Monday, April 13, 2009

teori pembelajaran

1.0 PENGENALAN
Pembelajaran merupakan perkara penting dalam perkembangan manusia. Definisi pembelajaran ditakrifkan dengan makna yang berbeza bergantung kepada persepsi individu. Pembelajaran merupakan satu pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan, Lee Shok Mee (1993). Mengikut Kamus Dewan pula pembelajaran merupakan proses belajar. Bagi Goldenson (1984), pembelajaran ialah satu proses individu mendapatkan informasi-informasi, tingkah laku atau kebolehan yang baru. Namun begitu pembelajaran dalam konteks psikologi ditakrifkan sebagai perubahan ke atas tingkah laku individu yang dihasilkan oleh peristiwa-peritiwa alam sekitar, Carlson (1987). Pembelajaran berlaku sepanjang hayat dan tidak terbatas di dalam bilik darjah sahaja. Ia merangkumi penguasaan pengetahuan dan kemahiran, perkembangan sikap, emosi dan nilai estetika. Selain itu pembelajaran juga membawa kepada perubahan hasil interaksi dengan persekitaran.
Terdapat beberapa ciri pembelajaran yang telah dinyatakan oleh Mok Soon Sang (1990) dalam bukunya Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Antaranya ialah pembelajaran merupakan satu proses. Maksudnya pembelajaran merupakan hasil berperingkat yang dimulai dengan penerimaan ransangan, pembentukan konsep dan diakhiri dengan perubahan tingkah laku. Selain dari itu, pembelajaran juga menghasilkan perubahan tingkah laku dari tahap yang rendah kepada tahap yang lebih tinggi dan perubahan yang berlaku ini juga merupakan satu perubahan yang kekal dan stabil. Berlaku secara berterusan, di mana ia akan berhenti apabila kehilangan motivasi atau motif pembelajaran yang sesuai. Tingkah laku yang dihasilkan melalui pembelajaran hasil daripada pengalaman dan latihan adalah dibentuk daripada proses pemikiran dan penanggapan. Ini bermaksud perubahan tingkah laku adalah hasil persepsi individu di mana persepsi tersebut timbul apabila individu memperoleh pengalaman atau latihan. Selain itu pembelajaran juga boleh berlaku secara formal iaitu peringkat sekolah, universiti dan sebagainya, secara tidak formal pula melalui persekitaran contohnya televisyen, asuhan ibubapa serta pergaulan dengan rakan-rakan dan yang terakhir ialah pembelajaran secara bukan formal iaitu kursus-kursus, bengkel-bengkel yang dilakukan diluar pembelajaran formal sebagai tambahan.
2.0 TEORI PEMBELAJARAN
Teori pembelajaran merupakan prinsip dan hukum-hukum pembelajaran yang dihasilkan daripada kajian-kajian ahli psikologi pendidikan. Ia boleh dibahagikan kepada tiga teori utama iaitu teori pembelajaran behaviorisme, sosial dan kognitif. Idea-idea yang dibawa oleh tokoh-tokoh yang mempelopori setiap teori adalah berbeza.

2.1 Behaviorisme
Dalam teori pembelajaran behaviorisme, pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Tokoh-tokoh seperti Pavlov, Watson, Skinner dan Thorndike telah mengemukakan idea-idea yang menjadi asas kepada teori pembelajaran behaviorisme. Kebanyakkan teori pembelajaran yang dihasilkan adalah hasil pemerhatian ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung. Oleh kerana aliran ini banyak memfokuskan tingkah laku, maka pemerhatian yang dibuat tertumpu kepada perhubungan ransangan dan gerak balas. Menurut Kimble (1961) yang juga merupakan salah seorang tokoh behaviorisme, pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku yang agak tetap akibat daripada latihan pengukuhan.

2.2 Kognitif
Berbeza dengan teori pembelajaran behaviorisme, teori pembelajaran kognitif berpendapat bahawa pembelajaran ialah satu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara lansung daripada tingkah laku. Di sini dapat kita simpulkan bahawa aliran ini lebih banyak menekankan proses-proses mental dalaman seperti pengamatan, penyelesaian masalah, ingatan serta pemikiran mempengaruhi pembelajaran. Antara tokoh-tokoh psikologi yang menerajui teori pembelajaran behaviorisme ini ialah Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel. Oleh yang demikian teori pembelajaran kognitif ini lebih menumpukan cara belajar individu seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan persepsi.

2.3 Sosial
Teori pembelajaran sosial atau teori kognitif sosial telah diasaskan oleh Albert Bandura. Menurut teori ini, faktor sosial, kognitif dan tingkah laku memainkan peranan penting dalam pembelajaran. Antara tokoh-tokoh yang mempelopori teori ini ialah Albert Bandura, Julian Rotter dan Martin Seligman.

3.0 TEORI PEMBELAJARAN BEHAVIORISME
Idea-idea yang dibawa oleh ahli-ahli psikologi yang beraliran behaviorisme ialah berkaitan tingkah laku. Ini kerana hanya tingkah laku sahaja yang boleh dilihat dan diukur secara nyata. Selain itu, pendekatan ini juga menyatakan bahawa tingkah laku merupakan satu siri gerak balas yang dipelajari dengan wujudnya ransangan. Oleh sebab itu pendekatan behaviorisme dikenali juga sebagai psikologi ransangan gerak balas atau psikologi R-G, Ee Ah Meng (1995). Maka, dalam teori pembelajaran behaviorisme, pembelajaran dikatakan berlaku apabila terbentuk pertalian antara ransangan dan gerak balas.
Antara ahli-ahli psikologi yang menerajui aliran ini ialah John B. Watson, Ivan Pavlov, B. F. Skinner dan E. L. Thorndike.

3.1 Ivan Petrovich Pavlov (1849-1936)
Ivan Petrovich Pavlov telah dilahirkan pada 14 September 1849 di sebuah perkampungan di Ryazan, Russia. Beliau merupakan anak kepada Peter Dmitrievich Pavlov yang merupakan seorang paderi kampung. Seperti kanak-kanak lain di Ryazan, beliau juga telah dihantar ke sebuah sekolah gereja dan seterusnya telah memasuki sebuah kolej teologi yang melatih bakal-bakal paderi. Setelah beliau membaca buku ‘The Origin Of The Species’ yang ditulis oleh Charles Darwin serta hasil kerja seorang ahli psikologi Russia, I. M. Sechenov, beliau telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kolej tersebut dan terlibat dalam bidang sains. Beliau kemudiannya telah mengambil jurusan Natural Sciences di University of St-Petersburg.
Pavlov sedar subjek yang digemarinya merupakan psikologi dan bersama rakan-rakannya, beliau telah berjaya menghasilkan sebuah kertas kerja pertama beliau yang berjudul ‘The physiology Of The Pancreatic Nerves’ yang kemudiannya dianugerahi pingat emas. Pavlov menamatkan pembelajarannya dengan mendapat ijazah Candidate Of Natural Sciences. Usaha pavlov tidak berhenti di situ sahaja, malah beliau telah melanjutkan pembelajarannya di Academy of Medical Surgery di mana beliau memperolehi satu lagi pingat emas. Hasil dari kejayaan beliau juga, beliau telah menjadi seorang pengarah makmal psikologikal di klinik S. P. Botkin iaitu seorang ahli fizik Russia yang dikenali pada ketika itu. Pavlov telah dianugerahkan dengan Nobel Prize dalam Medicine/Physiology pada tahun 1904 setelah menyiapkan tesis kedoktorannya iaitu The Centrifugal Nerves of The Heart.
Tahun 1980 merupakan tahun penting bagi Ivan Petrovich Pavlov setelah beliau telah diminta untuk mengawasi pertubuhan dan menguruskan Department of Physiology di Institute of Experimental Medicine. Di situlah beliau telah menghasilkan kajiannya dan menghabiskan sisa-sisa hidup. Pada tahun yang sama Pavlov telah mendapat gelaran Professor of Pharmacology di Military Medical Academy.
Idea utama Pavlov dalam kajiannya adalah berkaitan proses penghadaman, yang menghasilkan satu siri eksperimen mengenai hubungan antara sistem saraf dengan fungsi badan. pavlov juga telah terpilih sebagai ahli dalam Russian Academy of Sciences pada tahun 1907, diberi kepujian kedoktoran di Cambridge University pada tahun 1912 dan beliau juga telah dianugerahkan kepujian Order of the Legion.Pada 27 Februari 1936 Dr. Ivan Pavlov telah meninggal dunia di Leningrad.

3.2 Edward Lee Thorndike (1874-1949)
Edward Lee Thorndike telah dilahirkan pada 8 Ogos 1874 di Williamsburg Massachusetts. Beliau merupakan anak kedua Edward Roberts Thorndike yang merupakan menteri Methodist tempatan dan Abbie Ladd Elizabeth Moulton seorang surirumah.
Edward Thorndike telah berkahwin dengan Elizabeth Moulton pada 29 Ogos 1900. Mereka berdua telah dikurnia lima orang anak iaitu R. L. Thorndike yang juga telah mengikut jejak langkah ayahnya dengan penglibatan beliau dalam psikologi pendidikan, pengkhususan psikometriks.
Thorndike mula berminat dalam bidang psikologi setelah memasuki Wesleyan University pada tahun 1895 dan setelah beliau membaca ‘Principles of Psychology’, karya William James. Setahun selepas beliau menerbitkan Animal Intelligence, beliau telah tercalon sebagai presiden America Psychology Assosiation. Pada tahun 1921 beliau telah mendapat tempat yang pertama dalam American Man of Science. Anugerah terakhir yang diperolehi merupakan presiden American Assosiation for the Advancement of Science iaitu pada tahun 1934.
Pada tahun 1939, beliau telah bersara dari mengajar di Columbia dan beliau telah bergerak aktif dalam komuniti psikologi sehinggalah kematian beliau pada 9 Ogos 1949.

3.3 John Broadus Watson (1878-1958)
John Broadus Watson telah dilahirkan di South Carolina pada 1878 dan telah dibesarkan di sebuah ladang. Ayahnya telah meninggalkan keluarga ketika beliau berumur 13 tahun. Ketika beliau masih muda, beliau merupakan seorang pelajar miskin dan sukar dikawal dan dikatakan mengikut contoh buruk yang telah ditunjukkan oleh ayahnya yang kejam. Namun begitu beliau mempunyai citi-cita serta keberaniaan beliau sendiri. Pada umurnya 16 tahun beliau telah memasuki Furman University. Lima tahun kemudian beliau telah memperolehi Master dan seterusnya menyambung lagi pembelajaran bagi memperoleh ijazah kedoktoran dalam psikologi dan filosofi. Akan tetapi beliau hanya menerima Phd beliau dalam bidang psikologi pada tahun 1903 dan akhirnya beliau telah ditugaskan sebagai seorang profesor di Johns Hopkins University dalam experimental and comparative psychology.
Kemudiannya beliau telah menjadi seorang yang beraliran behaviorisme dan banyak belajar biologi, psikologi dan tingkah laku haiwan menerusi hasil kerja Ivan Pavlov. Dari situ, beliau telah belajar mengenai tingkah laku kanak-kanak. Walaupun ianya agak sukar berbanding kajian yang dijalankan ke atas haiwan, namun prinsip yang digunakan adalah sama. Pada tahun 1913 beliau telah menerbitkan satu artikel berdasarkan idea-idea beliau dan menubuhkan sebuah sekolah psikologi.
Namun begitu kajian yang telah dijalankan oleh Watson telah tergendala disebabkan oleh perang dunia pertama.

3.4 Burrhus Frederic Skinner (1904-1990)
Burrhus Frederic Skinner telah dilahirkan pada 20 Mac 1904 di sebuah pekan kecil Pennsylvania di Susquehanna. Bapa beliau merupakan seorang peguam dan ibunya pula merupakan seorang surirumah yang bijak.
Burrhus merupakan seorang yang aktif dan sukakan aktiviti-aktiviti luar serta sangat berminat untuk belajar. Hidupnya tanpa tragedi, akan tetapi seorang adiknya telah meninggal dunia ketika berumur 16 tahun akibat penyakit cerebral aneurysm.
Burrhus telah memperoleh BA dalam Bahasa Inggeris di Hmailton Kolej di New York. Beliau sangat berminat untuk menjadi seorang penulis dan telah menghantar beberapa puisi serta cerpen kepada syarikat penerbitan untuk disiarkan ke dalam ke akhbar. Tetapi akhirnya beliau telah berhenti dalam penulisan artikel di surat khabar dan tinggal sementara di Greenwich, New York City sebagai “bohemian”.
Selepas beberapa lama mengembara beliau telah membuat keputusan untuk kembali ke sekolah di Harvard. Beliau telah mendapat Master dalam bidang psikologi pada tahun 1930 dan kedoktoran pada tahun 1931. Beliau meneruskan untuk tinggal di situ untuk menghasilkan kajian sehingga tahun 1939.
Pada tahun yang sama beliau telah berpindah ke Minneapolis untuk mengajar di University of Minnesota. Di sana beliau telah bertemu Yvonne Blue dan seterusnya mendirikan rumah tangga. Mereka mempunyai dua orang anak perempuan di mana anaknya telah menjadi terkenal kerana terlibat dalam kajian yang telah dibuat oleh Skinner.
Pada tahun 1945, beliau telah dilantik sebagai pengerusi Psychology Depertment di Indiana University. Pada tahun 1948 beliau telah dijemput ke Harvad dan telah menghabiskan sisa-sisa hidup beliau di sana. Beliau merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai bidang antaranya ialah penulisan buku, sebagai pembimbing bakal-bakal doktor dan juga melakukan kajian-kajian. Walaupun tidak berjaya dalam penulisan puisi dan cerpen namun beliau terpilih sebagai salah seorang penulis buku psikologi terbaik dan salah satu buku beliau ialah Walden II. Beliau kemudiannya telah meninggal dunia pada 18 Ogos 1990 akibat leukemia.
4.0 APLIKASI PRINSIP ASAS
Antara prinsip asas yang sesuai digunakan dalam bilik darjah adalah berdasarkan Teori Pelaziman Operan Skinner. Ini kerana teori yang dibawa olehnya merupakan rangkaian yang berasaskan ransangan dan gerak balas. Seperti yang kita tahu, dalam bilik darjah sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran guru merupakan agen yang memberi ransangan dan perlakuan pelajar merupakan hasil ransangan tersebut atau gerak balas. Maka, prinsip-prinsip yang terdapat di dalam teori amatlah sesuai diaplikasikan di dalam bilik darjah. Antara prinsip-prinsip tersebut ialah peneguhan positif, peneguhan negatif dan dendaan.

4.1Peneguhan Positif
Peneguhan biasanya ditakrifkan sebagai sebarang ransangan yang dapat menambahkan kebarangkalian gerak balas akan berlaku, Lee Shok Mee (1993). Menurut Mahmood Nazar Mohamed (1990), peneguhan positif ialah ransangan yang diberi kepada organisma selepas berlakunya sesuatu tingkah laku yang dapat meningkatkan kebarangkalian berlakunya tingkah laku yang dikehendaki. Manakala Mok Soon Sang (2000), menyatakan bahawa peneguhan positif merupakan stimuli yang boleh menambah kebarangkalian berulangnya sesuatu tingkah laku operan. Berdasarkan takrifan-takrifan yang diberi itu dapat kita simpulkan bahawa peneguhan positif ini merupakan satu ransangan yang boleh menyebabkan berulangnya sesuatu tingkah laku yang dikehendaki.
Konsep peneguhan positif yang diperolehi Skinner merupakan hasil kajiannya ke atas seekor tikus. Dalam eksperimennya, Skinner telah membina sebuah kotak yang dipanggil ‘Kotak Skinner’, di dalam kotak tersebut dimasukkan sebuah alat penekan dan dilekatkan pada dinding kotak. Alat penekan itu berfungsi sebagai tempat makanan di mana ia akan mengeluarkan makanan apabila ditekan. Skinner kemudiannya telah memasukkan seekor tikus lapar ke dalam kotak tersebut. Pada mulanya tikus itu hanya berlari ke sana ke mari kerana lapar, tetapi secara tidak sengaja dia telah terpijak alat penekan dan menyebabkan makanan terkeluar. Keadaan ini berlaku berulang kali dan tikus juga telah belajar cara untuk mendapatkan makanan. Eksperimen beliau diteruskan lagi dan kali ini beliau telah memutuskan bekalan makanan dengan alat penekan tersebut. Ini menyebabkan makanan tidak lagi keluar apabila alat penekan ditekan. Oleh sebab itu, tikus tersebut telah berhenti menekan alat penekan kerana tahu makanan tidak lagi dibekalkan.
Operan yang dilihat disini ialah perlakuan tikus itu menekan alat penekan untuk mendapatkan makanan. Manakala pelaziman pula dikatakan kerana ia sentiasa diulang.
Berdasarkan eksperimen yang dibuat oleh Skinner, sesuatu gerak balas hanya akan berulang jika adanya ganjaran iaitu makanan (berdasarkan eksperiman). Sekiranya ganjaran diberhentikan, gerak balas juga akan terhapus.
Oleh sebab itu peneguhan positif merupakan satu bentuk ganjaran. Jika di dalam konteks bilik darjah antara contoh yang dapat dilihat sebagai peneguhan positif ialah pujian, guru mengulangi jawapan pelajar yang betul, guru menunjukkan isyarat tangan yang menandakan betul dan lain-lain lagi. Ini semua merupakan ransangan yang dapat meningkatkan lagi lagi usaha pelajar untuk memperoleh yang lebih baik.

4.2 Peneguhan Negatif
Peneguhan negatif ialah stimuli yang dipindahkan atau dihapuskan dengan tujuan menguatkan tingkah laku positif supaya ia dapat diteruskan, Mok Soon Sang (2000). Menurut Mahmood Nazar Mohamed (1990), peneguhan negatif bermakna dengan menghapuskan sesuatu ransangan yang aversif serta yang menyakitkan, ia akan meningkatkan kebarangkalian berlakunya sesuatu tingkah laku. Selain itu, berdasarkan buku Murid Dan proses Pembelajaran, menyatakan bahawa peneguhan negatif ialah sesuatu yang menyakiti dan dengan itu akan dijauhi mana-mana individu dan akibatnya satu-satu tingkah laku akan diulangi.
Satu eksperimen telah dijalankan oleh Skinner untuk membuktikan ransangan yang berbentuk negatif ini atau dikenali sebagai peneguhan negatif. Eksperimen ini masih menggunakan seekor tikus dan juga sebuah kotak. Tetapi kotak yang digunakan ini telah diubahsuai sedikit dengan memasang lantai yang diperbuat daripada dawai yang mampu mengalirkan arus elektrik yang lemah. Manakala sebuah tuas digunakan sebagai alat yang berfungsi memberhentikan pengaliran arus elektrik. Apabila tikus dimasukkan ke dalam kotak tersebut, arus elektrik disalurkan dan menyebabkannya melompat-lompat kesakitan. Semasa ia melompat-lompat, dengan tidak sengaja tuas telah ditekan dan telah memberhentikan pengaliran arus elektrik. Setelah beberapa ketika arus disalurkan kembali dan tikus tersebut telah tahu untuk memberhentikannya dengan memijak tuas. Dengan ini, tikus telah mempelajari cara untuk memberhentikan arus elektrik yang menyakitkan itu.
Berdasarkan eksperimen yang dijalankan oleh Skinner, peneguhan negatif merupakan sesuatu yang menyakitkan dan ingin dielakkan. Namun begitu dalam bilik darjah peneguhan negatif diberi adalah satu cara bagi menyedarkan pelajar mengenai kesilapan yang dilakukan dan bukan semata-mata untuk mendenda.

4.3 Dendaan
Skinner berpendapat bahawa denda ialah satu jenis peneguhan negatif yang hanya boleh membawa kesan dalam tempoh singkat sahaja, Mok Soon Sang (2000). Mahmood Nazar Mohamed (1990) pula berpendapat bahawa dendaan boleh didefinisikan sebagai kesan yang aversif yang mengurangkan sesuatu tindak balas apabila ia dikenakan sujurus selepas berlakunya sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Bagi Lee Shok Mee (1993), menyatakan bahawa peneguhan negatif dan dendaan adalah sesuatu yang berbeza. Denda digunakan untuk mengurangkan atau menghalang sesuatu tingkah laku. sesuatu tingkah laku itu diandaikan tidak akan berulang lagi selepas denda dikenakan. Di dalam buku Murid Dan Proses Pembelajaran juga ada menyatakan tentang dua perbezaan antara dendaan dan peneguhan negatif. Antaranya ialah peneguhan negatif dijalankan sebelum sesuatu peristiwa berlaku manakala dendaan dijalankan selepas sesuatu peristiwa. Selain itu peneguhan negatif dikatakan berlaku apabila individu bertindak mengurangkan rasa malu, sakit dan takut (peneguh negatif). Berbeza dengan dendaan, ia dibuat bagi menghentikan sesuatu amalan.
Kajian berkaitan dendaan telah dijalankan oleh Skinner dengan menggunakan seekor tikus. Tikus tersebut dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang mempunyai palang besi dan diberi peneguhan apabila ia menekan palang besi berkenaan. Kemudiannya, Skinner telah menyambungkan palang besi tersebut dengan dawai supaya dapat mengalirkan arus elektrik apabila ditekan. Tikus itu biasanya akan menjauhkan diri apabila terkena palang itu tetapi untuk tempoh masa tertentu bergantung kepada kekuatan, kekerapan dan tempoh renjatan elektrik tadi. Selepas itu tikus itu akan kembali menekan palang besi tersebut.
Berdasarkan kajian yang dibuat, dendaan merupakan satu cara yang dapat menghalang sesuatu tingkah laku. ia boleh dilakukan dengan menggunakan dua cara dalam menggalakkan pembelajaran. Pertama, menggunakan satu ransangan untuk menghapuskan tingkah laku yang tidak diingini dan yang kedua ia dengan melucutkan sesuatu ransangan.

5.0 CONTOH PENGGUNAAN PRINSIP DALAM BILIK DARJAH
Prinsip-prinsip yang telah dikemukakan dalam Teori Pelaziman Operan Skinner boleh membantu guru dalam menguruskan pelajar sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Prinsip-prinsip tersebut adalah prinsip-prinsip yang telah dikemukakan seperti di atas iaitu peneguhan positif, peneguhan negatif dan dendaan.

5.1 Peneguhan Positif
Dalam satu pengajaran, guru akan membuat penilaian kepada para pelajar bagi mengetahui tahap kefahaman mereka. Penilaian boleh dibuat dalam pelbagai cara, antaranya ialah dengan memberi soalan. Apabila soalan diajukan dan pelajar dapat menjawab dengan betul guru kemudiannya memberi pujian kepada pelajar tersebut. Di sini, kita dapat lihat satu ganjaran yang berbentuk pujian telah diberikan kepada pelajar. Ini dikatakan sebagai satu peneguhan positif. Dengan itu, pelajar akan berasa dirinya berpotensi dan seterusnya akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menjawab dengan lebih baik untuk masa akan datang. Pujian yang diberikan oleh guru itu merupakan satu ransangan yang meningkat kebarangkalian kejayaan pelajar tersebut.
Selain pujian guru juga boleh menggunakan cara lain sebagai satu peneguhan yang dapat meransang pelajar ke arah kecemerlangan. Sebagai contoh seorang pelajar telah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Guru telah memberikan sebuah hadiah sebagai ganjaran kepada usaha pelajar tersebut kerana memperoleh keputusan yang membanggakan. Dengan ini, ia telah meningkatkan lagi semangat pelajar tersebut serta pelajar lain untuk terus belajar kerana hadiah yang akan diberikan kepada pelajar yang berjaya telah menjadi peransang kepada mereka untuk terus berusaha.

5.2 Peneguhan Negatif
Dalam peneguhan negatif, ransangan yang diberikan adalah tidak disukai oleh pelajar. Namun begitu ia dapat mengubah tingkah laku dari negatif ke positif. Maka, ia sesuai diberikan sekiranya terdapat tingkah laku negatif dalam bilik darjah. Seperti dalam situasi pelajar yang tidak menyiapkan kerja sekolah. Guru akan berleter dan dengan ini pelajar akan merasa bosan dan seterusnya akan menyiapkan kerja yang diberikan oleh guru tersebut. Di sini dapat dilihat bahawa leteran iaitu merupakan peneguhan negatif dapat mengubah tingkah laku negatif pelajar iaitu malas menyiapkan kerja sekolah.

5.3 Dendaan
Apabila seseorang pelajar membuat bising di dalam kelas, guru boleh menggunakan dendaan untuk mengubah tingkah laku tersebut. Antara dendaan yang boleh dibuat ialah menyuruh pelajar tersebut berdiri di hadapan bilik darjah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka berasa malu. Maka, mereka tidak akan membuat bising lagi kerana tidak mahu didenda.

6.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, pengetahuan tentang teori pembelajaran dalam bilik darjah adalah sangat penting terutamanya kepada para guru. Ini kerana ia dapat membantu dalam menguruskan tingkah laku pelajar dan seterusnya dapat mengembangkan intelek para pelajar.

No comments:

Post a Comment