Monday, April 13, 2009

CIRI KOMUNIKASI & JENIS AYAT

CIRI KOMUNIKASI LISAN

Dalam sesebuah ucapan terdapat beberapa ciri yang dikongsi bersama antaranya ialah persiapan rapi, mencungkil maklumat, mengetahui jenis ucapan yang hendak disampaikan, memancing pendengar, mengadun maklumat, memfokus kepada tema, mendapatkan apresiasi dengan tepukan gemuruh, statistik dan anekdot, contoh dan perbandingan, bermain dengan retorik, stail penyampaian, pola urutan, menyemak dan menyunting serta reka letak slaid.
Berdasarkan ucapan Perdana Menteri Malaysia sewaktu Konvokesyen Integriti Nasional 2007, terdapat beberapa ciri komunikasi lisan boleh dilihat antaranya ialah persediaan rapi, memancing pendengar, mengadun maklumat serta memfokus pada tema.

Persediaan Rapi

Ucapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri itu jelas mempunyai persediaan yang rapi. Ini kerana ucapan yang hendak disampaikan disediakan dalam bentuk teks bertulis terlebih dahulu supaya semua bahan dapat disampaikan dengan baik. Selain itu ia juga penting untuk mengelakkan daripada terlupa isi kandungan yang hendak disampaikan.
Persiapan sebegini mestilah bermula dengan mempunyai pengetahuan yang cukup. Dalam ucapan tersebut dapat disimpulkan bahawa Perdana Menteri sememangnya mempunyai pengetahuan yang cukup dimana banyak maklumat dan bahan-bahan berkaitan integriti diadun di dalam ucapan yang disediakan. Antaranya beliau banyak menggunakan contoh-contoh yang sesuai dengan perkara yang dibincangkan.
Pada masa yang sama beliau juga mempunyai kecekapan berbahasa dalam bahasa yang digunakan. Ini dilihat apabila beliau dapat memberi ucapan dengan lancar tanpa sebarang gangguan seperti gugup, tersasul, gagap dan sebagainya. Ini mungkin disebabkan oleh latihan serta pengalaman beliau dalam memberi ucapan.
Persediaan awal seperti mengenal pasti pendengar juga dapat dilihat dimana beliau tahu siapa golongan yang akan mendengar ucapan yang disampaikan. Ini terbukti dalam ucapannya, “Saudara-saudara dan saudari-saudari yang mengambil bahagian sekalian samada dari kumpulan sektor awam ataupun swasta” (perenggan 1, baris 5). Oleh sebab itu jelas menunjukkan bahawa audien yang menghadiri konvokesyen tersebut terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan dan swasta. Seperti yang terdapat dalam ucapan beliau juga, “…kita perlu mengingati diri kita bahawa kita masing-masing adalah pemimpin. Pemimpin dalam keluarga, pemimpin dalam kerajaan, pemimpin dalam persatuan itu persatuan ini dan yang pentingnya ialah kita yang memimpin diri kita sendiri…” (perenggan 10, baris 4).
Selain itu kesediaan untuk memberi ucapan juga dapat dilihat apabila pengucap mempunyai alasan kepada ucapannya itu, seperti yang disebut, “Saudara, saya telah memilih untuk bercakap fasal ini, mungkin ini buat pertama saya cakap pada kali yang macam ini, kalau dulu saya hanya bercakap public service delivery system, saya cakap fasal anti rasuah, saya cakap hal-hal yang berkaitan dengan rasuah, saya bercakap hal untuk mengekalkan disiplin, saya cakap tentang peraturan-peraturan yang ada dalam pejabat, biar la hari ini kita bercakap fasal diri kita” (perenggan 12, baris 1)

Memancing Pendengar

Memancing pendengar biasanya dikaitkan dengan penggunaan kata-kata dan ungkapan-ungkapan yang dapat menarik perasaan dan hati para khalayak untuk terus mendengar dengan membuka hati dan minda mereka. Dalam memancing pendengar, pengucap seharusnya menyelidik terlebih dahulu audien atau pendengar yang akan mendengar ucapannya samada dari golongan wanita, kanak-kanak, orang tua, lelaki, pelajar atau sebagainya. Berdasarkan video ucapan Perdana Menteri, audien yang mendengar ucapan tersebut adalah dari golongan dewasa yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan dan swasta, maka ucapan yang disampaikan adalah lebih berbentuk santai dan mengandungi banyak kata-kata semangat dan nasihat bagi membentuk sahsiah pekerja yang baik. Contohnya seperti dalam ucapan beliau, “Jadi saya tidak mengatakan apa yang ada semua buat cadangan itu perlu diketepikan atau cadangan-cadangan yang boleh kita laksanakan, kita laksanakan dan kita akan halusi apakah cadangan-cadangan dan usul-usul yang telah dikemukakan itu. Tetapi satu cadangan saya kepada anda semua sebagaimana saya juga mencadangkan kepada diri saya ialah make ourself a better man. Kalau semua orang dalam hall ini kata mulai dari sekarang saya akan menjadi orang yang baik dalam segala-galanya, baik sebagai bapa, baik sebagai anak, baik sebagai pegawai memastikan kerja saya itu baik dan beramanah I think we can change the future”. (perenggan 9, baris 10)
Untuk memancing pendengar terhadap ucapan yang disampaikan, pengucap juga mestilah memberi fokus kepada pendahuluan ucapan kerana permulaan yang baik akan berakhir dengan baik. Menurut Jeniri Amir (2006), tujuan utama pendahuluan adalah untuk menarik perhatian khalayak, menjalin hubungan yang baik dan menghubungkan pengucap dengan khalayak, memberi sebab kenapa khalayak perlu mengikuti ucapan itu, menjelaskan idea, fokus atau batasan ucapan, mewujudkan tanggapan awal pada pengucap, mewujudkan kredibiliti pengucap serta mempersembahkan tajuk seperti yang diucapkan oleh Perdana Menteri pada awal ucapannya iaitu, “kita nak menjadikan integriti ini bukan hanya sebagai satu perkataan tetapi sebagai satu idea, sebagai satu sistem nilai (value system) mesti selama-lamanya ada pada diri kita dan mesti menjadi amalan kita semua”. (perenggan 2, baris 3).

Mengadun Maklumat

Untuk menghasilkan ucapan yang dapat menarik minat pendengar, pengucap mestilah pandai mengadun semua maklumat yang dikumpulkan dengan mengambil perhatian kepada beberapa perkara. Menurut Prof. Madya Dr. Yousof @ Saat Md Yasin (2007), antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah siapakah khalayaknya?, apakah yang mereka minati?, apakah pribahasa yang akan digunakan?, apakah kaedah retorik yang akan dipakai? serta apakah humor yang akan menarik minat mereka?.
Seperti mana yang dinyatakan tadi persediaan yang rapi telah dibuat sebelum ucapan disampaikan, maka Perdana Menteri selaku pengucap tahu golongan yang akan mendengar ucapan yang akan disampaikan oleh beliau. Oleh yang demikian, Perdana Menteri telah banyak menyentuh perkara-perkara yang sesuai dengan golongan tersebut. Antaranya beliau telah menyentuh berkaitan anak-anak, “Dan kalau didikan ini diberi dengan begitu bersungguh-sungguh oleh ibu bapa, maka insyaAllah anak-anak itu akan jadi anak yang baik. Dan dalam hal ini sudah semestinya ibu bapa yang mengajar dan mendidik begitu mestilah juga menjadi contoh yang baik kepada anak-anak”. (perenggan 3, baris 6). Beliau turut menyebut berkaitan amanah, “Malu kerana gagal menjalankan satu tugas yang diamanahkan kepadanya. Maka biasa dengan itu jeneral-jeneral peperangan, jeneral-jeneral yang mengetuai tentera-tentera jepun kalau kalah maka malunya itu dia sendiri menghukum dan dia menghukum dengan memotong perutnya”. (perenggan 5, baris 2).
Selain menggunakan ayat yang sesuai dan boleh menarik minat pendengar beliau juga menggunakan unsur-unsur retorik, antaranya, “…dan yang pentingnya ialah kita yang memimpin diri kita sendiri akhirnya kita memimpin diri kita sendiri”. (perenggan 10, baris 6).

Memfokus Kepada Tema

Tema sesuatu ucapan mestilah dikekalkan agar ia tidak terkeliru oleh pendengar. Maka pengucap mesti sentiasa fokus kepada tema yang diketengahkan. Untuk memastikan ucapan adalah berfokus kepada tema, maka pengucap mestilah menyediakan ucapan yang kaya dengan maklumat yang berkaitan. Oleh itu pengucap perlulah membuat banyak rujukan daripada buku-buku, majalah-majalah, internet, akhbar dan sebagainya. Menurut Prof. Madya Dr. Yousof @ Saat Md Yasin (2007), maklumat-maklumat yang diperoleh perlu dibaca dengan teliti terlebih dahulu, kemudian asingkan maklumat yang akan digunakan dengan maklumat yang tidak digunakan. Selepas itu pengucap perlu mengarang semula teks dengan menggunakan maklumat-maklumat yang dipilih tadi dan berfokus kepada tema.
Seperti yang terdapat dalam ucapan Perdana Menteri beliau telah mengetengahkan isu berkaitan dengan pembangunan modal insan di mana merupakan salah satu perkara penting dalam integriti. Antara yang disebut ialah, “Jadi itulah yang kita mahu dan mestilah memahami bahawa pembangunan modal insan satu program integriti yang cukup penting bagi kita kerana pembangunan modal insan itu diasaskan kepada pembentukan sahsiah, pembentukan pribadi yang mulia yang dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kekuatan yang ada pada kita”. (perenggan 9,baris 1).
Selain itu beliau turut menyentuh berkaitan kemajuan negara, di mana dalam ucapannya beliau menyebut, “Ini juga perkara yang perlu kita ingat dan kita memahami kerana ia balik kepada diri kita sendiri sebenarnya sepuluh gerakan yang akan menjadikan negara kita ini maju atau tidak maju adalah gerakan yang datang dari tindakan manusia dalam pelbagai pekerjaan dia lakukan samada dia berjaga, samada dia berkerja, samada dia menjadi penguatkuasa undang-undang ataupun apa jua adalah bermula daripada tindakan kita masing-masing. Kita bertindak seorang diri, dalam hal-hal tertentu kita bertindak sebagai kumpulan, sebagai satu pasukan. Kalau dalam tentera bertindak sebagai satu rejimen, sebagai satu patro sama juga dengan polis, bertindak bersama dan kita nak tindakan bersama itu adalah semuanya sama dari segi niat, tujuan dan kesungguhannya. Maka dengan itu pasukan kita itu tidak tercemar dengan adanya seorang dua yang melakukan sesuatu yang tidak baik”. (perenggan 11, baris 8).





JENIS AYAT

Ayat ialah suatu bentuk bahasa yg terjadi dengan adanya sekumpulan kata yang saling berhubung dan terdiri daripada subjek dan predikat (Kamus Pelajar). menurut Kamus Dewan Edisi Tiga, ayat merupakan satu perkataan atau (lebih kerap lagi) serangkai perkataan yg merupakan kesatuan yg membawa sesuatu maksud.
Setiap ayat membawa maksud yang pelbagai berdasarkan pola sebutannya. Antaranya membawa maksud seruan, pertanyaan, penyataan dan sebagainya.

Ayat Penyata

Ayat penyata diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan atau memberi keterangan mengenai sesuatu hal. Ia dikenali juga sebagai ayat berita atau ayat keterangan. Menurut Khairul Anuar (1992), ayat penyata atau ayat berita ayat ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat sesuatu penyataan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal yang biasanya diakhiri dengan noktah. Manakala pola intonasinya pula adalah sederhana dan diakhiri dengan nada penutup yang menurun. Contohnya ialah, Anita seorang gadis yang cantik, Aminah sedang tidur, ayah saya seorang guru.
Beberapa contoh ayat penyata yang terdapat dalam teks ucapan Perdana Menteri ialah :
• “Agama Islam melarang daripada kita membunuh diri tetapi menggalakkan taubat…” (perenggan 5, baris 10)
• “Pembangunan modal insan tidak hanya ditumpukan kepada meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang…” (perenggan 7, baris 3)
• “Allah Taala memberi satu kelebihan kepada manusia iaitu berfikir dan dia boleh berfikir antara baik dan tidak baik, yang elok dengan yang tidak elok” (perenggan 8, baris 17)
• “Jarang manusia yang nak bercakap tentang kelemahan dirinya biasanya lebih mudah dia tidak mengakui yang dia itu lemah tetapi lebih suka cakap dengan megah dan sombong dan takabbur, itu kecenderungan yang mungkin ada pada ramai orang” (perenggan 13, baris 19)

Ayat Tanya

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menyoal dan mendapatkan jawapan atau reaksi mengenai sesuatu perkara. Secara umumnya terdapat dua jenis ayat tanya iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
• Ayat tanya tanpa kata tanya
Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat tanya yang terbentuk dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat. Contohnya, Dia tertidur?, Nadia tak jadi pergi?
• Ayat tanya dengan kata tanya
Terdapat dua jenis ayat tanya seperti ini iaitu ayat yang menggunakan ganti nama tanya seperti apa, siapa dan mana serta ayat yang mengandungi frasa sendi nama tanya seperti di mana, ke mana, bagaimana, dengan siapa dan lain-lain. Contoh yang menggunakan ganti nama tanya ialah, itu apa?, orang itu siapa? Manakala contoh bagi ayat yang menggunakan frasa sendi nama pula ialah, awak dapat wang itu dari mana?, Julia hendak pergi ke mana?.
Mengikut Asraf (2007), ayat tanya juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu ayat tanya sonsang dan sonsang terbahagi. Ayat tanya sonsang ialah ayat yang predikatnya didahului dan subjeknya dikemudiankan. Contohnya, apakah itu?, di manakah dia? Dan ayat sonsang terbahagi pula sebaliknya di mana predikatnya terbahagi iaitu satu di hadapan dan satu lagi di belakang, manakala subjek berada di tengah-tengah. Contoh ayat, mengapakah engkau memarahinya?.

Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau telah menggunakan banyak kata tanya, antaranya :
• “Di mana yang kita tidak betul?” (perenggan 6, baris 2)
• “Di mana salahnya kita?”(perenggan 6, baris 3)
• “Adakah kita telah melakukan sesuatu yang tidak baik yang berlawanan undang-undang…?” (perenggan 6, baris 3)
• “Mengapa Allah s.w.t tidak membetulkan manusia yang sikapnya sombong, sikapnya tisak baik, mengapa tidak?” (perenggan 8, baris 12)

Ayat Perintah

Ayat perintah diucapkan dengan tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Ia boleh dikategorikan kepada empat iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan serta ayat permintaan.
• Ayat suruhan
Ayat suruhan meruppakan ayat yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau suruhan. Subjek dalam ayat suruhan merupakan ganti nama kedua seperti awak, kamu dan engkau. Contohnya, bakar sampah itu, pergi dari sini!
• Ayat larangan
Ayat ini biasanya mengandungi kata-kata larangan seperti jangan, usah dan sebagainya. Kata-kata ini digunakan sebelum kata kerja dengan maksud menegah atau melarang dari lakukan sesuatu yang tidak diingini. Contohnya, jangan kau datang lagi, usah ditangisi peristiwa lepas.
• Ayat silaan
Ayat silaan adalah ayat yang diucapkan untuk tujuan menjemput atau mempersilakan. Ayat ini menggunakan kata silaan seperti sila, silakan, jemput, baik, mari dan sebagainya. Contoh ayat, jemput minum, sila masuk.
• Ayat permintaan
Ayat permintaan merupakan ayat yang nyata untuk menerangkan maksud bagi meminta sesuatu atau memohon bantuan. Ia mengandungi kata-kata permintaan iaitu minta, tolong dan digunakan secara halus untuk ditujukan kepada orang kedua. Misalnya, minta semua hadirin bertenang, tolong padam lampu.

Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau telah menggunakan beberapa kata perintah, antaranya :
• “Jangan jadi ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus tetapi dia berjalan menyenget…” (perenggan 3, baris 9)
• “Tolonglah ingat perkara ini” (perenggan 9, baris 23)
• “ Marilah kita bersama-sama dalam usaha menegakkan integriti ini…” (perenggan 13, baris 1)

Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan nada atau intonasi seruan untuk melahirkan sesuatu perasaan, sama ada takut, kagum, marah, gembira dan sebagainya. Tanda seru (!) diletakkan pada akhir ayat seru. Contohnya, Amboi, cantiknya!, Aduh sakitnya!
Antara contoh ayat seruan yang terdapat ucapan Perdana Menteri :
• “Kita semua ini adalah pemimpin!” (perenggan 9, baris 24)
• “Ambil tekad kita akan betulkan integriti diri kita, tiap-tiap orang yang ada dalam dewan ini” (perenggan 13, baris 6)
• “Ini ajaran agama kita!” (perenggan 8,baris1)





PELAKSANAAN PRINSIP PEMBAKUAN BAHASA

Bahasa baku ialah satu jenis bahasa yang menggambarkan keseragaman dalam bentuk dan fungsi bahasa, menurut ahli linguistik Einar Haugen, ia dikatakan sebagai "loghat yang paling betul" bagi sesuatu bahasa. Istilah bahasa baku dan bahasa standard merujuk kepada perkara yang sama. Di dalam Kamus Pelajar, perkataan ‘baku’ ini bermaksud yang utama, yang pokok, yang diterima, yang diakui, yang sah dan benar.
Pembakuan pula merujuk kepada proses pengekodan bahasa. Biasanya pengekodan bahasa ini membabitkan aspek tatabahasa, sebutan ejaan, pengkamusan dan peristilahan. Para sarjana telah memberikan definisi kepada konsep bahasa baku. Antaranya Garvin dan Mathiot mendefinisikan bahasa baku sebagai “a codified form of language, accepted by and serving as a model to a larger speech community”. Definisi oleh Garvin dan Mathiot ini menunjukkan bahawa sesuatu bahasa itu adalah bahasa baku jika bahasa berkenaan dikodifikasi dan diterima oleh masyarakat secara umum serta menjadi model kepada masyarakat bahasa tersebut. Definisi yang diberikan oleh Garvin dan Mathiot ini menyatakan bahawa bahasa baku itu merupakan bahasa yang dikodifikasi dimana ia bermaksud pengumpulan serta penyusunan pelbagai peraturan mengenai sesuatu bahasa sehingga bahasa itu menjadi suatu keseluruhan yang bersistem dan teratur. Oleh itu bahasa yang telah dikodifikasi adalah bahasa yang bersistem atau mempunyai peraturan.
Oleh yang demikian, secara tidak lansung dapat disimpulkan bahawa pembakuan merupakan satu persetujuan yang dicapai oleh sesuatu masyarakat untuk memillih satu variasi daripada beberapa variasi yang ada dalam masyarakat tersebut untuk dijadikan model yang terbaik sebagai bahasa baku. Variasi yang dimaksudkan tersebut ialah kelainan bahasa, misalnya Kelantan mempunyai variasi bahasanya yang tersendiri, masyarakat kampung yang berada di pedalaman juga mempunyai variasinya sendiri. Kelainan ini sebenarnya merupakan cabang-cabang daripada Bahasa Melayu atau dengan kata lain, kelainan bahasa itu juga dirujuk sebagai dialek.
Penggunaan bahasa baku biasanya dijalankan dalam majlis-majlis rasmi negara contohnya di dalam parlimen. Aspek sebutan bahasa baku telah dilancarkan pada tahun 1988. Sebutan baku dalam Bahasa Melayu adalah berdasarkan kepada ejaan . Maksudnya setiap huruf akan dibunyikan, iaitu satu huruf satu bunyi. Menurut Datuk Hassan Ahmad (1989), “Sebutan baku yang diucapkan menurut ejaan baku Bahasa Kebangsaan atau menurut nilai bunyi huruf dalam bahasa kita, bukan menurut sebutan loghat atau menurut nilai bunyi huruf asing seperti Bahasa Inggeris”.
Berdasarkan ucapan Perdana Menteri sewaktu konvokesyen Integriti Nasional 2007, terdapat banyak juga perkataan-perkataan yang disebut menggunakan sebutan baku. Antara perkataan-perkataan yang disebut menggunakan sebutan baku ialah :
• “…mesti selama-lamanya ada pada diri kita…” (perenggan 2, baris 5)
• “…yang boleh membina sahsiah anak itu daripada umur masih muda dan masih remaja lagi” (perengaan 3, baris 5)
• “Dan kalau didikan ini diberi dengan begitu bersungguh-sungguh oleh ibu bapa,” (perenggan 3, baris 6)
• “…mengajar dan mendidik begitu mestilah juga menjadi contoh yang baik kepada anak-anak” (perenggan 3, baris 8)
• “Hal ini menjadi cara kita dalam hubungan kita…” (perenggan 4, baris 4)
• “Malu kerana gagal menjalankan satu tugas yang diamanahkan kepadanya” (perenggan 5, baris 3)

Walaubagaimanapun terdapat juga perkataan-perkataan yang disebut menggunakan bahasa standard, tidak menggunakan bahasa baku. Contohnya ialah :
• “Yang Berbahagia Penganjur…” (perenggan 1, baris 2)
• “Saudara-saudara dan saudari-saudari yang mengambil bahagian sekalian…” (perenggan 1, baris 5)
• “Saya amat gembira kerana perbincangan fasal integriti ini dijadikan satu perbincangan yang sentiasa diadakan…” (perenggan 2, baris 1)
• “Semasa kecil lagi anak-anak diajar jangan bohong…” (perenggan 2, baris 2)
• “…yang boleh membina sahsiah anak itu daripada umur masih muda…” (perenggan 3, baris 5)
• “Jeneral-jeneral yang mengetuai tentera-tentera Jepun…” (perenggan 5, baris 4)

Secara keseluruhannya Perdana Menteri banyak menggunakan perkataan-perkataan baku walaupun tidak sepenuhnya dan ini merupakan salah satu usaha yang dijalankan oleh beliau untuk memartabatkan lagi penggunaan bahasa baku.

LAMPIRAN

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA KONVOKESYEN INTEGRITI NASIONAL 2007

Bismillahhirrahmanirrahim… Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan selamat sejahtera saudara saudari sekalian. Yang Berbahagia Penganjur Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan dan Dato’ Dr. Mohd Tap, Yang Amat Berbahagia Tun Hanif, Yang Berhormat Menteri-Menteri, Timbalan Menteri, Yang Berhormat Menteri Besar, saudara-saudara dan saudari-saudari yang mengambil bahagian sekalian samada dari kumpulan sektor awam ataupun swasta.
Saya amat gembira kerana perbincangan fasal integriti ini dijadikan sebagai satu perbincangan yang sentiasa diadakan walaupun dalam bentuk dan dikalangan kumpulan-kumpulan yang berbeza. Ini adalah kerana kita nak menjadikan integriti ini bukan hanya sebagai satu perkataan tetapi sebagai satu idea, sebagai satu sistem nilai (value system) mesti selama-lamanya ada pada diri kita dan mesti menjadi amalan kita semua.
Pada saya yang pentingnya apabila kita cakap tentang integriti ini, integriti mesti bermula di rumah, dalam keluarga. Semasa kecil lagi, anak-anak diajar jangan bohong, diajar beramanah, diajar disiplin mengikut peraturan, diajar kasih sayang, sedia tolong-menolong bantu-membantu dan nilai-nilai yang lain yang boleh membina sahsiah anak itu daripada umur masih muda dan masih remaja lagi. Dan kalau didikan ini diberi dengan begitu bersungguh-sungguh oleh ibu bapa, maka insyaAllah anak-anak itu akan jadi anak yang baik. Dan dalam hal ini sudah semestinya ibu bapa yang mengajar dan mendidik begitu mestilah juga menjadi contoh yang baik kepada anak-anak. Jangan jadi ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus tetapi dia berjalan menyenget, ini tidak betul. Itulah yang amat penting.
Yang keduanya kita mahu supaya nanti dikalangan keluarga sesama mereka pun sama-sama saudara keluarga dalam rumah sendiri ataupun dalam ahli keluarga yang dekat dan selepas itu dikalangan kawan-kawan dan rakan dalam pekerjaan. Hal ini menjadi cara kita dalam hubungan kita dengan mereka semua. Bukanlah kita nak mempamerkan tetapi cara kita itu mestilah cara yang mempunyai ciri-ciri keluhuran, ciri-ciri yang baik. Ini adalah amat penting. Kita mahu kita ini berperkerti yang luhur, beperkerti mulia. Pekerti kita ini mestilah dilihat dalam apa jua yang kita laksanakan.
Ada perkara-perkara yang seperti bagi bangsa lain, jepun adalah satu bangsa yang cukup takut malu. Malu kerana gagal menjalankan satu tugas yang diamanahkan kepadanya. Maka biasa dengan itu jeneral-jeneral peperangan, jeneral-jeneral yang mengetuai tentera-tentera jepun kalau kalah maka malunya itu dia sendiri menghukum dan dia menghukum dengan memotong perutnya. Dan peristiwa itu kadang-kadang dijalankan dalan satu majlis yang penuh adat istiadat, dia nak tunjuk kepada semua orang biar semua orang tahu dia mengambil tanggungjawab yang besar terhadap sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, maka dilakukan dengan satu ceremony untuk semua lihat tapi ada agama yang memang melarang daripada membunuh diri. Agama islam melarang daripada kita membunuh diri tetapi menggalakkan taubat, tetapi janganlah taubat di mulut, taubat dari hati sesungguhnya taubat nasuha. Taubat yang tidak akan melakukan perkara yang kerananya dia dah taubat, dia tidak melakukan lagi. Maka dengan itu ini satu pembentukan akhlak yang baik.
Kita perlu sentiasa bermuhasabah dengan diri kita sendiri, kalau kita rajin bertanya dan memeriksa diri kita, selalu tanya diri kita dimana yang kita tidak betul?, dimanakah salahnya kita?, adakah kita telah melakukan sesuatu yang tidak baik yang berlawanan undang-undang, yang berlawanan dengan tatasusila adab baik?, kita melakukan yang tidak senonoh. Macam-macam yang kita boleh tanya pada diri kita, tanya pada diri kita adakah kita sentiasa membohong?, tidak berani berkata yang benar, tidak berani mengakui. Faham tetapi mengelaknya dengan membohong atau ada lagi perbuatan-perbuatan yang lain.
Maka ini sebenarnya mesti menjadi antara usaha yang perlu kita laksanakan, yang perlu kita semai dalam diri kita semua dan ini satu aspek pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan tidak hanya ditumpukan kepada meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang bukan itu sahaja, kalau itu sahaja mungkin orang pandai boleh jadi penipu dan melakukan macam-macam bentuk penipuan atau melakukan tindakan-tindakan yang merugikan, merugikan negara, merugikan bangsa. Kita tidak mahu begitu kerana berilmu sahaja belum lagi orang itu menjadi manusia yang baik budi pekertinya dan tinggi sahsiahnya. Maka dengan itu nilai-nilai moral yang baik mesti sentiasa disemai dalam diri semua kita.
Ini ajaran agama kita!, agama Islam pun mengajar begitu, Kristian pun mengajar begitu, agama Hindu pun mengajar begitu, agama Buddha pun mengajar begitu, supaya kita menjadi orang yang baik. Tetapi walaupun ini ajaran Allah, ajaran Tuhan, manusia masih lagi tidak dapat menerima itulah degilnya mausia, itulah sombongnya manusia. Itulah ayat dalam Al-Quran apabila Allah s.w.t mula turunkan ayat-ayat Al-Quran dengan the first word just one single word iqra’, I command you to read. Itulah pendekatan pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad, prophet Muhammad melalui Jibril Alaihissalam. Kata yang pertama iqra’, ada ilmu tapi mengapa masih ada ramai orang yang tidak belajar dan tidak mahu belajar, yang buta huruf terutama orang Islam dan negara-negara Islam dimana peratus buta huruf itu tinggi. Kita perlu berperkerti mulia, kita perlu belajar banyak perkara. Mengapa Allah s.w.t tidak membetulkan manusia yang sikapnya sombong, sikapnya tidak baik, mengapa tidak? Kalau Allah Taala nak membetulkan kita maka senang saja “kun fayakunla”. Kita semua jadi manusia yang cukup sempurna, yang cukup baik. Tetapi ada kebesaran Allah s.w.t tidak menjadikan begitu kerana manusia perlu berfikir, Allah Taala memberi satu kelebihan kepada manusia iaitu berfikir dan dia boleh berfikir antara baik dengan tidak baik, yang elok dengan yang tidak elok. Oleh sebab manusia itu perlu berfikir maka manusia diberi petunjuk dan diberi arahan supaya berkelakuan baik, yang tidak baik akan ada balasannya yang baik juga ada balasan yang baik. Maka dalam hal ini kita perlu memahami dan dalam pembangunan modal insan juga kita mahu supaya kita berada dalam keadaan yang sihat walafiat. Ini penting untuk menjalankan tugas harian kita, untuk menghadapi pelbagai tekanan dan ancaman, menghadapi pelbagai saingan dan juga pelbagai cabaran.
Jadi itulah yang kita mahu dan mestilah memahami bahawa pembangunan modal insan satu program integriti yang cukup penting bagi kita kerana pembangunan modal insan itu diasaskan kepada pembentukan sahsiah, pembentukan pribadi yang mulia yang dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kekuatan yang ada pada kita. Dengan ini dapat kita menjayakan. Maka saya percaya masalah-masalah yang lain yang kita hari ini bingung kepala yang nak kita selesaikan itu insyaAllah ia akan membawa kepada penyelesaian. Kita tahu usul demi usul, cadangan demi cadangan, macam-macam kita buat, kadang-kadang tidak berjalan pun, tidak jadi apa pun, orang yang buat cadangan pun kadang-kadang tidak dapat buat. Jadi saya tidak mengatakan apa yang ada semua buat cadangan itu perlu diketepikan atau cadangan-cadangan yang boleh kita laksanakan, kita laksanakan dan kita akan halusi apakah cadangan-cadangan dan usul-usul yang telah dikemukakan itu. Tetapi satu cadangan saya kepada anda semua sebagaimana saya juga mencadangkan kepada diri saya ialah make ourself a better man. Kalau semua orang dalam hall ini kata mulai dari sekarang saya akan menjadi orang yang baik dalam segala-galanya, baik sebagai bapa, baik sebagai anak, baik sebagai pegawai memastikan kerja saya itu baik dan beramanah I think we can change the future. Kita akan membuat satu perubahan dan perubahan ini saya harap akan dapat merebak kepada yang lain-lain pun. Biasanya kalau semua buat kerja baik yang seorang ini tidak berani buat salah, dia takut buat salah, seperti orang yang pergi ke tempat bersih, tidak berani membuat sesuatu yang mencemarkan kebersihan itu, dia berasa tidak boleh. Tolonglah ingat perkara ini. Apa yang saya katakan kepada saudara saya katakan kepada diri saya. Kita semua ini adalah pemimpin!
Saya dulu melaksanakan rancangan kepimpinan melalui tauladan, semua ingat apa yang telah kita laksanakan dulu tapi itu one generation dulu, yang kita laksanakan sekarang sudah ada, new generation pula naik ke peringkat-peringkat lebih tinggi lagi dan kita perlu mengingati diri kita bahawa kita masing-masing adalah pemimpin. Pemimpin dalam keluarga, pemimpin dalam kerajaan, pemimpin dalam persatuan itu persatuan ini dan yang pentingnya ialah kita yang memimpin diri kita sendiri akhirnya kita memimpin diri kita sendiri. Soal orang lain secara formalnya kita menjadi ketua kita memimpin diri kita. Itu akan berlaku dan kita harap ketua kita tidak akan memimpin kita untuk buat jahat dan kalau kita orang yang jenis baik kita tidak akan turut dengan arahan supaya kita ini buat jahat, supaya kita ini sama-sama penipu, supaya kita ini esok sama-sama pergi merompak atau membuat perkara yang tidak baik. Kita tidak akan menyertai apa jua arahan daripada pemimpin untuk melaksanakan sesuatu yang tidak baik. Jadi ini perkara yang perlu kita ingat bahawasanya kita mesti menunjuk teladan yang baik. Memimpin diri kita menjadi orang yang baik dan menjalankan kerja kita dengan cara yang baik walau apa pun kedudukan kita dalam kumpulan ataupun dalam apa jua. Inilah yang saya harap yang kita dapat ingat.
A lot of things you can change, if you all are the leader, hopefully you can change, I try to change sebanyak yang boleh dengan pelbagai program itu dan ini supaya kita akan sama-sama membuat perubahan dan kalau kita sedemikian kita mempercayai bahawa kebaikan itulah sebenarnya yang akan menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Orang yang mempercayai adanya syurga dan neraka tentu sekali dia tidak mahu masuk neraka. Allah Taala bagi tempoh kepada kita, fasal apa? Supaya manusia tahu bertaubat sebelum dia meninggal. Bukanlah dua minit lagi nak mati tiba-tiba bertaubat. Ini juga perkara yang perlu kita ingat dan kita memahami kerana ia balik kepada diri kita sendiri sebenarnya sepuluh gerakan yang akan menjadikan negara kita ini maju atau tidak maju adalah gerakan yang datang dari tindakan manusia dalam pelbagai pekerjaan dia lakukan samada dia berjaga, samada dia berkerja, samada dia menjadi penguatkuasa undang-undang ataupun apa jua adalah bermula daripada tindakan kita masing-masing. Kita bertindak seorang diri, dalam hal-hal tertentu kita bertindak sebagai kumpulan, sebagai satu pasukan. Kalau dalam tentera bertindak sebagai satu rejimen, sebagai satu patro sama juga dengan polis, bertindak bersama dan kita nak tindakan bersama itu adalah semuanya sama dari segi niat, tujuan dan kesungguhannya. Maka dengan itu pasukan kita itu tidak tercemar dengan adanya seorang dua yang melakukan sesuatu yang tidak baik.
Saudara, saya telah memilih untuk bercakap fasal ini, mungkin ini buat pertama saya cakap pada kali yang macam ini, kalau dulu saya hanya bercakap public service delivery system, saya cakap fasal anti rasuah, saya cakap hal-hal yang berkaitan dengan rasuah, saya bercakap hal untuk mengekalkan disiplin, saya cakap tentang peraturan-peraturan yang ada dalam pejabat, biar la hari ini kita bercakap fasal diri kita. Pertama ikut peraturan, fasal diri la, yang membantah ni pun fasal diri juga, yang membuat penyelewengan pun fasal diri. Perbetulkan manusia mungkin tidak banyak sangat peraturan yang kita perlukan tetapi kita perlu banyak peraturan tindih-menindih, peraturan demi peraturan ditindih-menindih, semuanya nak memperkuatkan lagi, nak menjadikan itu dan ini, hanya nak membetulkan manusia. Saya tidak mengatakan segala-galanya itu perlu diketepikan, kita buat usul, kita buat peraturan, kita buat pindaan pada undang-undang, semuanya itu bertujuan adalah nak menjadikan kita ini pegawai-pegawai kerajaan yang baik, pihak swasta yang baik. Ada undang-undang juga yang perlu dipatuhi oleh mereka yang ada dalam swasta ataupun individu yang baik, termasuk yang datang ke negara kita ini patut memahami dan menghormati undang-undang. Semuanya kita nak jadi baik, tapi jarang kita bercakap fasal diri kita. Dia boleh sombong dengan mengatakan segala-galanya kebaikan yang ada pada diri dia. Jarang manusia yang nak bercakap tentang kelemahan dirinya biasanya lebih mudah dia tidak mengakui yang dia itu lemah tetapi lebih suka cakap dengan megah dan sombong dan takabbur, itu kecenderungan yang mungkin ada pada ramai orang.
Jadi saudara saudari sekalian marilah kita bersama-sama dalam usaha menegakkan integriti ini pastikan kita, tiap-tiap kita yang hari ini yang sepanjang hari tadi, saudara telah bincang fasal hal integriti saya ucap terima kasih kepada semua yang memerah fikiran apakah usul yang nak beri kepada kerajaan?, terima kasih juga atas segala-galanya. Tapi sekarang sebelum balik,sebelum saya akhiri ucapan kita hari ini, ambil tekad kita akan betulkan integriti diri kita tiap-tiap orang yang ada dalam dewan ini!. Mudah-mudahan segala yang telah kita rancangkan ini akan membawa kepada kebaikan, apa yang diusahakan oleh institut integriti malaysia, segala regulatory body yang begitu banyak dalam negara kita ini ialah untuk membetulkan para profesional, golongan itu dan golongan ini. InsyaAllah semuanya itu akan dihormati oleh anggota-anggota yang terlibat dalam bidang-bidang yang berkenaan.
Saya dengan kata-kata itu dengan ucapan banyak-banyak terima kasih kerana saudara masih lagi ingat hal integriti bagi pandangan orang yang hadir. Mudah-mudahan dengan apa yang kita lakukan ini kita akan membawa kepada perubahan, peneguhan dengan iktikad yang ada pada diri kita yang telah kita tunjuk dan buktikan insyaAllah kita semua akan membawa perubahan yang besar dan dengan itu kita akan dapat menjadi modal insan yang betul-betul berupa tenaga yang cukup baik, tenaga luhur untuk menjayakan pembangunan negara dan kita boleh memberi erti kepada apa jenis pembangunan yang kita mahu supaya pembangunan kita menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang dan bangsa kita dihormati, negara kita dihormati. Sekian terima kasih, Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment