Monday, April 13, 2009

teknologi maklumat dlm pendidikan

PENGENALAN

Menurut Omar Zakaria et al (2006) dalam modul ‘Teknologi Maklumat dalam Pendidikan’, Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) ialah pengajaran atau kursus, yang disampaikan menggunakan pakej perisian pendidikan yang dibina oleh pembangun perisian dengan menggunakan komputer. Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer telah lama diperkenalkan iaitu kira-kira pada sekitar tahun 50an. Di Malaysia, Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelbagai perisian Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) ke sekolah-sekolah. Selain dikenali sebagai PPBK, akronim-akronim lain yang turut diguna pakai ialah seperti CAI (Computer Aided Instruction), CAL (Computer Aided Learning), CAG (Computer Aided Guidance), CMI (Computer Managed Instruction), CAT (Computer Asisted Training), CET (Computer Enhanced Training), CSL (Computer Supported Learning), CBT (Computer Based Training), ITS (Intelligent Tutoring System), ECAL (Extended Computer Asisted Learning), ICAI (Intelligent Computer Asisted Instruction), CoMIL (Computer Integrated Learning) dan CILS ( Computer Integrated Learning System).
Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK), pelbagai unsur media digabungjalinkan. Unsur-unsur tersebut ialah video, audio, animasi, teks dan grafik. Oleh yang demikian, maklumat bermutu dan berkesan mampu disampaikan sekiranya ia digunakan secara berfikrah, terancang dan bersesuaian dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Dalam membangunkan perisian Pengajaran Dan Pembelajaran Berbantukan Komputer, terdapat empat fasa penting. Pertama, menyampaikan maklumat. Maklumat yang hendak dimasukan ke dalam perisian perlulah menepati kurikulum. Selain itu cara penggunaan media juga perlu sesuai dengan maklumat yang hendak disampaikan. Persembahan maklumat tersebut juga perlu mengandungi nilai-nilai murni, kemahiran berfikir serta teori-teori pembelajaran yang sesuai dengan murid.
Fasa yang kedua ialah mesra pengguna. Berdasarkan modul OUM, Teknologi Maklumat dalam Pendidikan, terdapat pelbagai pendapat mengenai mesra pengguna dan berdasarkan pendapat-pendapat tersebut, mesra pengguna mempuyai ciri-ciri tertentu. Antara ciri-ciri tersebut ialah membentuk butang arahan yang teratur, mudah difahami dan mudah dicapai. Selain itu ia juga dapat memberi pedoman dan arahan yang jelas, bahasa dan ikon yang mudah difahami serta tidak mengandungi gangguan teknikal semasa ia digunakan.
Fasa yang seterusnya ialah sebagai latihan kepada pelajar. Latihan kepada pelajar bermaksud perisian yang dibina itu seboleh-bolehnya mengandungi latihan. Latihan adalah sangat berguna kepada pelajar kerana ia dapat menguji kefahaman pelajar di samping membina kefahaman. Selain itu ia juga dapat mengukur dan menguji kefahaman murid dan menjadi alat pengukuh yang baik.
Fasa yang terakhir ialah mengukur pencapaian pelajar. Sewaktu menggunakan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, pencapaian pelajar dapat diukur dengan melihat kepada keputusan latihan yang diperoleh. Selain itu, pencapaian pelajar juga turut dinilai melalui penglibatannya di dalam bilik darjah.
Dalam membina perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, terdapat siri langkah yang perlu diikuti. Langkah pertama ialah pembangun perisian tersebut haruslah menentukan objektif perisian yang dibina. Kemudian, rancang dan tulis skrip atau kandungan pelajaran yang hendak dimasukan. Seterusnya sediakan carta aliran dan halaman atau slaid. Selepas itu pembangun juga perlu jalankan ujian rintis bagi menilai keberkesanan secara kasar perisian yang dibina. Sekiranya terdapat kesalahan, perisian perlu diubahsuai supaya ia lebih sesuai dan bermutu. Akhir sekali, sediakan manual pengguna bagi memudahkan pengguna untuk mengguna perisian tersebut.
Terdapat beberapa ciri perisian pengajaran pembelajaran yang baik. Antaranya ialah isi pelajaran sesuai dengan objektif pembelajaran dan tahap kognitif. Maksudnya kandungan yang dimasukan ke dalam perisian adalah betul dan berlandas kepada sukatan yang sebenar. Perisian yang baik juga mudah digunakan. Ini boleh diaplikasikan dengan memasukan arahan pada setiap halaman. Untuk pengajaran murid sekolah rendah terutamanya, penggunaan grafik perlulah sesuai di mana grafik yang digunakan seelok-eloknya berwarna. Selain itu bunyi-bunyi yang sesuai juga boleh digunakan bagi meransang pelbagai deria yang dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid. Ciri lain yang sepatutnya ada dalam setiap perisian yang dibina ialah aktif atau terdapat interaksi antara muka, contohnya menyediakan maklum balas kepada jawapan pelajar yang betul.
Secara umumnya Pengajaran Dan Pembelajaran Berbantukan Komputer amat di galakkan. Ini adalah kerana ia mempunyai banyak kebaikan. Kebaikan yang boleh dilihat ialah penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran selain meningkatkan motivasi murid dalam pembelajaran dan menggalakkan murid menggunakan teknologi maklumat yang semakin berkembang. Pada masa yang sama, PPBK juga membolehkan murid melaksanakan eksperimen yang terlalu sukar, mahal, mustahil dan bahaya serta membentuk pembelajaran kooperatif. Dengan penerapan pelbagai usur media, ia menjadikan Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer ini menjadi lebih seronok dan mencabar di samping memberi peluang kepada murid belajar secara berkesan dengan bimbingan yang minimum dan masa interaksi dapat dijimatkan.
Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer ini dapat memberi manfaat kepada murid serta guru kerana ia boleh digunakan sebagai alat batu belajar kepada murid dan alat bantu mengajar kepada guru. Sebagai alat bantu belajar ia menyediakan mod tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi, manakala dari segi alat bantu mengajar ia mempunyai tiga mod iaitu mod tunjuk cara dan persembahan. Terdapat lima jenis PPBK iaitu jenis tutorial, latih tubi, simulasi, permainan dan penyelesaian masalah.

No comments:

Post a Comment