Monday, April 13, 2009

perpaduan

1.0 PENGENALAN
Bagi negara-negara yang mempunyai pelbagai kaum, perpaduan dan integrasi merupakan satu perkara yang penting dalam mempertahankan dan mengekalkan kebebasannya sebagai sebuah negara yang berdaulat. Ini kerana ia merupakan faktor penting dalam menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi dan politik dalam jangka waktu yang panjang.
Perpaduan dan integrasi nasional bermaksud satu proses dan sistem hidup yang menyatupadukan seluruh anggota masyarakat dan negara menerusi ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat itu dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta semangat kebangsaan yang tunggal dikalangan mereka. Selain itu, ia juga membawa maksud satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dikalangan kumpulan yang terpisah dari segi budaya, sosial dan penempatan didalam sesebuah unit politik.
Pada masa yang sama, perpaduan dan integrasi nasional juga merupakan satu proses menyatupadukan bergai-bagai kumpulan masyarakat yang mempunyai budaya dan sosial yang berbeza kedalam satu sistem wilayah bagi mewujudkan identiti nasional, Malaysia Kita (2003). Namun begitu, dalam konteks negara Malaysia integrasi nasional bermaksud mewujudkan kerjasama dan harmoni penduduk diantara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Antara cara yang digunakan dalam membina perpaduan dan integrasi nasional ialah dengan pembentukan satu sosioekonomi yang membolehkan semua kaum dan kumpulan etnik turut serta secara adil dan saksama dalam proses pembangunan negara.

2.0 USAHA DAN STRATEGI KERAJAAN DALAM MEMANTAPKAN PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL
Oleh kerana perpaduan dan integrasi nasional merupakan satu asas yang penting dalam pembangunan sesebuah negara, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi memupuk perpaduan dan integrasi dikalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Usaha-usaha yang dijalankan meliputi pelbagai aspek, iaitu pendidikan, ekonomi, sosial dan kebudayaan serta politik.


2.1 Pendidikan
Pendidikan merupakan satu agen penting dalam memupuk perpaduan. Terdapat beberapa perkara yang menjadi asas kepada perpaduan dalam sistem pendidikan iaitu Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, perlaksanaan kurikulum yang seragam di semua sekolah dan pendidikan yang sempurna kepada semua rakyat.
Menerusi Penyata Rahman Talib pada tahun 1959 yang mengkaji perlaksanaan Penyata Razak, telah mengemukakan beberapa cadangan yang membantu dalam membina perpaduan. Antaranya ialah mulai tahun 1962, pendidikan percuma diberikan kepada semua murid sekolah rendah kerajaan. Langkah ini menunjukkan pendidikan diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan. Selain itu sekolah umum telah ditukar menjadi sekolah kebangsaan dan sekolah jenis umum telah ditukar kepada sekolah jenis kebangsaan bagi memupuk semangat kebangsaan dan perpaduan. Keadaan ini menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil sebagai bahasa pilihan. Penyata Rahman Talib juga turut mencadangkan sekolah rendah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar hendaklah ditukar kepada Bahasa Malaysia. Ini adalah penting dalam menyemai semangat kebangsaan dalam diri rakyat.
Penyata Rahman Talib yang dicadangkan telah diterima dan seterusnya digubal semula pada tahun 1961 dan dinamakan Akta Pelajaran 1961.
Dasar pendidikan Kebangsaan yang dilaksanakan mempunyai dua matlamat iaitu mewujudkan persefahaman dan perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang terdiri pelbagai etnik serta mengkaji masalah keciciran dalam pendidikan. Oleh yang demikian terdapat beberapa langkah digunakan dalam memastikan matlamat yang dibuat dapat dilaksanakan. Antaranya ialah menyediakan sukatan pelajaran yang seragam di semua sekolah, mewajibkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah serta institusi pengajian tinggi, menggunakan buku-buku teks yang bercirikan Malaysia serta melaksanakan aktiviti kokurikulum iaitu aktiviti diluar bilik darjah.
Namun begitu, pada tahun 1974 satu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad telah berperanan mengkaji semula dasar yang dibuat. Jawatankuasa tersebut dinamakan Jawatankuasa Kabinet.
Matlamat penting yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet ialah pembentukan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih menerusi sistem pendidikan. Oleh itu beberapa perkara telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat yang dibuat. Pertama ialah semua sekolah swata hendaklah menggunakan sukatan pelajaran yang sama dengan sekolah kerjaan serta pelajar sekolah swasta hendaklah mengambil peperiksaan yang sama dengan pelajar sekolah kerajaan. Selain itu jawatankuasa ini juga menyatakan bahawa Bahasa Melayu hendaklah menjadi mata pelajaran wajib dalam semua peperiksaan. Di samping itu, penekanan hendaklah ditumpukan kepada aspek-aspek tertentu dalam setiap mata pelajaran serta penekanan hendaklah ditumpukan kepada pendidikan moral, agama, disiplin dan kokurikulum sebagai asas pencapaian perpaduan.
Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet juga, satu kurikulum baru telah dibuat dan dilaksanakan di semua peringkat sekolah. Kurikulum tesebut ialah KBSR, Kurikulum Baru Sekolah Rendah serta KBSM, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Langkah ini bertujuan memastikan semua sekolah menggunakan satu kurikulum yang seragam.

2.2 Ekonomi
Dalam aspek ekonomi perkara asas kepada perpaduan negara serta integrasi nasional ialah melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar Ekonomi Baru atau DEB telah dibuat pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Hussein di dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agong UMNO di Kuala Lumpur. Dasar ini bertujuan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Malaysia dengan dua matlamat iaitu pengambilan pekerja-pekerja di pelbagai sektor ekonomi dan di peringkat kerajaan serta hakmilik harta-harta produktif yang terdapat di dalam negara ini disusun semula supaya orang-orang Melayu dapat memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah hakmilik tersebut pada tahun 1990, Malaysia Kita (2003).
Strategi yang dilaksanakan melalui dasar ini ialah mengurangkan serta membasmi kemiskinan dengan menambahkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat di Malaysia serta mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat di Malaysia untuk memperbaiki masalah ekonomi yang tidak seimbang seperti pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Ketika zaman pemerintahan British, banyak buruh asing telah dibawa masuk ke Tanah Melayu. Ini adalah untuk meningkatkan jumlah tenaga buruh bagi perusahaan-perusahaan di Tanah Melayu seperti perusahaan getah dan biji timah. Namun begitu, ketiga-ketiga golongan penduduk di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India telah telah ditempatkan secara berasingan dengan pekerjaan dan asas ekonomi yang berbeza. Kebanyakkan orang-orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung bagi mengusahakan pertanian tradisional, kaum Cina pula ditempatkan di bandar-bandar bagi mengerjakan perusahaan biji timah. Manakala kaum India di estet-estet getah.
Antara punca berlakunya keadaan yang sedemikian ialah untuk menghindarkan terjadinya perselisihan faham serta kecenderungan buruh asing untuk tinggal sesama mereka di satu perkampungan. Dasar yang dilaksanakan oleh pemerintahan British ini disebut juga sebagai ‘pecah dan perintah’. Dasar ini dapat mengukuhkan lagi kuasa penjajahan mereka.
Langkah-langkah kerajaan yang dilaksanakan dalam proses penyusunan semula masyarakat ialah pemodenan cara hidup masyarakat luar bandar dan pertumbuhan pesat dan seimbang kegiatan-kegiatan di bandar.

2.3 Politik
Politik memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keamanan dan ketenteraman rakyat yang pelbagai kaum di Malaysia. Melalui kaedah konsensus atau persetujuan di mana kerajaan yang memerintah diberi kuasa memerintah atas pilihan dan persetujuan rakyat menerusi proses pilihan raya perpaduan dapat diwujudkan.
Dalam pilihan raya, semua rakyat bebas memilih calon yang mereka percayai sebagai pemerintah. Pilihan raya ini dijalankan setiap lima tahun sekali. Calon-calon yang terpilih akan berkerjasama dan membuat rundingan dikalangan parti-parti politik yang lain supaya dapat memastikan semua perti terlibat dalam proses pentadbiran Malaysia.
Di Malaysia, sebuah Parti Perikatan telah dibentuk oleh tiga buah parti yang mewakili setiap kaum terbesar di Malaysia iaitu parti Orang Melayu atau UMNO, parti Kaum Cina atau MCA serta parti Kaum India atau MIC. Oleh yang demikian, pembangunan negara dapat ditingkatkan serta perpaduan dapat dipupuk diseluruh kaum di Malaysia.
Melalui perpaduan politik ini juga pertikaian asas yang berlaku dapat diatasi dan sebuah negara aman dan makmur dapat diwujudkan.

2.4 Sosial dan Kebudayaan
Seperti yang kita tahu, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai bangsa, suku kaum dan etnik. Kaum-kaum utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Walaupun tinggal di negara yang sama, namun terdapat jurang yang memisah antara kaum dari segi penempatan, pekerjaan dan kebudayaan. Oleh yang demikian, kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang sesuai merangkumi sistem pendidikan, kesihatan, perumahan serta kemudahan asas bagi mewujudkan perpaduan sosial dikalangan masyarakat di Malaysia. Melalui sisitem pendidikan, semua rakyat di Malaysia diberikan khidmat pendidikan yang sama tidak mengira kaum. Contohnya seperti skim pinjaman buku teks, rancangan makanan tambahan atau RMT serta projek susu sekolah.
Dari segi aspek kesihatan pula, perkhidmatan ubat-ubatan secara percuma diberikan kepada semua warganegara tidak mengira kaum dan keturunan di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan.
Bagi sistem perumahan, beberapa program telah dilancarkan bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat. Antaranya ialah program penempatan semula iaitu pembinaan projek-projek perumahan yang memberi peluang kepada semua rakyat tanpa mengira kaum untuk hidup bersama di kawasan penempatan yang lengkap dan sempurna. Selain dari itu, projek Rukun Tetangga juga turut dilaksanakan di kawasan-kawasan perumahan yang mana aktiviti-aktiviti persefahaman, persahabatan, toleransi, semangat kejiranan serta bersatupadu diwujudkan dan sekali gus dapat memupuk perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia. Kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi serta lengakp tanpa mengira penghuni di setiap kawasan turut menyumbang kepada perpaduan antara kaum. Ini kerana semua rakyat dapat menikmati kemudahan yang sama dan dapat mengelakkan rasa cemburu serta ketidakadilan di antara kaum.
Kebudayaan ialah satu sistem atau corak hidup yang merangkumi agama, kepercayaan, adat resam, bahasa, ekonomi dan politik sesebuah masyarakat, Malaysia Kita (2003). Perpaduan kebudayaan dapat dicapai melalui program-program yang bercorak kebudayaan semua kaum di Malaysia. Antara aktiviti kebudayaan yang biasa dilaksanakan oleh kerajaan ialah seperti muzik, drama, teater, sastera dan sebagainya. Menerusi aktiviti-aktiviti seperti ini setiap kaum dapat berinteraksi dan memahami adat dan kebudayaan masing-masing sekali gus dapat meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum di Malaysia.
Memandangkan perpaduan kebudayaan dilihat penting oleh pihak kerajaan, satu dasar telah digubal pada tahun 1971 sebagai asas perpaduan ke arah mewujudkan identiti nasional bangsa Malaysia. Dasar tersebut ialah Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Selain itu, perpaduan kebudayaan juga turut diperkenalkan dalam sistem pendidikan melalui mata pelajaran sastera di peringkat menengah atas. Menerusinya, pelajar-pelajar banyak didedahkan dengan genre-genre seperti novel, drama, puisi, kritikan sastera serta cerpen yang banyak mengandungi unsur-unsur seperti hubungan kaum, muhibah dan toleransi. Oleh yang demikian unsur-unsut tersebut amat sesuai dijadikan sebagai asas kepada integrasi nasional di Malaysia.

3.0 USAHA-USAHA YANG BOLEH DILAKSANAKAN DI PERINGKAT SEKOLAH BAGI MEWUJUDKAN PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL
Sekolah adalah permulaan yang cukup baik dalam memupuk perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia. Ini kerana generasi masa kini yang membawa imej negara pada masa akan datang perlu dilatih dan dididik supaya bersatupadu untuk pembangunan negara kelak.
Dalam mencapai matlamat perpaduan di peringkat sekolah, kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang sesuai dalam membentuk masyarakat majmuk yang bersatu padu dan bersefahaman. Salah satu cara yang telah dibuat oleh kerajaan ialah Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN. Program ini pertama kali telah dibuat pada tahun 2004 yang mewajibkan pelajar-pelajar yang berumur antara 17-18 tahun yang terpilih untuk mengikuti satu program selama tiga bulan di kem-kem yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.
Selain dari Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN, kerajaan turut menubuhkan Sekolah Wawasan. Walaupun hanya terdapat beberapa buah sekolah sahaja yang merupakan Sekolah Wawasan di Malaysia, namun tetap sebagai langkah untuk membina perpaduan di kalangan rakyat. Konsep Sekolah Wawasan bermaksud dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan pentadbiran, dibina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan-kemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer, kantin dan sebagainya serta melaksanakan secara bersama aktiviti-aktiviti sekolah seperti perhimpunan mingguan, aktiviti kokurikulum, temasya sukan sekolah, hari kecemerlangan pelajar, hari kantin dan sebagainya, Mohd Izhan Haji Mohd Hamzah dan Jamalul Lail Abdul Wahab (2000). Tujuan penubuhan Sekolah Wawasan ialah untuk meningkatkan perpaduan dikalangan rakyat di Malaysia. Antara matlamat-matlamat Sekolah Wawasan ialah mencapai perpaduan dan integrasi nasional melalui perkongsian prasarana, interaksi yang meluas serta penggunaan sumber secara optimum meliputi kepelbagaian pelajar.
Terdapat beberapa ciri penting bagi sesebuah Sekolah Wawasan, antaranya ialah setiap sekolah diuruskan oleh seorang Guru Besar dan salah seorang dari Guru Besar tersebut akan bertindak sebagai penyelaras bagi sekolah-sekolah yang terdiri dari pelbagai aliran tersebut. Aktiviviti-aktiviti seperti perhimpunan, dan sukan turut dilaksanakan secara bersama dan yang penting ialah Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di luar bilik darjah.
Buat masa ini, hanya lima buah Kompleks Sekolah Wawasan sahaja yang telah beroperasi dengan jayanya iaitu Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak, Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah, Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang, Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.
Dalam usaha memupuk perpaduan dan integrasi nasional, kerajaan turut melancarkan satu projek yang berteraskan integrasi iaitu ‘Program e-Integrasi’. Projek ini merupakan satu projek yang berasaskan teknologi maklumat yang mana semakin pesat membangun pada hari ini. Program e-Integrasi ini merupakan satu program yang menggalakkan para pelejar dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan untuk berinteraksi antara satu sama lain melalui permainan komputer yang direka khas berteraskan tema perpaduan kaum. Ia bermatlamat untuk memastikan mereka mula berinteraksi antara satu sama lain secara maya dan kemdiannya berjumpa untuk mengukuhkan semangat berpasukan yang telah mereka bina melalui permainan komputer itu, Berita Harian (28 April 2004). Namun begitu, Program e-Integrasi ini masih dalam permulaan dan hanya melibatkan 60 buah sekolah di Pulau Pinang.
Bukan itu sahaja, masih terdapat banyak cara yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah sebagai langkah untuk memupuk perpaduan di antara kaum di Malaysia. Antara cara yang sesuai dijalankan ialah menambahkan jumlah guru serta guru besar dan pengetua yang bukan berbangsa Melayu, Berita Harian (28 april 2004). Guru-guru yang terdiri dari pelbagai kaum dapat meningkatkan lagi kesedaran terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Ini kerana cara hidup pelbagai etnik adalah berbeza. Dengan ini, persefahaman dapat dibina dan kemudiannya membentuk perpaduan yang teguh dikalangan masyarakat berbilang kaum.
Pengisian aktiviti yang dibuat oleh pihak sekolah yang berasaskan perpaduan juga sesuai dilaksanakan di peringkat sekolah. Antaranya ialah Minggu Bahasa Melayu. Seperti kata pepatah ‘ Bahasa Jiwa bangsa’, merupakan satu ungkapan yang menjelaskan betapa besarnya peranan bahasa dalam membina sesebuah masyarakat. Oleh sebab itu, penggunaan bahasa yang seragam oleh semua golongan masyarakat mampu meningkatkan lagi perpaduan. Dengan perlaksanaan Minggu Bahasa Melayu ini di sekolah-sekolah dapat menggalakkan semua pelajar tidak mengira bangsa Melayu, Cina atau India untuk berinteraksi dalam bahasa kebangsaan. Melaluinya juga persefahaman antara kaum dapat diwujudkan.
Langkah seterusnya ialah pendedahan kepada kebudayaan Melayu melalui muzik, drama, teater, puisi dan sebagainya. Sekolah sepatutnya memperbanyakkan aktiviti-aktiviti kebudayaan supaya dapat meransang minat para pelajar terhadap budaya Melayu. Ini merupakan salah satu cara untuk meningkatkan semangat patriotisme dkalangan mereka. Dalam menjayakan matlamat ini, terdapat beberapa langkah yang boleh dijalankan di sekolah seperti mengadakan pertandingan beruisi, mengadakan lawatan ke pentas-pentas persembahan teater terutamya teater-teater klasik melayu lama untuk melihat pementasan teater dibuat serta mengadakan kelas muzik atau menubuhkan persatuan muzik sekolah, dimana semua pelajar dari pelbagai kaum dapat belajar menggunakan alat-alat muzik tradisional melayu lama seperti kompang, rebana dan sebagainya.

4.0 HALANGAN DAN CARA MENGATASI MASALAH PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL

4.1 Halangan
Walaupun pelbagai usaha dan strategi dilaksanakan dalam memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional, namun masih terdapat pelbagai halangan yang menjadi masalah dalam pembentukkan masyarakat yang bersatu padu di Malaysia. Nilai dan sikap masyrakat yang berprasangka, perkauman dan etnosentrisme merupakan faktor asas kepada halangan-halangan lain, Nazaruddin Hj. Mohd Jali et al (2001).
Halangan-halangan yang timbul dalam memupuk perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia boleh dilihat dari perspektif sosial, kebudayaan, ekonomi, politik dan faktor fizikal.

4.11 Sosial
Dalam aspek sosial, halangan yang timbul ialah tahap kefahaman yang rendah tentang cara hidup dan masalah-masalah hidup kaum lain. Keadaan ini menyebabkan tiada rasa hotmat dan menghargai antara kaum. Oleh sebab itu, wujudnya masalah perkauman yang mengundang kepada permusuhan kaum. Tahap kefahaman yang rendah tentang kaum lain ini biasanya disebabkan oleh pendedahan yang kurang mengenai kepelbagaian etnik di Malaysia.
Halangan yang seterusnya ialah kewujudan sekolah jenis kebangsaan. Seperti mana yang kita tahu, penyelarasan kurikulum dan kokurikulum telah telah dijalankan di semua sekolah di Malaysia. Namun begitu, ia tidak begitu menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional kerana masih terdapat sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang menempatkan pelajar-pelajar yang terdiri dari kaum-kaum yang sama dalam satu sekolah. Dengan adanya sekolah-sekolah ini telah mengurangkan peluang-peluang untuk berinteraksi dan berhubung dengan pelajar-pelajar dari kaum-kaum yang berlainan. Maka semangat kekeluargaan tidak dapat dipupuk dan seterusnya menjadi penghalang kepada perpaduan.
Bagi ibu bapa, mereka juga lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan seperti kaum Cina dan India. Ini kerana mereka tidak begitu yakin dengan pengurusan sekolah-sekolah kebangsaan yang kebanyakkannya terdiri dari pelajar-pelajar Melayu.
Dalam konteks sosial juga dapat diperhatikan kebanyakkan masyarakat di Malaysia lebih cenderung untuk tinggal di satu kawasan yang terdiri dari penduduk yang sama kaum. Contohnya di Kuala Lumpur, penduduk Cina lebih banyak tertumpu di kawasan Pudu, kaum India di kawasan Brickfield dan Sentul manakala kaum Melayu pula di kawasan Kampung Baru. Keadaan ini berlaku kerana mereka merasakan lebih selamat tinggal bersama penduduk-penduduk yang sekaum dengan mereka.

4.12 Kebudayaan
Antara halangan yang timbul dari segi kebudayaan ialah proses pemasyarakat yang terbatas dalam kumpulan etnik sendiri. Maksudnya dalam proses pemasyarakatan tidak ada pendedahan kepada adat-adat dan kebudayaan etnik lain. Maka cara hidup kaum-kaum lain tidak diketahui dan ia akan menjadi penghalang kepada pembinaan hubungan baik antara kaum. Proses pemasyarakatan ini merangkumi pendidikan di sekolah serta asuhan ibu bapa.
Selain itu perbezaan kebudayaan juga merupakan penghalang dalam memupuk perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia. Kebudayaan meliputi agama, kepercayaan, adab resam dan cara hidup setiap kaum. Perbezaan kebudayaan akan menyebabkan timbulnya prasangka, perkauman dan etnosentrisme yang merupakan perkara utama yang menyumbangkan kepada masalah perpaduan.
Pada masa yang sama, sikap setiap kaum yang terlalu mempertahankan budaya mereka juga menjadi punca kepada masalah perpaduan. Ini kerana mereka tidak dapat menerima amalan dan kepercayaan kaum lain yang berbeza dengan cara hidup mereka.



4.13 Ekonomi
Perbezaan pekerjaan merupakan salah satu faktor yang menjadi penghalang kepada perpaduan dari segi ekonomi. Sejak dari zaman penjajahan British lagi masalah perbezaan pekerjaan membelenggu masyarakat yang berbilang kaum ini. Pada waktu itu, masyarakat Cina banyak ditempatkan di kawasan-kawasan bandar kerana kebanyakkan mereka terlibat dalam sektor perlombongan biji timah. Bagi masyarakat India, mereka ditempatkan di kawasan-kawasan estet getah dan orang Melayu pula banyak di kawasan-kawasan kampung kerana orang Melayu bergiat dalam pertanian tradisional. Pengenalan kaum mengikut jenis pekerjaan yang berlaku di Tanah Melayu pada ketika itu sedikit sebanyak mencorakkan kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Sebagai contoh ialah bidang perniagaan yang kebanyakkannya dikuasai oleh kaum Cina. Perbezaan sosioekonomi yang berlaku boleh menimbulkan rasa cemburu, sangsi dan takut terhadap kaum yang berkuasa.

4.14 Politik
Dalam aspek politik, perkara yang menjadi penghalang ialah politik perkauman. Parti-parti politik di Malaysia seperti MCA dan MIC merupakan contoh-contoh parti politik yang dianggotai oleh satu golongan etnik sahaja. Oleh kerana setiap parti bebas menyuarakan pendapat dan isi hati, semangat perkauman semakin menyemarak dalam diri masyarakat di Malaysia.

4.15 Pemisahan Fizikal
Pemisahan fizikal merupakan masalah jarak antara wilayah yang jauh seperti Semenanjung Malysia, Sabah dan Srawak. Oleh sebab itu, golongan etnik di Semenanjung Malaysiatidak dapat mengenali kehidupan etnik lain yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Dengan itu, sikap prasangka, mementingkan kaum sendiri dan etnosentrisme semakin menebal dalam diri setiap etnik.

4.2 Cara Mengatasi
Dalam usaha membentuk sebuah masyarakat majmuk yang hidup bersatu padu, langkah-langkah untuk membendung masalah yang menjadi penghalang ke arah mencapai matlamat yang diharapkan perlu dijalankan.
Langkah-langkah untuk mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional boleh dikategorikan kepada dua iaitu dari aspek pembangunan diri iaitu menekankan kepada pembangunan pemikiran setiap anggota masyarakat agar menjadi rasional dan mampu menimbang sesuatu keadaan dengan seadil-adilnya atau secara ringkasnya bermaksud pembangunan personaliti. Aspek yang kedua ialah pemabngunan fizikal dan sosial yang menekankan kepada perubahan struktur masyarakat melalui pembangunan fizikal dan sosioekonomi yang hasil seterusnya merupakan perubahan susunan masyarakat dan hubungannya dengan faktor-faktor ekonomi dan kemudahan sosial, Nazaruddin Hj. Mohd Jali et al (2001).

4.21 Strategi Pembangunan Diri
Salah satu langkah dalam pembangunan diri ialah pemasyarakatan dan pemasyarakatan semula. Ia merupakan satu langkah untuk mendedahkan cara hidup, keadaan hidup dan masalah hidup antara satu kaum. Antara contoh usaha-usaha yang dijalankan bagi menjayakannya ialah penyelarasan kokirikulum dan kurikulum di institusi-institusi pengajian seperti sekolah, universiti dan sebagainya serta perlaksanaan program Rukun Tetangga.
Pengurangan indentifikasi kelompok juga mampu meningkatkan darjah keterbukaan diri terhadap kumpulan dan budaya lain.
Konflik yang timbul oleh tuntutan-tuntutan kumpulan juga dapat dikurangakn melalui strategi pembangunan diri. Contoh utama yang boleh dilihat ialah pembentukkan Barisan Nasional yang menggabungkan parti-parti politik iaitu UMNO, MCA dan MIC.
Selain itu, perlaksanaan dasar mengenai hal-hal seperti perumahan dan perniagaan yang mampu membina hubungan kohesif juga dapat diwujudkan. Hubungan kohesif penting bagi memastikan setiap kumpulan dapat memahami dengan lebih mendalam lagi kumpulan-kumpulan lain.


4.22 Strategi Pembangunan Fizikal dan Sosial
Pelbagai program telah dilaksanakan dalam mengemaskini dan meningkatkan strategi-strategi sosiekonomi. Antaranya ialah Dasar Ekonomi Baru. Langkah ini penting bagi memastikan struktur ekonomi sesuai dengan keadaan semasa supaya matlamat pembangunan perpaduan dan integrasi nasional dapat dicapai.
Dalam mewujudkan perpaduan dikalangan rakyat, terdapat juga langkah untuk menukarkan konsep-konsep yang bersifat memecah belah. Sebagai contoh ialah konsep Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Ia merupakan satu perkara yang boleh meninggalkan impak yang negatif kepada hubungan antara etnik. Ini kerana ia boleh menonjolkan segregasi entiti-entiti tertentu dan menimbulkan rasa berbeza antara satu sama lain. Oleh yang demikian konsep yang neutral harus diperkenalkan seperti konsep Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Langkah yang seterusnya ialah dengan menukarkan pegawai-pegawai antara wilayah. Ia adalah berfaedah kerana kepakaran-kepakaran pentadbiran dapat diagihkan dengan saksama. Selain itu sikap kedaerahan dapat dikurangkan dan sekali gus meningkatkan kefahaman mengenai cara hidup kumpulan etnik lain.
Aktiviti-aktiviti seperti lawatan dan penyiaran oleh media mengenai kehidupan komuniti lain dapat meningkatkan kedekatan fizikal di kalangan rakyat.
Institusi famili, pertubuhan-pertubuhan sosial dan agensi-agensi lain yang berfungsi sebagai institusi-institusi sosial sepatutnya mengendalikan aktiviti-aktiviti yang melibatkan rakyat berbilang kaum seperti gotong royong dan sebagainya.

5.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, perpaduan dan integrasi nasional adalah satu perkara penting bagi sesebuah negara yang sedang membagun seperti Malaysia. Oleh yang demikian semua rakyat harus bersama-sama memainkan peranan dalam meningkatkan perpaduan untuk membina sebuah bangsa yang terdiri dari rakyat yang berbilang kaum, yang hidup bersatu padu serta aman sentosa.

12 comments:

  1. terima kasih.
    info yang bagus.

    ReplyDelete
  2. info yg sgt mmbantu saya
    thanks so much!!

    ReplyDelete
  3. Thanks..good info..its really help me out a lot..

    ReplyDelete
  4. so0 go0ddd ...really help me in p.AM...TQ much..

    ReplyDelete
  5. Aw, this was an extremely nice post. Taking a few minutes
    and actual effort to produce a top notch article… but what can I say…
    I procrastinate a whole lot and never seem to get anything
    done.

    my web page; dorianresearch.com

    ReplyDelete