Monday, April 13, 2009

reka bentuk pengajaran

1.0 PENGENALAN
Berdasarkan matlamat pendidikan negara, antara misi utama para guru ialah membentuk pelajar kamil iaitu pelajar yang seimbang dari segi JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Dalam mencapai matlamat ini, para guru perlu memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan agar berkesan supaya pelajar dapat memahami dan mengingati setiap isi pelajaran yang diajar. Oleh yang demikian, persediaan yang sesuai perlulah dirancang bagi mencapai tahap keberkesanan yang dimaksudkan. Sehubungan dengan itu, semua guru bertanggungjawab untuk menyediakan satu perancangan yang dipanggil Persediaan Mengajar bagi menstruktur sesi pengajaran yang sesuai.
Berdasarkan modul OUM Prinsip Teknologi Pengajaran, persediaan mengajar ialah satu perancangan harian yang disediakan oleh guru untuk satu waktu pengajaran. Ia mengandungi maklumat tentang pelajar, matlamat yang ingin dicapai, isi kandungan yang akan disampaikan dan penentuan pencapaian matlamat.
Penyediaan persediaan mengajar adalah penting, ini kerana disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah untuk menentukan objektif pengajaran, merancang kaedah pengajaran yang sesuai mengikut kebolehan pelajar, menbantu dalam pemilihan alat dan bahan bantu mengajar, menentukan isi pelajaran yang sesuai dengan masa yang diperuntukkan. Selain dari itu persediaan mengajar juga dapat membantu guru merancang tugasan atau aktiviti serta membantu guru mengawal bilik darjah.
Persediaan mengajar biasanya disediakan mengikut format-format tertentu bergantung pada sistem sekolah berkenaan. Namun begitu, pada asasnya persediaan mengajar boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu persediaan, penyampaian dan penutup.
Pada peringkat awal iaitu peringkat persediaan, guru perlulah mengambil kira semua aspek yang berkaitan sebelum memulakan pembelajaran. Antara perkara-perkara tersebut ialah maklumat am yang merangkumi tarikh, masa, tingkatan atau tahun, bilangan pelajar, mata pelajaran dan tajuk yang akan diajar. Maklumat am tersebut kemudiannya diikuti oleh pengetahuan sedia ada pelajar, objektif pengajaran, isi pelajaran, nilai murni, sumber pembelajaran dan akhir sekali ialah langkah-langkah keselamatan.
Selain itu guru juga akan menyusun perkara yang akan diajar dalam satu-satu masa pengajaran dan perkara-perkara tersebut akan dimasukkan di bahagian penyampaian pengajaran. Penyampaian pengajaran dimulakan dengan induksi set, iaitu aktiviti yang berfungsi mengorientasikan fikiran dan perhatian pelajar. Selepas induksi set dijalankan, bermula pula proses perkembangan yang meliputi beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru. Kemahiran-kemahiran tersebut ialah kemahiran peneguhan, kemahiran menerangkan, kemahiran menggunakan papan hitam, kemahiran variasi ransangan dan kemahiran menyoal.
Proses yang terakhir ialah penutup. Antara perkara yang terdapat dalam penutup ialah kesimpulan, penilaian, tugasan serta ulasan diri. Sekiranya persediaan mengajar dapat dilaksanakan dengan sempurna, maka proses pengajaran dan pembelajaran juga mampu meninggalkan kesan yang positif kepada guru serta pelajar.

2.0 REKA BENTUK PENGAJARAN
Untuk memastikan pengajaran yang baik dapat dilaksanakan, reka bentuk pengajaran telah dipilih. Reka Bentuk pengajaran ialah suatu proses sistematik untuk mereka bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran, Dick dan Reiser (1989). Selain itu, reka bentuk pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai sains untuk mencipta spesifikasi pengajaran dengan terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan suatu keadaan yang boleh memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran tidak kira kecil atau besar dalam sesuatu pelajaran, Richey (1986).

2.1 Model Reka bentuk Pengajaran
Reka bentuk pengajaran dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu model berorientasikan bilik darjah, model berorientasikan produk dan model berorientasikan sistem, Gustafon (1991). Namun begitu, asas-asas yang digunakan untuk membina sesuatu reka bentuk pengajaran adalah sama iaitu menentukan keperluan pelajar, menentukan objektif dan matlamat, membina prosedur penilaian, mereka bentuk dan memilih strategi penyampaian, mencuba sistem pengajaran dan menilai keseluruhan sistem. Oleh kerana pengajaran yang dibuat adalah berasaskan bilik darjah, maka saya telah memilih model berorientasikan bilik darjah, antaranya ialah model ASSURE dan model Dick dan Reiser.

2.2 Model ASSURE
Untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan, maka saya telah memilih reka bentuk pengajaran ASSURE. Model reka bentuk pengajaran yang berorientasikan bilik darjah merupakan model reka bentuk pengajaran yang beskala kecil dan tertumpu kepada perancangan bagi satu masa pengajaran sahaja, Dr. Wan Abdul Kader Wan Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr. Rosini Abu (2005). Reka bentuk pengajaran yang sesuai adalah penting untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan. Selain itu, reka bentuk pengajaran juga dapat melahirkan guru yang berkeyakinan, berkompeten dan tepati masa. Model ASSURE digubal untuk menyediakan panduan merancang dan pengendalikan pengajaran yang memerlukan penggunaan media, Heinich (1982). Melalui model ASSURE terdapat enam perkara penting yang perlu dititikberatkan. Pertama ialah analyse learner atau analisis pelajar.
2.21 Analisis Pelajar
Analisis merangkumi tiga perkara iaitu ciri-ciri umum, kompetensi khusus peringkat masuk dan stail pembelajaran. Ciri-ciri umum meliputi umur, tahap, tingkatan dan latar sosioekonomi. Berdasarkan rancangan pengajaran ciri-ciri umum yang boleh diperolehi ialah melibatkan murid-murid tahun satu yang berumur tujuh tahun. Manakala kompetensi khusus peringkat masuk merupakan pengetahuan sedia ada pelajar tentang tajuk dan kandungan pelajaran. Stail pula merupakan trait psikologi seperti persepsi. Di sini adalah seperti tahap kecerdasan yang pelbagai iaitu lemah, sederhana dan pandai.
2.22 Nyatakan Objektif
Kedua ialah state objective atau nyatakan ojektif. Objektif pengajaran merupakan penyataan yang menentukan tingkah laku spesifik yang boleh diukur dan dilakukan pelajar setelah mengikuti sesuatu pengajaran. Menyatakan objektif dapat membantu guru dalam merancang pengajaran. Selain itu, ia juga dapat membantu guru mengenal pasti kaedah, bahan, tugasan, aktiviti serta ujian yang sesuai. Objektif yang dibuat dalam rancangan pengajaran ialah di akhir pengajaran, murid dapat mengenal pasti tiga dari lima nama anggota badan seekor haiwan dengan betul. Selain itu , dengan menggunakan kad gambar dan kad perkataan, murid dapat memadankan empat dari tujuh gambar anggota badan dan namanya denagn tepat dan objektif terakhir ialah dalam situasi kumpulan yang dibentuk, murid dapat melengkapkan gambar haiwan dengan betul.
2.23 Pilih Kaedah, Media Dan Bahan
Perkara yang ketiga ialah select method, materials and media atau pilih kaedah, media dan bahan. Pemilihan kaedah, media dan bahan adalah berdasarkan tingkat kebolehan pelajar dan objektif pengajaran. Oleh kerana kelas tersebut terdiri dari murid pelbagai kebolehan, maka kaedah yang dipilih ialah penyoalan, perbincangan, berkumpulan dan pengajaran secara kelas. Media yang dipilih pula ialah kad imbasan, boneka dan persembahan power point. Manakala bahan yang dirancang ialah lembaran kerja.
2.24 Guna Media Dan Bahan
Langkah seterusnya ialah utilise media and materials atau guna media dan bahan. Penggunaan media adalah penting supaya mesej yang hendak disampaikan dapat dipersepsikan dengan tepat oleh pelajar. Antara cara yang boleh dilaksanakan untuk menggunakan media dengan baik ialah, pertama beri gambaran awal tentang bahan yang akan digunakan, kemudian sediakan bahan, sediakan persekitaran yang sepadan untuk pengajaran yang menggunakan bahan yang dipilih, seterusnya sediakan pelajar menerusi set induksi atau penyataan objektif dan akhir sekali ialah sediakan pengalaman pembelajaran supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diingati oleh pelajar. Berdasarkan rancangan pengajaran harian yang dibuat, media pengajaran yang digunakan sewaktu set induksi ialah boneka. Manakala sewaktu proses pengajaran kad imbasan dan persembahan power point digunakan.
2.25 Libatkan Pelajar
Langkah yang kelima ialah require learner participation atau libatkan pelajar. Ia adalah penting untuk memastikan pembelajaran benar-benar berlaku. Aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan untuk libatkan pelajar ialah seperti latih tubi, latihan, kuiz dan sebagainya. Guru juga melibatkan murid dalam kaedah berkumpulan. Selain itu, penglibatan murid juga dibuat melalui kaedah perbincangan. Bukan itu sahaja, murid-murid juga dilibatkan melalui aktiviti penilaian yang dirancang seperti murid-murid diminta memadankan kad gambar dan kad perkataan.
2.26 Nilai Dan Semak
Yang terakhir dalam model ASSURE ialah evaluate and revise atau nilai dan semak. Nilai dan semak adalah penting untuk melihat keberkesanan sesuatu perkara serta untuk menyediakan langkah-langkah untuk meningkatkan keberkesanannya. Penilaian yang dibuat meliputi pencapaian pelajar berdasakan kemahiran, sikap dan objektif. Selain itu media, kualiti media, pembelajaran, penggunaan guru dan murid turut disemak. Untuk penilaian, guru mengedarkan kertas lembaran kerja yang meminta murid-murid menyuaikan gambar anggota haiwan dengan namanya.

3.0 PENDEKATAN PENGAJARAN
Untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan dengan mengambil kira kebolehan pelajar yang pelbagai, beberapa pendekatan yang sesuai telah dipilih.

3.1 Kaedah Penyoalan
Antaranya ialah kaedah penyoalan. Kaedah penyoalan adalah sesuai untuk menggalakkan pemikiran dan pembelajaran murid. Penyoalan boleh dibahagikan kepada enam tahap berdasarkan Taksonomi Bloom. Bagi peringkat awal, murid-murid akan diajukan dengan soalan dari kategori pengetahuan. Soalan sebegini berperanan untuk memastikan murid-murid boleh mengenal pasti dan mengingati kembali sesuatu maklumat. Contohnya, dalam rancangan pengajaran harian yang telah dibuat, pengajaran dimulakan dengan guru menyoal fungsi anggota badan seekor haiwan. Dengan ini murid-murid akan mengingati kembali fungsi anggota badan haiwan yang diketahui. Selain itu soalan ini juga dapat memberi gambaran awal tentang tahap kebolehan seseorang pelajar. Selain dari soalan mengenai pengetahuan, soalan aplikasi juga sesuai diberi kepada murid-murid. Soalan ini sesuai diajukan setelah berlaku proses pengajaran dimana pada peringkat ini murid akan diminta mengaplikasikan maklumat yang telah diperolehi. Murid-murid juga akan menggunakan peraturan atau proses untuk menyelesaikan masalah. Ia juga sesuai untuk meningkatkan tahap pemikiran murid. Berdasarkan rancangan pengajaran harian, guru meminta murid memadankan kad gambar dengan kad perkataan yang sesuai. Ini dapat membantu murid untuk menggunakan isi pelajaran yang telah dipelajari untuk memadankan kad imbasan tersebut.
3.2 Pengajaran Secara Kelas
Kaedah seterusnya ialah pengajaran secara kelas. Pengajaran secara kelas bermaksud penyampaian pengajaran guru kepada seluruh kelas, Mok Soon Sang (1991). Seperti kaedah penyoalan, kaedah ini juga sesuai kerana isi pelajaran, latihan dan kerja dapat diberikan sama kepada semua pelajar. Guru pula dapat mengenal pasti murid yang lemah bagi memudahkan langkah pemulihan dibuat. Terdapat beberapa kelebihan menggunakan kaedah pengajaran secara kelas. Antaranya guru dapat menjimatkan masa dan tenaga. Guru dapat menjelaskan konsep dan kemahiran kepada semua murid dalam satu masa sahaja. Selain itu kebanyakkan murid suka belajar beramai-ramai. Oleh yang demikian, ia adalah amat sesuai terutamanya bagi murid-murid tahap satu. Menerusi kaedah ini juga minat murid dapat diransang kerana mereka lebih cenderung dan gemar belajar bersama-sama. Pada masa yang sama semua murid dapat berkerjasama dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran dan yang akhir sekali murid-murid dapat bertanding antara satu sama lain disamping dapat melatih murid-murid yang sederhana dan lemah mencontohi rakan-rakan mereka yang cerdas. Seperti dalam rancangan pengajaran harian yang disediakan, pengajaran secara kelas dibuat apabila guru memaparkan persembahan power point yang mengandungi gambar haiwan yang telah dilabelkan bahagian-bahagian anggota badannya serta guru mengajar murid-murid menyebut nama anggota badan haiwan secara beramai-ramai di dalam kelas.

3.3 Kaedah Kumpulan
Oleh kerana kelas terdiri daripada murid-murid yang pelbagai kebolehan, kaedah kumpulan adalah salah satu kaedah yang sesuai kerana murid-murid tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada murid-murid yang pelbagai kebolehan dalam setiap kumpulan. Contohnya dalam satu-satu kumpulan terdiri daripada murid cerdas, sederhana dan lambat. Pengajaran secara berkumpulan baik kerana ia membolehkan murid-murid belajar mengikut kebolehan masing-masing. Melalui kaedah berkumpulan juga murid-murid cerdas akan terus maju melalui aktiviti pengayaan manakala murid-murid lambat dapat menguasai kemahiran asas melalui aktiviti pemulihan. Pengajaran berkumpulan juga membolehkan guru merancang aktiviti pembelajaran mengikut kebolehan kebolehan dan memudahkan guru dalam memberi bimbingan kepada murid-murid. Bukan itu sahaja, murid-murid juga mendapat peluang untuk mengembangkan potensi masing-masing selain dari dapat membina semangat kerjasama, bertanggungjawab dan bertoleransi. Aktiviti berkumpulan yang dibuat dalam rancangan pengajaran harian ialah guru membahagikan murid-murid kepada tujuh kumpulan dimana setiap kumpulan mengandungi lima orang murid yang terdiri pelbagai kebolehan dan seterusnya guru mengedarkan lukisan seekor haiwan yang tidak lengkap dan meminta mereka melengkapkan gambar tersebut dengan melukis bahagian anggota badan yang tiada.

3.4 Perbincangan
Kaedah terakhir yang digunakan ialah perbincangan. Perbincangan merupakan satu kaedah dan teknik mengajar yang melibatkan aktiviti perbualan di antara guru dan murid-murid dalam kelas, atau suatu jenis aktiviti pembelajaran secara bertukar-tukar fikiran atau idea atau berkongsi maklumat tentang sesuatu perkara melalui perbualan di bawah penyeliaan seorang guru, Mok Soon Sang (1991). Antara tujuan perbincangan dilaksanakan ialah untuk menggalakkan perkembangan mental murid supaya dapat menyumbangkan idea. Pada masa yang sama murid juga dilatih berfikir dengan teliti dan berkomunikasi dengan berkesan. Seterusnya ia juga mampu memupuk semangat kerjasama antara murid. Antara rancangan yang meliputi aktiviti perbincangan di dalam kelad ialah guru membuat penyoalan secara terbuka dan dijawab oleh murid. Di samping itu, guru akan memberi penerangan sekiranya terdapat murid tidak faham.

4.0 MEDIA PENGAJARAN
Media ialah sebarang cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan, Reiser dan Gagne (1983). Selain itu media juga diberi takrifan sebagai alat atau perkakasan yang biasa digunakan untuk menyampaikan maklumat dikalangan manusia, Muhamad Hassan Abdul Rahman (2000). Manakala media pengajaran pula ialah media yang membawa mesej tentang pengajaran, Heinich (2002). Media pengajaran juga dikatakan sebagai audio visual dan bahan-bahan yang berkaitan dengannya yang berfungsi dalam perlaksanaan sesuatu pengajaran. Namun begitu, media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat meransang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian pelajar sehingga dan seterusnya terjadinya proses pembelajaran, Dr. Wan Abdul Kader Wan Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr. Rosini Abu (2005). Oleh kerana murid-murid tediri dari pelbagai kebolehan, maka pemilihan media yang sesuai adalah penting supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan berkesan. Media pengajaran yang baik dapat memperjelaskan mesej terutamanya mesej yang disampaikan secara simbol verbal. Selain itu, media juga sepatutnya dapat mengatasi batasan ruang, waktu dan pancaindera, dapat menimbulkan minat, kefahaman dengan penggunaan media pengajaran secara betul dan bervariasi serta dapat menyediakan pengalaman dan persepsi yang sama kepada semua murid. Kepelbagaian kebolehan murid menyebabkan saya memilih media yang mengandungi unsur-unsur seperti audio dan visual.

4.1 Boneka
Untuk melaksanakan set induksi, saya telah memilih model tiga dimensi iaitu boneka sebagai media pengajaran. Boneka dipilih kerana ia mempunyai bentuk sebenar sesuatu objek. Oleh itu rujukan yang lebih konkrit dapat disediakan berbanding dengan simbol verbal kerana ia boleh dipegang dan dirasa. Berdasarkan isi pengajaran yang hendak diajar, boneka seekor binatang seperti ikan digunakan untuk menunjukkan bahagian-bahagian anggota badannya.

4.2 Persembahan Power Point
Selain boneka, saya juga menggunakan media tayang kaku iaitu persembahan power point. Power point digunakan untuk menunjukkan objek sebenar. Ini adalah sesuai kerana ia dapat mengukuhkan lagi kefahaman murid dimana ia merupakan gambaran objek sebenar dan ia juga merupakan satu pendedahan kepada keadaan sebenar. Menerusi media jenis ini, saya akan menghasilkan satu persembahan power point yang mengandungi gambar beberapa ekor binatang yang sudah dilabel. Untuk menambahkan keberkesanan persembahan ini, label-label yang digunakan boleh dimasukkan kesan khas seperti gerakan dan warna supaya lebih menarik dan seterusnya dapat meransang minat murid-murid.
4.3 Kad Imbasan
Media pengajaran terakhir yang digunakan ialah media pengajaran dari jenis gambar kaku iaitu kad imbasan. Kad imbasan adalah sesuai untuk penilaian. Ini kerana murid-murid akan diminta untuk memadankan kad gambar dengan kad perkataan. Kad imbasan amat sesuai untuk penilaian kerana kad imbasan merupakan media pengajaran yang menyediakan rujukan simbolik. Maka, murid-murid akan belajar untuk menyesuaikan pembelajarannya dengan pelbagai keadaan.

5.0 PENGURUSAN TINGKAH LAKU DALAM BILIK DARJAH
Pengurusan tingkah laku murid dalam bilik darjah adalah amat penting untuk menyediakan murid yang berminat untuk mengikuti proses pengjaran dan pembelajaran yang dijalankan.

5.1 Faktor Masalah Tingkah Laku Dalam Bilik Darjah
Terdapat beberapa faktor yang mencetuskan masalah tingkah laku dalam bilik darjah. Antaranya ialah suasana persekitaran rumah yang kurang selesa. Selain itu suasana persekitaran sekolah yang tidak kondusif, aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang membosankan. Keadaan fizikal sekolah yang kurang kondusif serta pengurusan sekolah yang bercorak autokratik juga boleh menimbulkan masalah tingkah laku dalam bilik darjah. Masalah tingkah laku dalam bilik darjah juga disebabkan oleh pendapat dan pandangan murid tidak mendapat perhatian dari pihak sekolah serta penilaian negatif yang mewujudkan permusuhan nyata dengan membalas dendam. Oleh yang demikian pengurusan tingkah laku dalam bilik darjah sangat penting dan salah satu cara untuk menguruskannya ialah dengan memantau perlakuan murid.

5.2 Pemantauan Tingkah Laku Dalam Bilik Darjah
Dua kategori perlakuan yang penting dalam bilik darjah ialah penglibatan murid dalam aktiviti pembelajaran seperti perhatian semasa pengajaran, perbincangan dan lain-lain tugasan dan yang kedua ialah pematuhan murid kepada peraturan bilik darjah, Emmer dan rakan-rakan (1989). Pemantauan tingkah laku boleh dibuat sekiranya guru boleh melihat semua murid dalam bilik darjah. Antara cara-caranya ialah guru bergerak antara barisan murid dan memberi fokus kepada beberapa murid sahaja. Selain itu pemantauan juga boleh dibuat dengan bergerak dari satu murid kepada murid yang lain untuk mengatahui kemajuan dan memberi maklum balas. Pada masa yang sama guru juga perlu bangun dan berjalan untuk menyelia dan memastikan murid mengikuti arahan. Namun begitu tedapat beberapa perkara yang perlu dielakkan oleh guru. Antaranya ialah bercakap dengan papan tulis, menyelia murid yang memerlukan bantuan atau yang mengangkat tangan sahaja, mengambil masa yang lama pada satu tempat atau murid. Untuk memantau murid pada peringkat awal membuat tugasan individu, pastikan semua mulakan aktiviti serta meletakkan semua bahan yang diperlukan di atas meja. Murid juga hanya akan memulakan latihan atau menjawab soalan setelah guru memberikan arahan dan lakukan perbincangan untuk menyemak jawapan supaya guru dapat mengetahui sama ada murid memahami apa yang dipelajari.

5.3 Ketekalan
Untuk menguruskan tingkah laku dalam bilik darjah guru juga perlu tekal. Ketekalan bermakna mengekalkan harapan perlakuan yang sesuai dan tidak sesuai dalam aktiviti tertentu, ianya juga bermakna bahawa harapan ini adalah untuk semua murid dalam semua keadaan, Emmer dan rakan-rakan (1989). Tedapat faktor-faktor yang mempengaruhi ketidaktekalan, iaitu peraturan yang tidak sesuai, guru gagal memantau murid dan tidak dapat mengesan tingkah laku yang tidak sesuai. Guru yang merasakan bahawa penguatkuasaan peraturan adalah penting juga menyebabkan berlakunya ketidaktekalan. Sekiranya murid didapati tidak tekal guru bolehlah mengambil beberapa langkah, salah satunya ialah menjelaskan semula peraturan. Bukan itu sahaja guru juga boleh mengubahsuai peraturan dan memperkenalkan semula kepada murid. Namun begitu sekiranya peraturan sedia ada adalah tidak sesuai, ia boleh dibatalkan dan diganti dengan peraturan yang baru.

5.4 Pengurusan Segera Kepada Tingkah Laku Negatif
Cara terakhir dalam menguruskan tingkah laku dalam bilik darjah ialah pengurusan segera kepada tingkah laku negatif. Ini adalah penting supaya tingkah laku negatif tidak terus merebak. Contoh-contoh tingkah laku negatif ialah kurang penglibatan dalam aktiviti pembelajaran, mengambil masa yang lama untuk membuat tugasan, tidak memberi perhatian penuh dan sentiasa mengelak dari tugasan yang diarahkan. Oleh sebab itu guru perlu mengambil langkah segera untuk membanteras tingkah laku tersebut dengan mengarah semula perhatian murid kepada tugasan sekiranya mereka tidak menyiapkan tugasan. Selepas itu guru perlu menyemak kemajuan mereka selepas beberapa minit. Guru juga perlu bergerak ke arah murid berkenaan, guna isyarat badan untuk membetulkan tingkah lakunya sehinggalah dia akur. Seandainya murid masih bertingkah laku negatif, ingatkan dia tentang peraturan kemudian tanya atau beritahu murid supaya berhenti bertingkah laku sedemikian.

6.0 JENIS-JENIS SOALAN
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tahap pemahaman murid boleh diuji dengan soalan-soalan yang sesuai. Berdasarkan Domain Kognitif Bloom, terdapat beberapa jenis soalan yang boleh digunakan untuk menguji kefahaman murid.

6.1 Pengetahuan
Pengetahuan merupakan peringkat yang paling rendah dalam hierarki Bloom. Pengetahuan di tahap ini ialah pengetahuan yang telah dipelajari. Oleh sebab itu, aras ini menguji kebolehan murid mengingati kembali fakta, erti, istilah, prinsip, hukum dan definisi. Contoh-contoh soalan yang digunakan ialah manakah, apakah, siapakah dan bilakah. Antara soalan yang diajukan berdasarkan aras pengetahuan ialah ‘burung makan dengan apa?, ayam berjalan dengan apa?’. Soalan-soalan yang diberikan ini ditujukan untuk semua murid supaya mereka dapat mengingat kembali pengetahuan sedia ada mereka untuk menghubungkaitkan dengan isi pengajaran yang akan diajar.

6.2 Kefahaman
Aras yang seterusnya ialah kefahaman. Oleh kerana ia merupakan peringkat yang menunjukkan kebolehan memberi interpretasi, menterjemah dan menerangkan dengan perkataan sendiri, maka soalan-soalan yang digunakan pada peringkat ini biasanya berkaitan dengan mengulas, mentafsir, merumus dan merancang.

6.3 Aplikasi
Selain itu murid juga boleh diuji mengenai kebolehan menggunakan maklumat seperti prinsip, teori dan konsep kepada situasi baru dan dalam situasi yang berlainan melalui aras aplikasi. Antara keadaan-keadaan yang sesuai untuk mengemukakan soalan-soalan berkaitan aplikasi ialah dalam pengiraan, menterjemah, mengilustrasi, menyusun, mempraktik dan menjangka. Oleh yang demikian, soalan-soalan yang biasa digunakan ialah tunjukkan, kirakan, selesaikan, demonstrasikan, susunkan, uruskan, gunakan. Selepas murid-murid mengikuti pengajaran, mereka diberi penilaian yang berbentuk penyoalan berdasarkan aras aplikasi di mana mereka diminta memadankan kad gambar dengan kad perkataan berkaitan tajuk yang dipelajari. Jenis penyoalan ini adalah ditujukan kepada semua murid dengan harapan agar murid pandai, lemah dan sederhana dapat mengapilikasikannya dan juga meningkatkan lagi kefahaman murid lemah.

6.4 Analisis
Untuk peringkat yang lebih tinggi, soalan berkaitan analisis amat sesuai digunakan. Analisis ialah kebolehan memecahkan perkara yang telah dipelajari kepada bahagian-bahagian tertentu sehingga kefahaman hubungan struktur organisasi diperolehi, Dr. Wan Abdul Kader Wan Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr. Rosini Abu, (2005). Pada aras ini murid diuji membanding dan menghuraikan faktor-faktor kesamaan, perbezaan dan perhubungan di antara satu sama lain dan soalan-soalannya seperti bezakan, bandingkan, asingkan, tafsirkan dan bahagikan. Untuk soalan dari aras analisis murid-murid diberi tugasan untuk membezakan anggota badan yang dimiliki oleh haiwan yang berlainan. Soalan ini diberikan kepada semua murid dengan harapan agar murid yang lemah dapat menggunakan isi pengajaran yang dipelajari pada tahap yang lebih khusus.

6.5 Sintesis
Untuk menguji kebolehan murid dalam mengintegrasikan bahagian-bahagian kecil kepada satu bahagian besar yang baru soalan dari aras sintesis sesuai digunakan. Bentuk-bentuk soalan dari aras ini biasanya gabungkan, bentukkan, kumpulkan, gubahkan dan susunkan. Soalan dari aras sintesis telah diberikan pada semua pelajar dengan harapan dapat menguji kefahaman murid lemah dan seterusnya dapat meningkatkan tahap kefahaman murid pintar. Contoh soalan yang dikemukakan ialah murid-murid disuruh melengkapkan gambar seekor haiwan dengan melukis bahagian anggota badan yang tiada. Dengan adanya soalan ini diharap agar murid lemah dapat mengenal pasti setiap anggota badan haiwan dengan tepat.

6.6 Penilaian
Penilaian merupakan aras yang paling tinggi dalam hierarki Bloom. Aras ini menguji kebolehan murid membuktikan, menilaikan, mengesahkan, mengkritik, merumuskan atau memberi pendapat sesuatu penyataan, karya, prinsip, teori dan sebagainya. Oleh yang demikian soalan-soalan yang digunakan ialah nilaikan, rumuskan, tafsirkan dan buktikan.

7.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, dapat dirumuskan bahawa penyediaan persediaan mengajar merupakan satu langkah penting dalam pengajaran. Persediaan mengajar yang meliputi pemilihan reka bentuk pengajaran, pendekatan yang sesuai, perancangan media yang baik dan bentuk soalan yang sesuai, dapat menyediakan guru yang lebih berkeyakinan dan seterusnya dapat meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran.

No comments:

Post a Comment