon Sang (1991). Seperti kaedah penyoalan, kaedah ini juga sesuai kerana isi pelajaran, latihan dan kerja dapat diberikan sama kepada semua pelajar. Guru pula dapat mengenal pasti murid yang lemah bagi memudahkan langkah pemulihan dibuat. Terdapat beberapa kelebihan menggunakan kaedah pengajaran secara kelas. Antaranya guru dapat menjimatkan masa dan tenaga. Guru dapat menjelaskan konsep dan kemahiran kepada semua murid dalam satu masa sahaja. Selain itu kebanyakkan murid suka belajar beramai-ramai. Oleh yang demikian, ia adalah amat sesuai terutamanya bagi murid-murid tahap satu. Menerusi kaedah ini juga minat murid dapat diransang kerana mereka lebih cenderung dan gemar belajar bersama-sama. Pada masa yang sama semua murid dapat berkerjasama dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran dan yang akhir sekali murid-murid dapat bertanding antara satu sama lain disamping dapat melatih murid-murid yang sederhana dan lemah mencontohi rakan-rakan mereka yang cerdas. Seperti dalam rancangan pengajaran harian yang disediakan, pengajaran secara kelas dibuat apabila guru memaparkan persembahan power point yang mengandungi gambar haiwan yang telah dilabelkan bahagian-bahagian anggota badannya serta guru mengajar murid-murid menyebut nama anggota badan haiwan secara beramai-ramai di dalam kelas.

3.3 Kaedah Kumpulan
Oleh kerana kelas terdiri daripada murid-murid yang pelbagai kebolehan, kaedah kumpulan adalah salah satu kaedah yang sesuai kerana murid-murid tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada murid-murid yang pelbagai kebolehan dalam setiap kumpulan. Contohnya dalam satu-satu kumpulan terdiri daripada murid cerdas, sederhana dan lambat. Pengajaran secara berkumpulan baik kerana ia membolehkan murid-murid belajar mengikut kebolehan masing-masing. Melalui kaedah berkumpulan juga murid-murid cerdas akan terus maju melalui aktiviti pengayaan manakala murid-murid lambat dapat menguasai kemahiran asas melalui aktiviti pemulihan. Pengajaran berkumpulan juga membolehkan guru merancang aktiviti pembelajaran mengikut kebolehan kebolehan dan memudahkan guru dalam memberi bimbingan kepada murid-murid. Bukan itu sahaja, murid-murid juga mendapat peluang untuk mengembangkan potensi masing-masing selain dari dapat membina semangat kerjasama, bertanggungjawab dan bertoleransi. Aktiviti berkumpulan yang dibuat dalam rancangan pengajaran harian ialah guru membahagikan murid-murid kepada tujuh kumpulan dimana setiap kumpulan mengandungi lima orang murid yang terdiri pelbagai kebolehan dan seterusnya guru mengedarkan lukisan seekor haiwan yang tidak lengkap dan meminta mereka melengkapkan gambar tersebut dengan melukis bahagian anggota badan yang tiada.

3.4 Perbincangan
Kaedah terakhir yang digunakan ialah perbincangan. Perbincangan merupakan satu kaedah dan teknik mengajar yang melibatkan aktiviti perbualan di antara guru dan murid-murid dalam kelas, atau suatu jenis aktiviti pembelajaran secara bertukar-tukar fikiran atau idea atau berkongsi maklumat tentang sesuatu perkara melalui perbualan di bawah penyeliaan seorang guru, Mok Soon Sang (1991). Antara tujuan perbincangan dilaksanakan ialah untuk menggalakkan perkembangan mental murid supaya dapat menyumbangkan idea. Pada masa yang sama murid juga dilatih berfikir dengan teliti dan berkomunikasi dengan berkesan. Seterusnya ia juga mampu memupuk semangat kerjasama antara murid. Antara rancangan yang meliputi aktiviti perbincangan di dalam kelad ialah guru membuat penyoalan secara terbuka dan dijawab oleh murid. Di samping itu, guru akan memberi penerangan sekiranya terdapat murid tidak faham.

4.0 MEDIA PENGAJARAN
Media ialah sebarang cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan, Reiser dan Gagne (1983). Selain itu media juga diberi takrifan sebagai alat atau perkakasan yang biasa digunakan untuk menyampaikan maklumat dikalangan manusia, Muhamad Hassan Abdul Rahman (2000). Manakala media pengajaran pula ialah media yang membawa mesej tentang pengajaran, Heinich (2002). Media pengajaran juga dikatakan sebagai audio visual dan bahan-bahan yang berkaitan dengannya yang berfungsi dalam perlaksanaan sesuatu pengajaran. Namun begitu, media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat meransang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian pelajar sehingga dan seterusnya terjadinya proses pembelajaran, Dr. Wan Abdul Kader Wan Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr. Rosini Abu (2005). Oleh kerana murid-murid tediri dari pelbagai kebolehan, maka pemilihan media yang sesuai adalah penting supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan berkesan. Media pengajaran yang baik dapat memperjelaskan mesej terutamanya mesej yang disampaikan secara simbol verbal. Selain itu, media juga sepatutnya dapat mengatasi batasan ruang, waktu dan pancaindera, dapat menimbulkan minat, kefahaman dengan penggunaan media pengajaran secara betul dan bervariasi serta dapat menyediakan pengalaman dan persepsi yang sama kepada semua murid. Kepelbagaian kebolehan murid menyebabkan saya memilih media yang mengandungi unsur-unsur seperti audio dan visual.

4.1 Boneka
Untuk melaksanakan set induksi, saya telah memilih model tiga dimensi iaitu boneka sebagai media pengajaran. Boneka dipilih kerana ia mempunyai bentuk sebenar sesuatu objek. Oleh itu rujukan yang lebih konkrit dapat disediakan berbanding dengan simbol verbal kerana ia boleh dipegang dan dirasa. Berdasarkan isi pengajaran yang hendak diajar, boneka seekor binatang seperti ikan digunakan untuk menunjukkan bahagian-bahagian anggota badannya.

4.2 Persembahan Power Point
Selain boneka, saya juga menggunakan media tayang kaku iaitu persembahan power point. Power point digunakan untuk menunjukkan objek sebenar. Ini adalah sesuai kerana ia dapat mengukuhkan lagi kefahaman murid dimana ia merupakan gambaran objek sebenar dan ia juga merupakan satu pendedahan kepada keadaan sebenar. Menerusi media jenis ini, saya akan menghasilkan satu persembahan power point yang mengandungi gambar beberapa ekor binatang yang sudah dilabel. Untuk menambahkan keberkesanan persembahan ini, label-label yang digunakan boleh dimasukkan kesan khas seperti gerakan dan warna supaya lebih menarik dan seterusnya dapat meransang minat murid-murid.
4.3 Kad Imbasan
Media pengajaran terakhir yang digunakan ialah media pengajaran dari jenis gambar kaku iaitu kad imbasan. Kad imbasan adalah sesuai untuk penilaian. Ini kerana murid-murid akan diminta untuk memadankan kad gambar dengan kad perkataan. Kad imbasan amat sesuai untuk penilaian kerana kad imbasan merupakan media pengajaran yang menyediakan rujukan simbolik. Maka, murid-murid akan belajar untuk menyesuaikan pembelajarannya dengan pelbagai keadaan.

5.0 PENGURUSAN TINGKAH LAKU DALAM BILIK DARJAH
Pengurusan tingkah laku murid dalam bilik darjah adalah amat penting untuk menyediakan murid yang berminat untuk mengikuti proses pengjaran dan pembelajaran yang dijalankan.

5.1 Faktor Masalah Tingkah Laku Dalam Bilik Darjah
Terdapat beberapa faktor yang mencetuskan masalah tingkah laku dalam bilik darjah. Antaranya ialah suasana persekitaran rumah yang kurang selesa. Selain itu suasana persekitaran sekolah yang tidak kondusif, aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang membosankan. Keadaan fizikal sekolah yang kurang kondusif serta pengurusan sekolah yang bercorak autokratik juga boleh menimbulkan masalah tingkah laku dalam bilik darjah. Masalah tingkah laku dalam bilik darjah juga disebabkan oleh pendapat dan pandangan murid tidak mendapat perhatian dari pihak sekolah serta penilaian negatif yang mewujudkan permusuhan nyata dengan membalas dendam. Oleh yang demikian pengurusan tingkah laku dalam bilik darjah sangat penting dan salah satu cara untuk menguruskannya ialah dengan memantau perlakuan murid.

5.2 Pemantauan Tingkah Laku Dalam Bilik Darjah
Dua kategori perlakuan yang penting dalam bilik darjah ialah penglibatan murid dalam aktiviti pembelajaran seperti perhatian semasa pengajaran, perbincangan dan lain-lain tugasan dan yang kedua ialah pematuhan murid kepada peraturan bilik darjah, Emmer dan rakan-rakan (1989). Pemantauan tingkah laku boleh dibuat sekiranya guru boleh melihat semua murid dalam bilik darjah. Antara cara-caranya ialah guru bergerak antara barisan murid dan memberi fokus kepada beberapa murid sahaja. Selain itu pemantauan juga boleh dibuat dengan bergerak dari satu murid kepada murid yang lain untuk mengatahui kemajuan dan memberi maklum balas. Pada masa yang sama guru juga perlu bangun dan berjalan untuk menyelia dan memastikan murid mengikuti arahan. Namun begitu tedapat beberapa perkara yang perlu dielakkan oleh guru. Antaranya ialah bercakap dengan papan tulis, menyelia murid yang memerlukan bantuan atau yang mengangkat tangan sahaja, mengambil masa yang lama pada satu tempat atau murid. Untuk memantau murid pada peringkat awal membuat tugasan individu, pastikan semua mulakan aktiviti serta meletakkan semua bahan yang diperlukan di atas meja. Murid juga hanya akan memulakan latihan atau menjawab soalan setelah guru memberikan arahan dan lakukan perbincangan untuk menyemak jawapan supaya guru dapat mengetahui sama ada murid memahami apa yang dipelajari.

5.3 Ketekalan
Untuk menguruskan tingkah laku dalam bilik darjah guru juga perlu tekal. Ketekalan bermakna mengekalkan harapan perlakuan yang sesuai dan tidak sesuai dalam aktiviti tertentu, ianya juga bermakna bahawa harapan ini adalah untuk semua murid dalam semua keadaan, Emmer dan rakan-rakan (1989). Tedapat faktor-faktor yang mempengaruhi ketidaktekalan, iaitu peraturan yang tidak sesuai, guru gagal memantau murid dan tidak dapat mengesan tingkah laku yang tidak sesuai. Guru yang merasakan bahawa penguatkuasaan peraturan adalah penting juga menyebabkan berlakunya ketidaktekalan. Sekiranya murid didapati tidak tekal guru bolehlah mengambil beberapa langkah, salah satunya ialah menjelaskan semula peraturan. Bukan itu sahaja guru juga boleh mengubahsuai peraturan dan memperkenalkan semula kepada murid. Namun begitu sekiranya peraturan sedia ada adalah tidak sesuai, ia boleh dibatalkan dan diganti dengan peraturan yang baru.

5.4 Pengurusan Segera Kepada Tingkah Laku Negatif
Cara terakhir dalam menguruskan tingkah laku dalam bilik darjah ialah pengurusan segera kepada tingkah laku negatif. Ini adalah penting supaya tingkah laku negatif tidak terus merebak. Contoh-contoh tingkah laku negatif ialah kurang penglibatan dalam aktiviti pembelajaran, mengambil masa yang lama untuk membuat tugasan, tidak memberi perhatian penuh dan sentiasa mengelak dari tugasan yang diarahkan. Oleh sebab itu guru perlu mengambil langkah segera untuk membanteras tingkah laku tersebut dengan mengarah semula perhatian murid kepada tugasan sekiranya mereka tidak menyiapkan tugasan. Selepas itu guru perlu menyemak kemajuan mereka selepas beberapa minit. Guru juga perlu bergerak ke arah murid berkenaan, guna isyarat badan untuk membetulkan tingkah lakunya sehinggalah dia akur. Seandainya murid masih bertingkah laku negatif, ingatkan dia tentang peraturan kemudian tanya atau beritahu murid supaya berhenti bertingkah laku sedemikian.

6.0 JENIS-JENIS SOALAN
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tahap pemahaman murid boleh diuji dengan soalan-soalan yang sesuai. Berdasarkan Domain Kognitif Bloom, terdapat beberapa jenis soalan yang boleh digunakan untuk menguji kefahaman murid.

6.1 Pengetahuan
Pengetahuan merupakan peringkat yang paling rendah dalam hierarki Bloom. Pengetahuan di tahap ini ialah pengetahuan yang telah dipelajari. Oleh sebab itu, aras ini menguji kebolehan murid mengingati kembali fakta, erti, istilah, prinsip, hukum dan definisi. Contoh-contoh soalan yang digunakan ialah manakah, apakah, siapakah dan bilakah. Antara soalan yang diajukan berdasarkan aras pengetahuan ialah ‘burung makan dengan apa?, ayam berjalan dengan apa?’. Soalan-soalan yang diberikan ini ditujukan untuk semua murid supaya mereka dapat mengingat kembali pengetahuan sedia ada mereka untuk menghubungkaitkan dengan isi pengajaran yang akan diajar.

6.2 Kefahaman
Aras yang seterusnya ialah kefahaman. Oleh kerana ia merupakan peringkat yang menunjukkan kebolehan memberi interpretasi, menterjemah dan menerangkan dengan perkataan sendiri, maka soalan-soalan yang digunakan pada peringkat ini biasanya berkaitan dengan mengulas, mentafsir, merumus dan merancang.

6.3 Aplikasi
Selain itu murid juga boleh diuji mengenai kebolehan menggunakan maklumat seperti prinsip, teori dan konsep kepada situasi baru dan dalam situasi yang berlainan melalui aras aplikasi. Antara keadaan-keadaan yang sesuai untuk mengemukakan soalan-soalan berkaitan aplikasi ialah dalam pengiraan, menterjemah, mengilustrasi, menyusun, mempraktik dan menjangka. Oleh yang demikian, soalan-soalan yang biasa digunakan ialah tunjukkan, kirakan, selesaikan, demonstrasikan, susunkan, uruskan, gunakan. Selepas murid-murid mengikuti pengajaran, mereka diberi penilaian yang berbentuk penyoalan berdasarkan aras aplikasi di mana mereka diminta memadankan kad gambar dengan kad perkataan berkaitan tajuk yang dipelajari. Jenis penyoalan ini adalah ditujukan kepada semua murid dengan harapan agar murid pandai, lemah dan sederhana dapat mengapilikasikannya dan juga meningkatkan lagi kefahaman murid lemah.

6.4 Analisis
Untuk peringkat yang lebih tinggi, soalan berkaitan analisis amat sesuai digunakan. Analisis ialah kebolehan memecahkan perkara yang telah dipelajari kepada bahagian-bahagian tertentu sehingga kefahaman hubungan struktur organisasi diperolehi, Dr. Wan Abdul Kader Wan Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr. Rosini Abu, (2005). Pada aras ini murid diuji membanding dan menghuraikan faktor-faktor kesamaan, perbezaan dan perhubungan di antara satu sama lain dan soalan-soalannya seperti bezakan, bandingkan, asingkan, tafsirkan dan bahagikan. Untuk soalan dari aras analisis murid-murid diberi tugasan untuk membezakan anggota badan yang dimiliki oleh haiwan yang berlainan. Soalan ini diberikan kepada semua murid dengan harapan agar murid yang lemah dapat menggunakan isi pengajaran yang dipelajari pada tahap yang lebih khusus.

6.5 Sintesis
Untuk menguji kebolehan murid dalam mengintegrasikan bahagian-bahagian kecil kepada satu bahagian besar yang baru soalan dari aras sintesis sesuai digunakan. Bentuk-bentuk soalan dari aras ini biasanya gabungkan, bentukkan, kumpulkan, gubahkan dan susunkan. Soalan dari aras sintesis telah diberikan pada semua pelajar dengan harapan dapat menguji kefahaman murid lemah dan seterusnya dapat meningkatkan tahap kefahaman murid pintar. Contoh soalan yang dikemukakan ialah murid-murid disuruh melengkapkan gambar seekor haiwan dengan melukis bahagian anggota badan yang tiada. Dengan adanya soalan ini diharap agar murid lemah dapat mengenal pasti setiap anggota badan haiwan dengan tepat.

6.6 Penilaian
Penilaian merupakan aras yang paling tinggi dalam hierarki Bloom. Aras ini menguji kebolehan murid membuktikan, menilaikan, mengesahkan, mengkritik, merumuskan atau memberi pendapat sesuatu penyataan, karya, prinsip, teori dan sebagainya. Oleh yang demikian soalan-soalan yang digunakan ialah nilaikan, rumuskan, tafsirkan dan buktikan.

7.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, dapat dirumuskan bahawa penyediaan persediaan mengajar merupakan satu langkah penting dalam pengajaran. Persediaan mengajar yang meliputi pemilihan reka bentuk pengajaran, pendekatan yang sesuai, perancangan media yang baik dan bentuk soalan yang sesuai, dapat menyediakan guru yang lebih berkeyakinan dan seterusnya dapat meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran.

teori pembelajaran

1.0 PENGENALAN
Pembelajaran merupakan perkara penting dalam perkembangan manusia. Definisi pembelajaran ditakrifkan dengan makna yang berbeza bergantung kepada persepsi individu. Pembelajaran merupakan satu pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan, Lee Shok Mee (1993). Mengikut Kamus Dewan pula pembelajaran merupakan proses belajar. Bagi Goldenson (1984), pembelajaran ialah satu proses individu mendapatkan informasi-informasi, tingkah laku atau kebolehan yang baru. Namun begitu pembelajaran dalam konteks psikologi ditakrifkan sebagai perubahan ke atas tingkah laku individu yang dihasilkan oleh peristiwa-peritiwa alam sekitar, Carlson (1987). Pembelajaran berlaku sepanjang hayat dan tidak terbatas di dalam bilik darjah sahaja. Ia merangkumi penguasaan pengetahuan dan kemahiran, perkembangan sikap, emosi dan nilai estetika. Selain itu pembelajaran juga membawa kepada perubahan hasil interaksi dengan persekitaran.
Terdapat beberapa ciri pembelajaran yang telah dinyatakan oleh Mok Soon Sang (1990) dalam bukunya Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Antaranya ialah pembelajaran merupakan satu proses. Maksudnya pembelajaran merupakan hasil berperingkat yang dimulai dengan penerimaan ransangan, pembentukan konsep dan diakhiri dengan perubahan tingkah laku. Selain dari itu, pembelajaran juga menghasilkan perubahan tingkah laku dari tahap yang rendah kepada tahap yang lebih tinggi dan perubahan yang berlaku ini juga merupakan satu perubahan yang kekal dan stabil. Berlaku secara berterusan, di mana ia akan berhenti apabila kehilangan motivasi atau motif pembelajaran yang sesuai. Tingkah laku yang dihasilkan melalui pembelajaran hasil daripada pengalaman dan latihan adalah dibentuk daripada proses pemikiran dan penanggapan. Ini bermaksud perubahan tingkah laku adalah hasil persepsi individu di mana persepsi tersebut timbul apabila individu memperoleh pengalaman atau latihan. Selain itu pembelajaran juga boleh berlaku secara formal iaitu peringkat sekolah, universiti dan sebagainya, secara tidak formal pula melalui persekitaran contohnya televisyen, asuhan ibubapa serta pergaulan dengan rakan-rakan dan yang terakhir ialah pembelajaran secara bukan formal iaitu kursus-kursus, bengkel-bengkel yang dilakukan diluar pembelajaran formal sebagai tambahan.
2.0 TEORI PEMBELAJARAN
Teori pembelajaran merupakan prinsip dan hukum-hukum pembelajaran yang dihasilkan daripada kajian-kajian ahli psikologi pendidikan. Ia boleh dibahagikan kepada tiga teori utama iaitu teori pembelajaran behaviorisme, sosial dan kognitif. Idea-idea yang dibawa oleh tokoh-tokoh yang mempelopori setiap teori adalah berbeza.

2.1 Behaviorisme
Dalam teori pembelajaran behaviorisme, pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Tokoh-tokoh seperti Pavlov, Watson, Skinner dan Thorndike telah mengemukakan idea-idea yang menjadi asas kepada teori pembelajaran behaviorisme. Kebanyakkan teori pembelajaran yang dihasilkan adalah hasil pemerhatian ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung. Oleh kerana aliran ini banyak memfokuskan tingkah laku, maka pemerhatian yang dibuat tertumpu kepada perhubungan ransangan dan gerak balas. Menurut Kimble (1961) yang juga merupakan salah seorang tokoh behaviorisme, pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku yang agak tetap akibat daripada latihan pengukuhan.

2.2 Kognitif
Berbeza dengan teori pembelajaran behaviorisme, teori pembelajaran kognitif berpendapat bahawa pembelajaran ialah satu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara lansung daripada tingkah laku. Di sini dapat kita simpulkan bahawa aliran ini lebih banyak menekankan proses-proses mental dalaman seperti pengamatan, penyelesaian masalah, ingatan serta pemikiran mempengaruhi pembelajaran. Antara tokoh-tokoh psikologi yang menerajui teori pembelajaran behaviorisme ini ialah Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel. Oleh yang demikian teori pembelajaran kognitif ini lebih menumpukan cara belajar individu seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan persepsi.

2.3 Sosial
Teori pembelajaran sosial atau teori kognitif sosial telah diasaskan oleh Albert Bandura. Menurut teori ini, faktor sosial, kognitif dan tingkah laku memainkan peranan penting dalam pembelajaran. Antara tokoh-tokoh yang mempelopori teori ini ialah Albert Bandura, Julian Rotter dan Martin Seligman.

3.0 TEORI PEMBELAJARAN BEHAVIORISME
Idea-idea yang dibawa oleh ahli-ahli psikologi yang beraliran behaviorisme ialah berkaitan tingkah laku. Ini kerana hanya tingkah laku sahaja yang boleh dilihat dan diukur secara nyata. Selain itu, pendekatan ini juga menyatakan bahawa tingkah laku merupakan satu siri gerak balas yang dipelajari dengan wujudnya ransangan. Oleh sebab itu pendekatan behaviorisme dikenali juga sebagai psikologi ransangan gerak balas atau psikologi R-G, Ee Ah Meng (1995). Maka, dalam teori pembelajaran behaviorisme, pembelajaran dikatakan berlaku apabila terbentuk pertalian antara ransangan dan gerak balas.
Antara ahli-ahli psikologi yang menerajui aliran ini ialah John B. Watson, Ivan Pavlov, B. F. Skinner dan E. L. Thorndike.

3.1 Ivan Petrovich Pavlov (1849-1936)
Ivan Petrovich Pavlov telah dilahirkan pada 14 September 1849 di sebuah perkampungan di Ryazan, Russia. Beliau merupakan anak kepada Peter Dmitrievich Pavlov yang merupakan seorang paderi kampung. Seperti kanak-kanak lain di Ryazan, beliau juga telah dihantar ke sebuah sekolah gereja dan seterusnya telah memasuki sebuah kolej teologi yang melatih bakal-bakal paderi. Setelah beliau membaca buku ‘The Origin Of The Species’ yang ditulis oleh Charles Darwin serta hasil kerja seorang ahli psikologi Russia, I. M. Sechenov, beliau telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kolej tersebut dan terlibat dalam bidang sains. Beliau kemudiannya telah mengambil jurusan Natural Sciences di University of St-Petersburg.
Pavlov sedar subjek yang digemarinya merupakan psikologi dan bersama rakan-rakannya, beliau telah berjaya menghasilkan sebuah kertas kerja pertama beliau yang berjudul ‘The physiology Of The Pancreatic Nerves’ yang kemudiannya dianugerahi pingat emas. Pavlov menamatkan pembelajarannya dengan mendapat ijazah Candidate Of Natural Sciences. Usaha pavlov tidak berhenti di situ sahaja, malah beliau telah melanjutkan pembelajarannya di Academy of Medical Surgery di mana beliau memperolehi satu lagi pingat emas. Hasil dari kejayaan beliau juga, beliau telah menjadi seorang pengarah makmal psikologikal di klinik S. P. Botkin iaitu seorang ahli fizik Russia yang dikenali pada ketika itu. Pavlov telah dianugerahkan dengan Nobel Prize dalam Medicine/Physiology pada tahun 1904 setelah menyiapkan tesis kedoktorannya iaitu The Centrifugal Nerves of The Heart.
Tahun 1980 merupakan tahun penting bagi Ivan Petrovich Pavlov setelah beliau telah diminta untuk mengawasi pertubuhan dan menguruskan Department of Physiology di Institute of Experimental Medicine. Di situlah beliau telah menghasilkan kajiannya dan menghabiskan sisa-sisa hidup. Pada tahun yang sama Pavlov telah mendapat gelaran Professor of Pharmacology di Military Medical Academy.
Idea utama Pavlov dalam kajiannya adalah berkaitan proses penghadaman, yang menghasilkan satu siri eksperimen mengenai hubungan antara sistem saraf dengan fungsi badan. pavlov juga telah terpilih sebagai ahli dalam Russian Academy of Sciences pada tahun 1907, diberi kepujian kedoktoran di Cambridge University pada tahun 1912 dan beliau juga telah dianugerahkan kepujian Order of the Legion.Pada 27 Februari 1936 Dr. Ivan Pavlov telah meninggal dunia di Leningrad.

3.2 Edward Lee Thorndike (1874-1949)
Edward Lee Thorndike telah dilahirkan pada 8 Ogos 1874 di Williamsburg Massachusetts. Beliau merupakan anak kedua Edward Roberts Thorndike yang merupakan menteri Methodist tempatan dan Abbie Ladd Elizabeth Moulton seorang surirumah.
Edward Thorndike telah berkahwin dengan Elizabeth Moulton pada 29 Ogos 1900. Mereka berdua telah dikurnia lima orang anak iaitu R. L. Thorndike yang juga telah mengikut jejak langkah ayahnya dengan penglibatan beliau dalam psikologi pendidikan, pengkhususan psikometriks.
Thorndike mula berminat dalam bidang psikologi setelah memasuki Wesleyan University pada tahun 1895 dan setelah beliau membaca ‘Principles of Psychology’, karya William James. Setahun selepas beliau menerbitkan Animal Intelligence, beliau telah tercalon sebagai presiden America Psychology Assosiation. Pada tahun 1921 beliau telah mendapat tempat yang pertama dalam American Man of Science. Anugerah terakhir yang diperolehi merupakan presiden American Assosiation for the Advancement of Science iaitu pada tahun 1934.
Pada tahun 1939, beliau telah bersara dari mengajar di Columbia dan beliau telah bergerak aktif dalam komuniti psikologi sehinggalah kematian beliau pada 9 Ogos 1949.

3.3 John Broadus Watson (1878-1958)
John Broadus Watson telah dilahirkan di South Carolina pada 1878 dan telah dibesarkan di sebuah ladang. Ayahnya telah meninggalkan keluarga ketika beliau berumur 13 tahun. Ketika beliau masih muda, beliau merupakan seorang pelajar miskin dan sukar dikawal dan dikatakan mengikut contoh buruk yang telah ditunjukkan oleh ayahnya yang kejam. Namun begitu beliau mempunyai citi-cita serta keberaniaan beliau sendiri. Pada umurnya 16 tahun beliau telah memasuki Furman University. Lima tahun kemudian beliau telah memperolehi Master dan seterusnya menyambung lagi pembelajaran bagi memperoleh ijazah kedoktoran dalam psikologi dan filosofi. Akan tetapi beliau hanya menerima Phd beliau dalam bidang psikologi pada tahun 1903 dan akhirnya beliau telah ditugaskan sebagai seorang profesor di Johns Hopkins University dalam experimental and comparative psychology.
Kemudiannya beliau telah menjadi seorang yang beraliran behaviorisme dan banyak belajar biologi, psikologi dan tingkah laku haiwan menerusi hasil kerja Ivan Pavlov. Dari situ, beliau telah belajar mengenai tingkah laku kanak-kanak. Walaupun ianya agak sukar berbanding kajian yang dijalankan ke atas haiwan, namun prinsip yang digunakan adalah sama. Pada tahun 1913 beliau telah menerbitkan satu artikel berdasarkan idea-idea beliau dan menubuhkan sebuah sekolah psikologi.
Namun begitu kajian yang telah dijalankan oleh Watson telah tergendala disebabkan oleh perang dunia pertama.

3.4 Burrhus Frederic Skinner (1904-1990)
Burrhus Frederic Skinner telah dilahirkan pada 20 Mac 1904 di sebuah pekan kecil Pennsylvania di Susquehanna. Bapa beliau merupakan seorang peguam dan ibunya pula merupakan seorang surirumah yang bijak.
Burrhus merupakan seorang yang aktif dan sukakan aktiviti-aktiviti luar serta sangat berminat untuk belajar. Hidupnya tanpa tragedi, akan tetapi seorang adiknya telah meninggal dunia ketika berumur 16 tahun akibat penyakit cerebral aneurysm.
Burrhus telah memperoleh BA dalam Bahasa Inggeris di Hmailton Kolej di New York. Beliau sangat berminat untuk menjadi seorang penulis dan telah menghantar beberapa puisi serta cerpen kepada syarikat penerbitan untuk disiarkan ke dalam ke akhbar. Tetapi akhirnya beliau telah berhenti dalam penulisan artikel di surat khabar dan tinggal sementara di Greenwich, New York City sebagai “bohemian”.
Selepas beberapa lama mengembara beliau telah membuat keputusan untuk kembali ke sekolah di Harvard. Beliau telah mendapat Master dalam bidang psikologi pada tahun 1930 dan kedoktoran pada tahun 1931. Beliau meneruskan untuk tinggal di situ untuk menghasilkan kajian sehingga tahun 1939.
Pada tahun yang sama beliau telah berpindah ke Minneapolis untuk mengajar di University of Minnesota. Di sana beliau telah bertemu Yvonne Blue dan seterusnya mendirikan rumah tangga. Mereka mempunyai dua orang anak perempuan di mana anaknya telah menjadi terkenal kerana terlibat dalam kajian yang telah dibuat oleh Skinner.
Pada tahun 1945, beliau telah dilantik sebagai pengerusi Psychology Depertment di Indiana University. Pada tahun 1948 beliau telah dijemput ke Harvad dan telah menghabiskan sisa-sisa hidup beliau di sana. Beliau merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai bidang antaranya ialah penulisan buku, sebagai pembimbing bakal-bakal doktor dan juga melakukan kajian-kajian. Walaupun tidak berjaya dalam penulisan puisi dan cerpen namun beliau terpilih sebagai salah seorang penulis buku psikologi terbaik dan salah satu buku beliau ialah Walden II. Beliau kemudiannya telah meninggal dunia pada 18 Ogos 1990 akibat leukemia.
4.0 APLIKASI PRINSIP ASAS
Antara prinsip asas yang sesuai digunakan dalam bilik darjah adalah berdasarkan Teori Pelaziman Operan Skinner. Ini kerana teori yang dibawa olehnya merupakan rangkaian yang berasaskan ransangan dan gerak balas. Seperti yang kita tahu, dalam bilik darjah sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran guru merupakan agen yang memberi ransangan dan perlakuan pelajar merupakan hasil ransangan tersebut atau gerak balas. Maka, prinsip-prinsip yang terdapat di dalam teori amatlah sesuai diaplikasikan di dalam bilik darjah. Antara prinsip-prinsip tersebut ialah peneguhan positif, peneguhan negatif dan dendaan.

4.1Peneguhan Positif
Peneguhan biasanya ditakrifkan sebagai sebarang ransangan yang dapat menambahkan kebarangkalian gerak balas akan berlaku, Lee Shok Mee (1993). Menurut Mahmood Nazar Mohamed (1990), peneguhan positif ialah ransangan yang diberi kepada organisma selepas berlakunya sesuatu tingkah laku yang dapat meningkatkan kebarangkalian berlakunya tingkah laku yang dikehendaki. Manakala Mok Soon Sang (2000), menyatakan bahawa peneguhan positif merupakan stimuli yang boleh menambah kebarangkalian berulangnya sesuatu tingkah laku operan. Berdasarkan takrifan-takrifan yang diberi itu dapat kita simpulkan bahawa peneguhan positif ini merupakan satu ransangan yang boleh menyebabkan berulangnya sesuatu tingkah laku yang dikehendaki.
Konsep peneguhan positif yang diperolehi Skinner merupakan hasil kajiannya ke atas seekor tikus. Dalam eksperimennya, Skinner telah membina sebuah kotak yang dipanggil ‘Kotak Skinner’, di dalam kotak tersebut dimasukkan sebuah alat penekan dan dilekatkan pada dinding kotak. Alat penekan itu berfungsi sebagai tempat makanan di mana ia akan mengeluarkan makanan apabila ditekan. Skinner kemudiannya telah memasukkan seekor tikus lapar ke dalam kotak tersebut. Pada mulanya tikus itu hanya berlari ke sana ke mari kerana lapar, tetapi secara tidak sengaja dia telah terpijak alat penekan dan menyebabkan makanan terkeluar. Keadaan ini berlaku berulang kali dan tikus juga telah belajar cara untuk mendapatkan makanan. Eksperimen beliau diteruskan lagi dan kali ini beliau telah memutuskan bekalan makanan dengan alat penekan tersebut. Ini menyebabkan makanan tidak lagi keluar apabila alat penekan ditekan. Oleh sebab itu, tikus tersebut telah berhenti menekan alat penekan kerana tahu makanan tidak lagi dibekalkan.
Operan yang dilihat disini ialah perlakuan tikus itu menekan alat penekan untuk mendapatkan makanan. Manakala pelaziman pula dikatakan kerana ia sentiasa diulang.
Berdasarkan eksperimen yang dibuat oleh Skinner, sesuatu gerak balas hanya akan berulang jika adanya ganjaran iaitu makanan (berdasarkan eksperiman). Sekiranya ganjaran diberhentikan, gerak balas juga akan terhapus.
Oleh sebab itu peneguhan positif merupakan satu bentuk ganjaran. Jika di dalam konteks bilik darjah antara contoh yang dapat dilihat sebagai peneguhan positif ialah pujian, guru mengulangi jawapan pelajar yang betul, guru menunjukkan isyarat tangan yang menandakan betul dan lain-lain lagi. Ini semua merupakan ransangan yang dapat meningkatkan lagi lagi usaha pelajar untuk memperoleh yang lebih baik.

4.2 Peneguhan Negatif
Peneguhan negatif ialah stimuli yang dipindahkan atau dihapuskan dengan tujuan menguatkan tingkah laku positif supaya ia dapat diteruskan, Mok Soon Sang (2000). Menurut Mahmood Nazar Mohamed (1990), peneguhan negatif bermakna dengan menghapuskan sesuatu ransangan yang aversif serta yang menyakitkan, ia akan meningkatkan kebarangkalian berlakunya sesuatu tingkah laku. Selain itu, berdasarkan buku Murid Dan proses Pembelajaran, menyatakan bahawa peneguhan negatif ialah sesuatu yang menyakiti dan dengan itu akan dijauhi mana-mana individu dan akibatnya satu-satu tingkah laku akan diulangi.
Satu eksperimen telah dijalankan oleh Skinner untuk membuktikan ransangan yang berbentuk negatif ini atau dikenali sebagai peneguhan negatif. Eksperimen ini masih menggunakan seekor tikus dan juga sebuah kotak. Tetapi kotak yang digunakan ini telah diubahsuai sedikit dengan memasang lantai yang diperbuat daripada dawai yang mampu mengalirkan arus elektrik yang lemah. Manakala sebuah tuas digunakan sebagai alat yang berfungsi memberhentikan pengaliran arus elektrik. Apabila tikus dimasukkan ke dalam kotak tersebut, arus elektrik disalurkan dan menyebabkannya melompat-lompat kesakitan. Semasa ia melompat-lompat, dengan tidak sengaja tuas telah ditekan dan telah memberhentikan pengaliran arus elektrik. Setelah beberapa ketika arus disalurkan kembali dan tikus tersebut telah tahu untuk memberhentikannya dengan memijak tuas. Dengan ini, tikus telah mempelajari cara untuk memberhentikan arus elektrik yang menyakitkan itu.
Berdasarkan eksperimen yang dijalankan oleh Skinner, peneguhan negatif merupakan sesuatu yang menyakitkan dan ingin dielakkan. Namun begitu dalam bilik darjah peneguhan negatif diberi adalah satu cara bagi menyedarkan pelajar mengenai kesilapan yang dilakukan dan bukan semata-mata untuk mendenda.

4.3 Dendaan
Skinner berpendapat bahawa denda ialah satu jenis peneguhan negatif yang hanya boleh membawa kesan dalam tempoh singkat sahaja, Mok Soon Sang (2000). Mahmood Nazar Mohamed (1990) pula berpendapat bahawa dendaan boleh didefinisikan sebagai kesan yang aversif yang mengurangkan sesuatu tindak balas apabila ia dikenakan sujurus selepas berlakunya sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Bagi Lee Shok Mee (1993), menyatakan bahawa peneguhan negatif dan dendaan adalah sesuatu yang berbeza. Denda digunakan untuk mengurangkan atau menghalang sesuatu tingkah laku. sesuatu tingkah laku itu diandaikan tidak akan berulang lagi selepas denda dikenakan. Di dalam buku Murid Dan Proses Pembelajaran juga ada menyatakan tentang dua perbezaan antara dendaan dan peneguhan negatif. Antaranya ialah peneguhan negatif dijalankan sebelum sesuatu peristiwa berlaku manakala dendaan dijalankan selepas sesuatu peristiwa. Selain itu peneguhan negatif dikatakan berlaku apabila individu bertindak mengurangkan rasa malu, sakit dan takut (peneguh negatif). Berbeza dengan dendaan, ia dibuat bagi menghentikan sesuatu amalan.
Kajian berkaitan dendaan telah dijalankan oleh Skinner dengan menggunakan seekor tikus. Tikus tersebut dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang mempunyai palang besi dan diberi peneguhan apabila ia menekan palang besi berkenaan. Kemudiannya, Skinner telah menyambungkan palang besi tersebut dengan dawai supaya dapat mengalirkan arus elektrik apabila ditekan. Tikus itu biasanya akan menjauhkan diri apabila terkena palang itu tetapi untuk tempoh masa tertentu bergantung kepada kekuatan, kekerapan dan tempoh renjatan elektrik tadi. Selepas itu tikus itu akan kembali menekan palang besi tersebut.
Berdasarkan kajian yang dibuat, dendaan merupakan satu cara yang dapat menghalang sesuatu tingkah laku. ia boleh dilakukan dengan menggunakan dua cara dalam menggalakkan pembelajaran. Pertama, menggunakan satu ransangan untuk menghapuskan tingkah laku yang tidak diingini dan yang kedua ia dengan melucutkan sesuatu ransangan.

5.0 CONTOH PENGGUNAAN PRINSIP DALAM BILIK DARJAH
Prinsip-prinsip yang telah dikemukakan dalam Teori Pelaziman Operan Skinner boleh membantu guru dalam menguruskan pelajar sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Prinsip-prinsip tersebut adalah prinsip-prinsip yang telah dikemukakan seperti di atas iaitu peneguhan positif, peneguhan negatif dan dendaan.

5.1 Peneguhan Positif
Dalam satu pengajaran, guru akan membuat penilaian kepada para pelajar bagi mengetahui tahap kefahaman mereka. Penilaian boleh dibuat dalam pelbagai cara, antaranya ialah dengan memberi soalan. Apabila soalan diajukan dan pelajar dapat menjawab dengan betul guru kemudiannya memberi pujian kepada pelajar tersebut. Di sini, kita dapat lihat satu ganjaran yang berbentuk pujian telah diberikan kepada pelajar. Ini dikatakan sebagai satu peneguhan positif. Dengan itu, pelajar akan berasa dirinya berpotensi dan seterusnya akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menjawab dengan lebih baik untuk masa akan datang. Pujian yang diberikan oleh guru itu merupakan satu ransangan yang meningkat kebarangkalian kejayaan pelajar tersebut.
Selain pujian guru juga boleh menggunakan cara lain sebagai satu peneguhan yang dapat meransang pelajar ke arah kecemerlangan. Sebagai contoh seorang pelajar telah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Guru telah memberikan sebuah hadiah sebagai ganjaran kepada usaha pelajar tersebut kerana memperoleh keputusan yang membanggakan. Dengan ini, ia telah meningkatkan lagi semangat pelajar tersebut serta pelajar lain untuk terus belajar kerana hadiah yang akan diberikan kepada pelajar yang berjaya telah menjadi peransang kepada mereka untuk terus berusaha.

5.2 Peneguhan Negatif
Dalam peneguhan negatif, ransangan yang diberikan adalah tidak disukai oleh pelajar. Namun begitu ia dapat mengubah tingkah laku dari negatif ke positif. Maka, ia sesuai diberikan sekiranya terdapat tingkah laku negatif dalam bilik darjah. Seperti dalam situasi pelajar yang tidak menyiapkan kerja sekolah. Guru akan berleter dan dengan ini pelajar akan merasa bosan dan seterusnya akan menyiapkan kerja yang diberikan oleh guru tersebut. Di sini dapat dilihat bahawa leteran iaitu merupakan peneguhan negatif dapat mengubah tingkah laku negatif pelajar iaitu malas menyiapkan kerja sekolah.

5.3 Dendaan
Apabila seseorang pelajar membuat bising di dalam kelas, guru boleh menggunakan dendaan untuk mengubah tingkah laku tersebut. Antara dendaan yang boleh dibuat ialah menyuruh pelajar tersebut berdiri di hadapan bilik darjah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka berasa malu. Maka, mereka tidak akan membuat bising lagi kerana tidak mahu didenda.

6.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, pengetahuan tentang teori pembelajaran dalam bilik darjah adalah sangat penting terutamanya kepada para guru. Ini kerana ia dapat membantu dalam menguruskan tingkah laku pelajar dan seterusnya dapat mengembangkan intelek para pelajar.

kemahiran asas komunikasi

1.0 PENGENALAN
Individu sememangnya mempunyai potensi diri yang hebat. Namun demikian, tidak ramai yang sedar mengenai potensi yang ada pada diri mereka. Oleh itu, sebagai seorang pendidik, kita bertanggungjawab dalam memperkembangkan potensi diri para pelajar untuk memangkin kejayaan. Maka, adalah penting bagi seorang pendidik untuk menguasai kemahiran-kemahiran yang berkaitan psikologi serta bimbingan dan kaunseling supaya dapat membantu pelajar dalam memperkembangkan potensi diri mereka dari sudut emosi, perasaan, rohani serta intelek.
Selain dari membantu memperkembangkan potensi individu, kaunselor atau guru pembimbing juga mampu memudahkan perubahan tingkah laku. Maksudnya, dengan dorongan, sokongan serta bantuan kaunselor, tingkah laku pelajar dapat diubah dari negatif kepada positif. Contohnya pelajar yang selalu ponteng, kaunselor boleh memberi motivasi mengenai kesan-kesan buruk sekiranya pelajar selalu tidak hadir ke kelas dan dengan ini pelajar tersebut akan berfikiran rasional dan memudahkan dia berubah.
Setiap individu mempunyai masalah dalam hidup. Keadaan ini menjadi punca kepada gangguan fizikal, mental serta emosi individu. Walaubagaimanapun, dengan menggunakan kaedah yang betul untuk menangani sesuatu masalah dapat mencegah individu dari hilang kawalan diri. Oleh sebab itu kaunselor memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan masalah kliennya. Namun begitu yang menjadi penentu kepada penyelesaian masalah tersebut ialah klien itu sendiri. Kaunselor hanya dapat membantu memikirkan alternatif-alternatif yang dapat dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah.
Antara perkara yang sering dihadapi oleh segelintir individu ialah keupayaan mengurus diri yang rendah. Pengurusan diri merupakan sesuatu yang luas yang merangkumi pelbagai aspek, antaranya dalam menyelesaikan masalah serta berhadapan dengan masyarakat. Di sini, kaunselor berfungsi meningkatkan keupayaan klien untuk menguruskan diri mereka. Sekiranya klien dapat menguruskan diri mereka dengan baik, masalah yang timbul akan ditangani dengan bijak.
Walaubagaimanapun, perkara yang paling penting antara kaunselor dan klien ialah berupaya meneruskan hubungan. Sekiranya hubungan antara kaunselor dan klien tidak dapat diteruskan, masalah yang dihadapi oleh klien akan bertambah. Bagi meneruskan hubungan, seseorang kaunselor perlulah menimbulkan keyakinan klien terhadap dirinya. Kaunselor juga perlu sentiasa memberi komitmen dalam melibatkan diri untuk sesi kaunseling serta yang utamanya mahir dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien.
Oleh yang demikian, penguasaan berkaitan kemahiran-kemahiran asas psikologi serta bimbingan dan kaunseling sangat dalam berperanan sebagai seorang kaunselor. Kemahiran-kemahiran yang dimaksudkan ialah kemahiran komunikasi, kemahiran memberi tumpuan, kemahiran membuat penjelasan dan kemahiran memberi dorongan. Antara kemahiran penting yang akan dibincangkan ialah kemahiran asas komunikasi dan kemahiran memberi tumpuan.

2.0 KEMAHIRAN ASAS KOMUNIKASI
Menurut Ee Ah Meng (1995) dalam bukunya yang berjudul Sekolah Dan Perkembangan Kanak-Kanak, mendefinisikan komunikasi sebagai satu proses di mana seseorang menyampaikan sesuatu maksud kepada orang lain. Komunikasi berkesan akan wujud apabila maksud penyampai diterima dan difahami dengan jelas oleh penerima. Jika maksud disalahtafsirkan oleh penerima, maka konflik akan timbul di antara kedua-dua individu tersebut.

2.1 Cara Komunikasi
Proses komunikasi boleh berlaku melalui dua cara iaitu berbentuk lisan (verbal) dan bukan lisan (non-verbal). Walaubagaimanapun, tujuan kedua-dua cara tersebut adalah sama iaitu untuk menyampaikan sesuatu mesej, perasaan, idea dan fikiran dari seseorang individu atau penyampai kepada individu lain atau disebut juga sebagai penerima. Kebiasaannya mesej yang hendak disampaikan mengandungi set-set simbol yang membawa maksud tertentu. Antara simbol-simbol yang boleh dikaitkan ialah perkataan-perkataan, mimik muka (facial expression), gerak badan (gesture), hubungan mata (eye contact) dan sebagainya. Melalui simbol-simbol tersebut, penerima mesej akan menterjemahkan maksud simbol-simbol yang diterimanya mengikut fahamannya.

2.2 Halangan Dalam Komunikasi
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa halangan yang boleh menganggu proses komunikasi yang seterusnya boleh menyebabkan berlakunya penanggapan yang berbeza antara penyampai dan penerima mesej. Antara halangan-halangan yang boleh menjejaskan proses komunikasi ialah kebisingan. Kebisingan boleh menyebabkan mesej yang disampaikan oleh penyampai tidak dapat didengar dengan jelas oleh penerima. Maka proses komunikasi tidak dapat berlaku dengan berkesan apabila penyampai terpaksa mengulangi mesej yang disampaikan. Punca yang kedua ialah emosi seseorang penyampai atau penerima. Emosi yang berbeza boleh menyebabkan gangguan dalam proses komunikasi. Contohnya penerima mesej ialah seorang yang sensitif, pujian yang diterima olehnya boleh disalahertikan sehingga menyebabkan perasaannya terganggu. Punca yang ketiga ialah anggapan umum terhadap orang yang bercakap. Maksudnya penerima mesej memberi tanggapan mesej yang diterimanya berdasarkan tingkah laku dan pesonaliti penyampai mesej.
Selain dari itu halangan komunikasi juga berlaku apabila percakapan dan tingkah laku tanpa lisan bercanggah. Ini berlaku apabila apa yang dicakapkan berbeza dengan apa yang dirasa. Perasaan marah, benci atau tidak gembira disembunyikan dengan percakapan yang positif. Punca yang seterusnya ialah amalan kutuk-mengutuk. Amalan ini adalah tidak baik kerana ia akan menjejaskan hubungan antara penyampai dan penerima mesej. Kepercayaan antara penyampai dan penerima mesej juga penting dalam membina proses komunikasi berkesan. Sekiranya terdapat rasa tidak percaya antara penyampai dan penerima maklumat yang akan disampaikan tidak mencukupi. Yang akhir sekali ialah prasangka. Prasangka buruk penerima mesej terhadap penyampai akan menyebabkan mesej yang sampai akan diinterpretasikan mengikut prasangkanya.
Namun demikian, halangan-halangan ini dapat dielakkan sekiranya kita tahu cara berkomunikasi dengan berkesan. Cara-caranya termasuklah berfikiran terbuka. Ia adalah sangat penting bagi mengelak dari berlakunya salah tafsiran. Selain itu, sifat percaya mempercayai perlulah ditanam supaya mesej yang diterima tidak menjadi keraguan. Bagi memastikan bahawa kedua-dua pihak iaitu penyampai dan penerima mempunyai pemahaman yang sama, penyampai perlulah menyemak tanggapan penerima. Facial expression atau mimik muka perlu sejajar dengan maksud perkataan yang diucapkan. Perasaan yang terpendam tidak boleh disimpan sehingga menjejaskan hubungan. Bagi penyampai, bahasa yang digunakan hendaklah jelas dan mudah difahami supaya maksud tersurat dan tersirat dapat diterima oleh penerima dengan tepat. Bukan sahaja bahasa malah mesej yang hendak disampaikan juga perlu jelas. Penggunaan bahasa-bahasa kiasan, perumpamaan dan sebagainya boleh mengaburkan maksud mesej yang disampaikan.

2.3 Kepentingan Kemahiran Komunikasi
Penguasaan kemahiran komunikasi merupakan satu perkara penting kerana ia dapat memberi kebaikan kepada kaunselor serta klien dengan membantu kaunselor dalam membina dan meneruskan hubungan baik dengan klien. Pada masa yang sama ia juga dapat meningkatkan kepercayaan klien terhadap kaunselor. Selain dari itu, komunikasi yang berkesan ini juga dapat membantu menyelesaikan masalah klien apabila klien dan kaunselor dapat berinteraksi untuk memikirkan dan meneliti alternatif-alternatif yang dapat dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah klien. Bukan itu sahaja, malah ia dapat menunjukkan bahawa kaunselor faham akan masalah klien dan berusaha membantunya. Kemahiran komunikasi penting dalam meransang klien untuk berkongsi masalah dengan kaunselor. Dengan ini, kaunselor dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh klien dan seterusnya merancang strategi untuk membantu mengurangkan masalah yang membelenggu. Keberkesanan komunikasi dapat juga menunjukkan rasa hormat kaunselor terhadap klien dan ini akan menimbulkan rasa dalam diri klien sebagai insan yang dihargai.

2.4 Kemahiran Asas Dalam Komunikasi
Dalam proses asas komunikasi terdapat beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh kaunselor untuk memperoleh keberkesanan dalam proses komunikasi. Kemahiran tersebut ialah soalan terbuka, mendengar, senyap, memparafrasa atau penyataan semula, merefleksi perasaan, meringkas isi perbincangan dan yang akhir sekali ialah meringkas perasaan.
2.41 Soalan Terbuka
Menyoal adalah cara untuk memahami lebih lanjut perkara atau hal yang ingin dibincangkan oleh klien, Ibrahim Ahmad (2003). Maksudnya kaunselor akan menyoal klien bagi mendapatkan kepastian atau penjelasan. Terdapat beberapa sebab khusus yang menyebabkan kemahiran menyoal merupakan satu kemahiran yang penting. Antaranya ialah ia mendorong mencapai tujuan komunikasi. Klien yang datang berjumpa kaunselor akan disoal oleh kaunselor mengenai masalah yang dihadapi. Di sini kita dapat lihat bahawa komunikasi tersebut telah mencapai tujuannya. Selain dari itu, menyoal juga dapat mengembangkan sikap individu. Dengan menyoal juga kita dapat memupuk semangat saling memahami. Kemahiran menyoal juga dapat dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu pertanyaan terbuka, iaitu pertanyaan yang tidak berbentuk arahan dan kedua pertanyaan tertutup yang bersifat arahan. Antara tujuan mengemukakan soalan terbuka ialah meluaskan aspek perbincangan. Ia dapat dilakukan kerana soalan terbuka mampu menarik klien untuk menceritakan dengan lebih terperinci. Soalan terbuka juga merupakan salah satu cara untuk meransang klien bercakap lebih banyak dari apa yang difikirkan. Pada masa yang sama, tujuan soalan terbuka adalah untuk mendapatkan pendapat yang lebih jelas dan seterusnya membantu kaunselor memahami masalah klien.
Contoh :
 “apa pendapat kamu berkaitan isu pembuangan anak?”
 “kenapa agaknya keadaan ini semakin serius?”

2.42 Mendengar
Mendengar merupakan satu proses dinamik iaitu aktif dan menyeluruh. Mendengar bertujuan memahami dan mendapatkan mesej yang hendak disampaikan secara berkesan. Ia dapat diperolehi secara fizikal, idea, perasaan, psikologi serta keseluruhan pengalaman klien. Mendengar secara fizikal ialah melalui gerak geri fizikal yang ditunjukkan oleh klien. Manakala mendengar secara idea pula disampaikan oleh klien apabila dia dapat mengeluarkan masalah secara idea atau fakta tersusun. Mendengar yang seterusnya ialah secara perasaan iaitu kaunselor memahami dan menyelami perasaan klien. Bukan itu sahaja terdapat juga mendengar secara psikologi di mana kaunselor perlu memahami keadaan klien yang takut, cemas dan sebagainya. Yang terakhir sekali ialah mendengar keseluruhan pengalaman klien. Kaedah ini biasanya melibatkan pengumpulan maklumat klien oleh kaunselor bagi membantunya membuat rumusan. Kemahiran mendengar mempunyai fungsi yang tersendiri iaitu untuk belajar, menjalin hubungan, mempengaruhi orang lain, berseronok serta untuk menolong orang lain. Dalam proses mendengar, terdapat beberapa langkah yang perlu dilaksanakan. Pertama ialah menerima, di mana mesej yang disampaikan diterima. Langkah kedua ialah memahami iaitu memahami mesej yang disampaikan serta apa yang tersirat dalam fikiran penyampai. Langkah ketiga dan keempat ialah mengingat dan menilai. Langkah yang terakhir ialah memberi respons.
Contoh :
Klien : Saya ada sedikit masalah yang henadk dikongsi dengan encik
Kaunselor : Ok..sila teruskan

2.43 Senyap
Senyap merupakan satu keadaan atau situasi yang biasa berlaku dalam sesi kaunseling. Antara punca berlakunya kesenyapan ialah klien sedang mencari idea dan mengambil masa untuk menyusun idea tersebut. Selain dari itu, ia juga mungkin disebabkan oleh klien yang merasakan perbincangan antara dia dan kaunselor berlaku dengan serius atau masalah yang dikeluarkan oleh klien adalah terlalu rumit dan besar. Kesenyapan juga mungkin berlaku kerana klien merasakan bahawa rahsia tersebut perlu disimpan. Sebagai seorang kaunselor, langkah-langkah bagi menghadapi kesenyapan adalah penting. Antara cara-cara yang boleh digunakan untuk menghadapi kesenyapan ialah dengan menggunakan kesenyapan sebagai alternatif untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Kedua, kaunselor perlu menghadapi keadaan tersebut dengan tenang dan jangan panik. Ini adalah penting untuk mengekalkan keyakinan klien terhadap kaunselor. Ketiga, kaunselor hendaklah sabar dan jangan bertanya soalan secara melulu kerana ia boleh menganggu ketenangan dan emosi klien. Langkah yang seterusnya ialah biarkan klien yang menangis sepuas hati dan yang terakhir kaunselor perlu perlahan-lahan mengambil inisiatif memulakan perbualan.

2.44 Parafrasa
Menurut Ibrahim Ahmad (2002), parafrasa adalah respons dalam bentuk ayat pendek oleh kaunselor setelah mendengar isi dan hasil pemerhatian tingkah laku klien. Matlamatnya ialah untuk menyemak perspesi kaunselor samada sama atau tidak dengan persepsi klien. Selain itu ia juga untuk meringkaskan maksud klien serta sebagai tanda bahawa kaunselor cuba memahami klien. Terdapat beberapa panduan yang boleh digunakan dalam memparafrasa. Antaranya ialah mendengar dengan teliti, maksudnya kaunselor menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang dicakapkan oleh klien. Kedua ialah menyatakan semula tentang apa yang dinyatakan oleh klien sebagai rumusan yang lebih ringkas. Selain itu kaunselor juga tidak boleh menokok tambah apa yang diperkatakan oleh klien dan yang terakhir sekali ialah gunakan perkataan sendiri untuk menyampaikan cerita klien.
Contoh :
Klien : Saya dah bosan untuk tinggal bersama rakan saya
Kaunselor : Anda tidak mahu tinggal dengan akan anda lagi

2.45 Merefleksi Perasaan
Refleksi merujuk kepada satu usaha memahami klien dari persepsi dirinya sendiri, Ibrahim Ahmad (2002). Kemahiran refleksi ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu refleksi isi, refleksi perasaan dan refleksi pengalaman. Refleksi sesuai dibuat oleh kaunselor apabila klien menunjukkan perubahan tertentu, antaranya ialah menangis, tidak mahu bercakap, marah, ketawa dan agresif atau gelisah. Selain dari itu kaunselor juga boleh merefleksi sekiranya percakapan dan perasaan klien yang dapat dilihat bercanggah. Bukan itu sahaja, kaunselor juga boleh menggunakan kaedah merefleksi ini sebagai pengukuhan apa yang diluahkan oleh klien.
Contoh:
Klien : Saya rasa amat gembira apabila guru disiplin telah dipindahkan ke sekolah lain
Kaunselor : Awak lega sebab tidak perlu mandengar leteran lagi

2.46 Meringkas Isi Perbincangan
Kemahiran meringkas isi perbincangan ialah kebolehan kaunselor meringkaskan perkara-perkara penting yang telah dibincangkan bersama klien dalam sesi temu bual untuk menyemak bahawa kedua-duanya bersetuju tentang apa yang telah dibincangkan, Dr. Zainal Abidin Ahmad (2004). Terdapat dua tujuan meringkas isi perbincangan iaitu untuk membuat semakan dan untuk memberi keyakinan kepada klien bahawa kaunselor memberi sepenuh perhatian. Meringkas isi perbincangan ini dibuat dalam situasi-situasi tertentu iaitu ketika menstruktur permulaan sesi kaunseling, apabila klien menyatakan sesuatu yang mengelirukan, klien merasakan dia telah menyatakan segala-galanya dan apabila berada di penghujung sesi kaunseling.
Contoh :
Klien : Emak saya selalu beleter manakala ayah pula selalu memukul emak saya
Kaunselor : Nampaknya pembelajaran awk terganggu ketika di rumah

2.47 Meringkas Perasaan
Meringkas perasaan dijalankan dalam sesi kaunseling kerana kaunselor ingin mengenal pasti dan memberi respon kepada perasaan klien. Selain itu ia juga dibuat oleh kaunselor untuk mengajak klien menyemak respon yang dibual dan ia dapat menunjukkan bahawa kaunselor sedia mendengar masalah klien.
Contoh :
Klien : Emak selalu membeza-bezakan saya dengan kakak
Kaunselor : Nampaknya awak tidak berpuas hati dengan tindakan emak awk

Sebagai kesimpulannya, kemahiran komunikasi adalah sangat penting dan seharusnya dikuasai oleh semua kaunselor serta guru pembimbing. Ini kerana dengan asas-asas yang terdapat dalam kemahiran komunikasi inilah yang dapat menjadi sumber bagi mendapatkan interaksi yang berkesan dan seterusnya membantu menyelesaikan masalah klien di samping mengembangkan potensi dirinya sebagai individu yang berharga.

3.0 KEMAHIRAN MEMBERI TUMPUAN
Satu lagi kemahiran yang perlu ada pada seorang kuanselor ialah kemahiran memberi tumpuan. Memberi tumpuan bermaksud fikiran dan perasaan kaunselor tertumpu sepenuhnya pada sesi yang dijalankan, Tang Chee Yee (1987 ). Kemahiran ini berfungsi untuk menimbulkan rasa dihormati oleh kaunselor dan juga sebagai alat peneguhan. Oleh yang demikian, hubungan baik antara kaunselor dan klien dapat dibina.

3.1 Tingkah Laku Memberi Tumpuan
Memberi tumpuan boleh dibuat melalui tingkah laku. In meliputi kedua-dua pihak iaitu kaunselor dan juga klien. Antara tingkah laku yang boleh dilaksanakan oleh kaunselor sebagai respons memberi tumpuan ialah tumpuan mata (eye contact). Pada umumnya kaunselor perlu merenung dan menentang mata klien dengan penuh perhatian. Walaubagaimanapun, tentangan mata begitu seharusnya tidak mengancam keselesaan kedua-dua pihak yang boleh menyebabkan fitnah ataupun klien berasa malu. Tumpuan mata merangkumi aspek-aspek seperti beri perhatian, minat mendengar, tanda hormat, galakkan perbincangan, kejujuran, rasa penerimaan, keselesaan, kesungguhan dan saling mempercayai antara satu sama lain.
Pada masa yang sama, kaunselor juga dapat menunjukkan tingkah laku memberi tumpuan dengan postur badan yang ditunjukkan. Postur yang paling sesuai ialah postur bebas. Postur bebas yang dikatakan ialah kaunselor tidak menyandar ke belakang dan berpeluk tubuh yang boleh melambangkan sifat kurang menerima. Selain dari itu, keadaan badan kaunselor juga hendaklah mengadap klien. Kaunselor tidak boleh mengadap kearah lain kerana ia boleh menyebabkan klien hilang keyakinan pada kaunselor. Keadaan ini juga menunjukkan bahawa kaunselor tidak berminat untuk melibatkan diri dalam sesi yang dijalankan. Tingkah laku seterusnya yang menjadi tanda memberi tumpuan ialah postur badan yang condong ke hadapan sedikit. Tindakan ini bertujuan menapakkan bahawa kaunselor berminat untuk mendengar apa yang diperkatakan oleh klien, meneriman dan sedia membantu klien dengan sikap terbuka dan mesra.
Kaunselor dan klien juga mestilah sentiasa dalam keadaan rileks atau tenang. Ini bermaksud kedua-dua pihak duduk dalam keadaan yang tenang dan selesa mengikut diri masing-masing. Ianya sangat penting supaya kedua-duanya dapat menyatakan sesuatu dengan lega dan jelas disamping dapat meransang klien untuk memperincikan apa yang diperkatakan dan difahami oleh kaunselor.

3.2 Cara Memberi Tumpuan
Dalam kemahiran memberi tumpuan juga kaunselor perlulah membaiki kedudukan klienya terlebih dahulu untuk memudahkan klien memerhati, berhadapan dan bercakap dengan kaunselor dalam keadaan yang selesa. Cara yang terbaik dalam menyusun kedudukan klien ialah secara menyisi atau berbentuk ‘L’ dan tidak dihalang oleh apa-apa objek yang boleh mengganggu sesi kaunseling seperti meja, kerusi dan sebagainya.
Ekspresi muka atau facial expression merupakan satu cara di mana melambangkan perasaan, emosi, fikiran , penilaian dan keadaan diri individu. Oleh yang demikian kaunselor hendaklah sentiasa menunjukkan ekspresi yang ceria. Ini penting bagi mengurangkan rasa tertekan klien. Contohnya kaunselor yang masam mencuka akan menyebabkan klien berasa tawar hati untuk menceritakan masalahnya. Disamping itu juga kaunselor perlu sedar ekspresi wajah yang ditunjukkan klien sebagai mesej yang hendak disampaikan. Contohnya muka merah apabila marah dan dahi berkerut apabila kurang faham sesuatu perkara yang dikatakan oleh kaunselor.
Selain dari itu pergerakan tangan dan kaki juga menunjukkan tahap memberi tumpuan kaunselor dan klien. Bagi kaunselor, sangat tidak digalakkan menggoyangkan kaki kerana ia boleh mengganggu klien. Bagi klien pula kelakuan menggigit jari, menggoyangkan kaki, tergaru-garu, percakapan terganggu, tangan menggeletar, keadaan nafas turun naik, kaki menghentak ke lantai, perhatian ke arah kaunselor tidak tetap dan berpeluk tubuh adalah satu perkara yang biasa kerana ia merupakan respons kepada masalah yang dihadapinya. Oleh itu kaunselor hendaklah faham situasi berkenaan.

Bukan itu sahaja kaunselor juga boleh memberi tumpuan terhadap perasaan klien dengan intonasi suara yang diucapkan oleh klien samada mengeluh, menangis, terbatuk-batuk, ketawa, tersedu-sedu, menjerit, berbisik sendiri dan sebagainya. Ini kerana pada masa tertentu klien mudah meluahkan perasaannya melalui separa bahasa. Selain itu, senyuman juga menjadi unsur penting dalam proses memberi tumpuan. Ini kerana ia boleh melambangkan erti persahabatan, penerimaan dan kebolehan untuk berkerjasama. Ketegangan emosi klien boleh diredakan sekiranya kaunselor mengukir senyuman, walaubagaimanapun senyuman yang hendak diberikan perlu mengikut kesesuaian kerana ia mungkin menimbulkan tanggapan yang berbeza. Bagi klien pula, senyuman boleh menutup rasa malu, takut, risau, keliru, serba salah dan sebagainya.

3.3 Kamahiran Asas Member Tumpuan
Dalam kemahiran memberi tumpuan terdapat beberapa cara yang boleh di lakukan oleh kaunselor sebagai maksud menumpukan sepenuh perhatiannya. Cara-caranya ialah merespons mudah atau dorongan minimun, meringkaskan isi perbincangan dan perasaan, penekanan dan akhir sekali ialah memparafrasa.

3.31 Merespons Mudah / Dorongan Minimum
Merespons mudah atau dorongan minimun merupakan respons ringkas samada secara lisan atau bukan lisan. Ia bertujuan menggalakkan klien untuk terus bercakap, menunjukkan kaunselor memberi perhatian dan mununjukkan klien faham dan mengikuti penjelasan.
Contoh :
 “aha..”
 “ya….teruskan…”
 “ummmm..”
 “jadi…”

3.32 Merefleksi Isi Perbincangan Dan Perasaan
Merefleksi isi perbincangan dan perasaan ialah kaunselor membuat respon tentang apa yang telah dicakapkan, termasuklah perasaan yang tersirat dan isyarat badan yang dihantar oleh klien, Dr. Zainal Abidin Ahmad (2004).

3.33 Penekanan
Penekanan biasanya diambil daripada ucapan terakhir klien dengan cara mengulang ayat tersebut. Ia dilakukan untuk menonjolkan sesutu perkataan yang diucapkan oleh klien.

3.34 Memparafrasa
Menurut Ee Ah Meng (1995) dalam bukunya Sekolah Dan Perkembangan Kanak-Kanak, parafrasa merupakan satu cara kaunselor merumuskan apa yang dinyatakan oleh klien. Ia bertujuan untuk menyemak kefahaman pembimbing mengenai masalah yang disampaikan. Disamping itu ia juga membantu pembimbing mengingat semula isi-isi penting yang telah disampaikan oleh klien serta dapat meningkatkan kefahaman diri klien tentang masalah yang dihadapinya. Keadaan ini seterusnya dapat membawa kepada kesedaran kendiri dan memudahkan klien menyelesaikan masalahnya.

3.4 Kepentingan Memberi Tumpuan
Kemahiran yang memberi tumpuan yang telah dinyatakan di atas dapat memberi kesan kepada klien. Antaranya ialah klien akan berasa yakin untuk berjumpa klien. Apabila klien merasakan dirinya diberi perhatian, dia akan merasa selesa. Oleh sebab itu, keyakinan terhadap kaunselor dapat dibentuk dan seterusnya menggalakkan interaksi yang berkesan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Tumpuan yang diberikan juga mampu menunjukkan kesudian kaunselor dalam melibatkan diri untuk sesi kaunseling. Selain itu, klien juga akan lebih senang dan terbuka untuk menceritakan masalahnya. Dengan ini dapat memudahkan kerja kaunselor untuk mengenal pasti masalah klien dan kemudiannya mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah. Pada masa yang sama, klien juga akan menunjukkan komitmen yang sepatutnya sekiranya dia diberi tumpuan oleh kaunselor. Contohnya, klien akan sentiasa mengikuti sesi kaunseling yang diadakan bagi menceritakan masalah yang dihadapi. Yang terkhir ialah dapat membina hubungan baik antara kaunselor dan klien. Hubungan yang dijalin dapat dikekalkan sehingga di luar sesi kaunseling.

3.4 Kesan Sekiranya Memberi Tumpuan Diabaikan
Namun yang demikian, terdapat juga beberapa kesan negatif yang mungkin berlaku sekiranya proses memberi tumpuan ini diambil mudah dan diabaikan. Antara kesan yang dimaksudkan ialah hilang kepercayaan klien terhadap kaunselornya. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan klien enggan bertemu dengan kaunselor dan tidak berkomitmen di mana klien tidak melakukan apa yang dikehendaki oleh kaunselor. Ini merupakan salah satu respons sebagai reaksi klien apabila merasakan dirinya tidak dihargai. Selain itu klien juga akan merasa tertekan apabila masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan dan masalah semakin bertambah apabila kaunselor tidak menghiraukan. Kesan negatif lain yang mungkin timbul lagi ialah tahap membina hubungan tidak dapat dijalankan. Ini berlaku kerana keengganan klien untuk menceritakan tentang dirinya atau mungkin juga disebabkan oleh kaunselor yang mengambil mudah dalam membina hubungan dengan klien.

4.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, kedua-dua pihak iaitu kaunselor dan klien perlulah memberi komitmen yang sewajarnya dalam meneruskan sesi kaunseling. Kaunselor sebagai pembimbing hendaklah faham tentang tindakan dan tingkah laku yang perlu dibuat bagi menghadapi klien yang pelbagai dengan masalah yang berlainan. Oleh yang demikian, penguasaan kemahiran-kemahiran yang ada adalah sangat penting bagi kaunselor untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien.